Jumaat, 28 Mac 2008

Salam Semua

Melayu yang mudah lupa, Janganlah menang sorak tapi tanah tergadai, Janganlah kerana nyamuk, habis kelambu dibakar.

Selamat Datang Ke Blog Bangsaku-Melayu.

Blog ini bertujuan mengumpul artikel artikel suratkhabar untuk dijadikan rujukan dan renungan semua pihak khususnya orang melayu.

Semua artikel yang disiarkan dalam blog ini adalah dari sumber Surat Khabar Tempatan yang anda boleh baca setiap hari.

Bacalah dengan hati terbuka, bukan dengan persepsi yang serong...

Renung renungkanlah sehingga sampai ke Pilihanraya Umum Ke-13.


Kemiskinan di bandar lebih terasa

NEGARA kita sudah memacu arah yang betul dalam usaha mencapai wawasan cemerlang dengan pembangunan serba moden dari aspek modal insan dan fizikal. Bandar besar sentiasa bersaing untuk menjadi kawasan serba moden hasil kerancakan ekonomi dan pemerintahan kerajaan yang dinamik.

Bagaimanapun, impak pembangunan pantas ini menyebabkan wujud segelintir masyarakat tidak mampu mengikuti arus kemodenan yang serba pantas ini. Akibatnya mereka tercicir dan dibelenggu kemiskinan.

Isu kemiskinan bandar bukannya baru, tetapi sering dikaburi isu kemiskinan luar bandar. Walaupun peratusan kemiskinannya lebih rendah berbanding peratus kemiskinan di kawasan luar bandar, yang pasti kesan kemiskinan lebih terasa oleh penduduk miskin bandar kerana perbezaan kos sara hidup yang ketara.


Di kawasan luar bandar, sewa rumah teres setingkat tiga bilik adalah sekitar RM300 dan harga segelas teh tarik 80 sen hingga RM1. Adakah harga sebegini boleh didapati di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh.

Hari ini kehidupan penduduk bandar lebih bergantung kepada peluang mendapat pekerjaan sedangkan keupayaan sektor tidak formal bandar untuk menyerap pekerjaan terhad.

Penduduk miskin bandar juga lebih terdedah kepada perubahan dalam keadaan pasaran dan wanita miskin yang menjadi ketua isi rumah di bandar adalah golongan paling cepat menerima kesan perubahan itu.

Masalah kemiskinan bandar biasanya membabitkan persoalan produktiviti ekonomi yang rendah dan kesukaran untuk mendapat peluang mendapatkan kerja dan wang.

Kemiskinan dari sudut material akan mengakibatkan individu terhalang daripada menguasai persekitaran dan mengakibatkan mereka terus terperangkap dalam kemiskinan. Bagi mengatasi kemiskinan bandar ini pendekatan pelbagai dimensi perlu kerana ada banyak faktor menyumbang kemiskinan bandar.

Kajian menunjukkan pertumbuhan penduduk bandar yang berkembang pantas, kekurangan peluang pekerja, persaingan dengan warga asing, latar belakang pendidikan yang rendah serta tiada kemahiran penyebab utama kemiskinan.

Masalah ini, jika tidak diatasi akan memberi impak tidak baik kepada pembangunan negara. Masalah jenayah pasti meningkat kerana ada golongan miskin ini terpaksa melakukan jenayah bagi 'survival' hidup mereka di bandar. Peningkatan kadar jenayah ini akan mengakibatkan kualiti hidup masyarakat akan berkurangan dan memberikan imej yang tidak baik kepada pelaburan asing.

Justeru, usaha membasmi kemiskinan bandar ini perlu diberikan perhatian sewajarnya. Semua pihak perlu mencari kaedah berkesan untuk mengatasi masalah yang berlaku ini. Pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, badan bukan kerajaan, syarikat multinasional dan komuniti politik perlu terus mengatur strategi untuk mengatasi masalah itu.

SAMIR MUHAZZAB AMIN,
Jabatan Sains Kemasyarakatan,
Fakulti Ekologi Manusia, UPM.Sumber Utusan Malaysia

Media kena seimbang salur maklumat

MASYARAKAT bermaklumat kini mengutamakan sistem penyampaian bersepadu dan berkesan. Ia berorientasikan pengguna dan bersifat memenuhi cita rasa dan kehendak sasaran. Yang pasti masyarakat kita memerlukan mesej yang bertanggungjawab, boleh dipercayai dan konsisten dengan iklim semasa. Maklumat sewajarnya sahih, benar dan bertanggungjawab.

Namun, kita kecewa apabila sistem komunikasi khususnya media elektronik milik kerajaan yang berat sebelah, tidak konsisten mahupun seimbang dalam konteks komunikasi dua hala. Bahkan, media perdana kita masih dibelenggu paradigma kepentingan dan orientasi penyampai (sumber) bukan melayani tuntutan sasaran dan pengguna. Kita dibuai dengan mencitrakan impian personaliti bukan isu, masalah mahupun kepentingan sasaran dan rakyat.

Justeru, saya bersetuju dengan arahan Menteri Penerangan baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya RTM lebih mesra penonton dengan mengutamakan kepentingan sasaran dan rakyat dengan penyampaian maklumat menerusi berita dengan tepat dan seimbang, bukan mencitrakan personaliti tertentu semata-semata.


Yang penting, RTM perlu menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan sesuai dengan cita rasa dan tuntutan rakyat. Ia mesti relevan dan terkini walaupun ia bersifat mencitrakan kepelbagaian isu dan permasalahan rakyat.

Media televisyen mesti berfungsi memberitahu, menghibur dan sekali gus mendidik. Teras media bukan sekadar menyampaikan maklumat dalam bentuk sebelah pihak sedangkan tuntutan massa pelbagai, beraneka ragam lagi bersimpang siur.

Justeru, sudah sampai masanya, kerajaan mengguna media baru dan berita digital sebagai wadah penyampaian maklumat, berita, bahan hiburan dan pendidikan dari menjadi maklumat berorientasikan sumber.

Pengguna dan rakyat sedar betapa institusi penyiaran dan akhbar khususnya industri media mempunyai tanggungjawab membantu pembentukan minda dan modal insan cemerlang menerusi pemberitaan seimbang dan berintegriti.

Jika rakyat boleh menyebarkan maklumat menerusi Ipod, Youtube, blog dan lain-lain, maka institusi media negara harus mengorak langkah menyepadukan penyebaran maklumat untuk perubahan minda dan sikap dengan lebih rancak, sistematik, konsisten dan seimbang.

Yang penting, kita mesti mengamalkan komunikasi pemasaran bersepadu dengan teras dan amalan membabitkan orientasi pengguna, komunikasi bersepadu, mesej yang konsisten dengan penuh suasana keselesaan, kejujuran, berintegriti dan bersifat akauntabiliti lagi benar.

Saya berpendapat, RTM kini perlu dirombak sesuai dengan tuntutan semasa dengan mengamalkan teras orientasi pengguna berpaksikan prinsip dan lunas pemasaran bersepadu. Saya percaya Menteri Penerangan baru yang mempunyai wawasan dan idea bernas mampu melakukannya.

Era globalisasi kini mementingkan tuntutan pengguna yang lebih mencabar daripada apa yang hanya dikehendaki golongan tertentu. Ini selaras dengan pendekatan komunikasi yang bersifat interaktif, saling berkongsi pengalaman dalam konteks perhubungan yang saling memahami bukan sebaliknya. Kita mesti membina perhubungan dengan lebih mesra dan mantap bukan bermusim dengan penuh keikhlasan dan minda terbuka.

Amalan dan falsafah baru ialah mendengar, membaca dan menonton suara hati dan keperluan dan tuntutan rakyat, sekali gus menterjemahkan pelan tindakan proaktif bukan mengagungkan personaliti tertentu sebagai ikon dan citra baru.

Walaupun nostalgia penting, generasi baru dan lama sekarang memerlukan proses komunikasi seimbang dan berbentuk dua hala lagi saling berdialog dan berinteraksi. Harus diingat, selera dan cita rasa masyarakat kini sudah berubah dan penyampaian maklumat mesti seimbang dan mampu membina proses buat keputusan mereka.

Jika tidak, ketidakselarasan kognitif akan berlaku dan tentu sekali ia amat merugikan negara pada masa hadapan, lebih-lebih lagi jika penonton beralih ke saluran lain.

PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi USM.

Sumber Utusan Malaysia

Dengar suara akar umbi


‘Tepat’ – mungkin itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meneruskan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan MT pada tahun ini.

MT hakikatnya tidak mempunyai banyak pilihan dalam soal berkenaan kerana walaupun ada desakan daripada sesetengah pengerusi perhubungan supaya ia ditangguhkan tetapi suara akar umbi tidak harus diketepikan.

Kini MT benar-benar mendengar suara akar umbi yang mahu ia diteruskan dan ini sekali gus menolak sebarang andaian bahawa pemilihan jika diadakan boleh mendatangkan malapetaka.

Dalam soal ini, MT UMNO dalam keputusannya mengambil kira semua pandangan dan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu sudah memberi isyarat adalah sesuatu yang bahaya jika suara akar umbi tidak dihiraukan.

Berdasarkan keadaan itu, pemilihan akan diteruskan dan ini akan membolehkan ahli-ahli UMNO menggunakan kuasa mereka untuk memilih siapa pemimpin yang mereka mahu demi masa depan parti.

Sebenarnya, sejak awal lagi apabila isu penangguhan ini tercetus, sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Malahan ada suara-suara nakal yang mempertikaikan apakah sesetengah pengerusi perhubungan UMNO memberi cadangan berkenaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi demi kepentingan parti atau peribadi.

Oleh itu apabila MT UMNO memutuskan ia diteruskan, ia sudah tentulah melegakan mereka yang menolak penangguhan.

Bagi yang menentang penangguhan pemilihan tersebut, mereka berpendapat apa bezanya diadakan tahun ini dengan tahun depan.

Kalau ada apa-apa perasaan tidak puas hati, ia akan lebih cepat dipadamkan jika pemilihan diadakan, berbanding membiarkan ia ‘tertangguh’ untuk dilepaskan setahun lagi.

Perasaan tidak puas hati yang terpendam ibarat api dalam sekam, kalau dibiarkan ia boleh mencetuskan api yang lebih besar. Ketika inilah malapetaka yang ditakuti benar-benar berlaku.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun masalahnya akan ada juga,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pemimpin dan ahli-ahli yang menyokong pemilihan diteruskan. Mereka tahu bahaya yang menanti.

Dalam keadaan UMNO masih lagi bercakap soal keputusan tidak memuaskan dalam pilihan raya umum lalu, adalah lebih baik jika segalanya ‘dilepaskan’ dalam pemilihan kali ini.

Kenyataan Mohamad Hassan supaya UMNO tidak lari daripada masalah disokong oleh pemerhati politik, Profesor Mustapa Mohamed Ishak yang menegaskan, menangguhkan pemilihan parti bukanlah satu keputusan yang tepat.

“Ini kerana ia akan menyebabkan perasaan tidak puas hati ahli membengkak dan boleh mengundang malapetaka kepada parti,” katanya ketika dihubungi.

Bagi Mustapa, istilah ‘malapetaka’ boleh dielakkan jika UMNO mengadakan satu konvensyen bagi membincangkan kekalahan parti itu dalam pilihan raya sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Melalui cara ini segala perasaan akar umbi akan dilepaskan di konvensyen berkenaan manakala perhimpunan agung akan menjadi medan untuk merapatkan barisan,” katanya.

Pemilihan

Malahan Mustapa juga dengan tegas menolak andaian malapetaka akan berlaku kalau pemilihan diadakan.

Ini kerana ia boleh disifatkan memperkecilkan kewibawaan dan kewarasan ahli-ahli UMNO dalam berpolitik.

“UMNO sudah berusia 50 tahun, justeru parti itu perlu yakin bahawa ahli-ahlinya mampu berbincang dan berbahas walaupun berhadapan dengan masalah getir,” katanya.

Bagi Mustapa dan beberapa pemimpin yang menyokong pemilihan diadakan, sekarang adalah waktu terbaik untuk UMNO mengadakan perubahan di semua peringkat.

Ini kerana seperti mana kata Mustapa, mahu tidak mahu perubahan sudah berlaku dengan keputusan pilihan raya lalu.

“Oleh itu UMNO dituntut untuk melakukan perubahan dengan mendengar suara akar umbi. Bagi saya kenapa UMNO boleh kalah teruk dalam pilihan lalu – disebabkan kegagalan mendengar suara berkenaan.

“Kalau pemilihan tidak ditangguhkan sudah pasti, parti akan mendapat maklum balas mengenai situasi di peringkat akar umbi sebelum pilihan raya kerana suara akar umbi UMNO adalah juga suara rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan meneruskan pemilihan ini bukanlah bermakna, ia lesen kepada ahli-ahli UMNO untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak sukai.

Adalah lebih baik jika mereka membuat keputusan memilih pemimpin berdasarkan kepada kemampuan pemimpin berkenaan bukan kerana perasaan tidak puas hati.

Namun begitu bagi Mustapa, soal emosi tidak boleh diketepikan memandangkan apa yang dialami oleh UMNO baru-baru ini.

“Tetapi apa yang penting, UMNO akan dapat mendengar suara akar umbi mengenai pemimpin yang mereka yakin mampu membawa perubahan kepada parti supaya ia terus relevan.

“UMNO memerlukan pemimpin yang berwibawa di semua peringkat termasuklah cawangan dan bahagian,” katanya.

Apa pun adalah diharapkan pemilihan kali ini menjadi medan untuk mencari saf kepimpinan yang terbaik dan bukannya gelanggang untuk melepaskan geram atau mempertahankan mana-mana pemimpin.

Ini kerana dalam situasi UMNO sekarang, ia memerlukan saf kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh parti semata-mata tetapi lebih penting rakyat secara keseluruhannya.

Kalau dalam pilihan raya lalu rakyat sudah menolak sesetengah pemimpin, maka ahli UMNO perlu bijak untuk menentukan di mana pemimpin itu seharusnya ditempatkan.

Sumber Utusan Malaysia

SMS PILIHAN 28/3/2008 2

Sumber Utusan Malaysia

JIKA ada pihak anggap DEB dan DPN sebagai ketinggalan zaman, ada juga polisi untuk bukan Melayu seperti sekolah aliran bahasa ibunda yang ketinggalan zaman.

– PENSYARAH BARU

SOKONG tulisan Zulheery Ismail dalam Forum, masyarakat majoriti Melayu perlu pertahankan DEB dan DPN dengan mengambil iktibar kisah Yahudi.

– JAWHAR

SEDIH kerana mandat yang diberi sokong pakatan pembangkang dalam PRU ke-12 disalahgunakan oleh DAP dan PKR untuk hapuskan falsafah DEB.

SESAL TAK GUNA

HAIRAN kenapa pemimpin utama PKR berdolak-dalik dan bermain wayang dengan isu-isu kepentingan Melayu.

– RAZMAN

BENARKAH ada parti tertentu menerima sokongan kewangan daripada pihak luar dalam pilihan raya bagi lemahkan kerajaan pimpinan Melayu?

– GHAZALI ZAINAL

SOKONG Datuk Zulhasnan Rafique yang pertahankan jawatan Datuk Bandar KL mesti dilantik di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukannya dipilih sebagaimana desakan DAP.

– WARGA KL

JANGAN tunduk kepada desakan DAP yang mahu Datuk Bandar KL dipilih.

– ZACH

KAGUM dan bangga kerana Malaysia memiliki tokoh ekonomi yang hebat seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Ekonomi terus stabil walaupun keadaan politik negara merisaukan.

– AHO

KERAJAAN Pusat diharap dapat membantu orang Melayu di Pulau Pinang yang miliki rumah di tanah bukan Melayu. Mungkin boleh beli tanah itu dan jual kembali secara lot kepada pemilik rumah.

– PRIBUMI

APA motif sebenar Datuk Zaid Ibrahim? Tiada rasional kerajaan atau bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk mohon maaf kepada Tun Salleh Abas.

– PAKMEA

SALAH satu faktor BN menerima kejutan ialah isu Tun Mahathir diheret ke suruhanjaya klip video dan rasa tidak hormat terhadap negarawan itu.

– TETAP SETIA

SOKONG tidak ditangguhkan pemilihan UMNO. Ahli-ahli parti bijak dan UMNO cukup berpengalaman untuk menanganinya.

– ORANG MUDA



Masa untuk menilai Pas -- Surat 1


PILIHAN Raya Umum Ke-12 telah berlalu. Di sana-sini banyak pihak masih memperkatakan mengenai keputusannya, seolah-olah satu trauma kepada Barisan Nasional (BN), manakala pemimpin pembangkang pula masih ada yang tergaru-garu kepala, memikirkan manifesto dijanjikan kepada rakyat yang perlu dikotakan.

Di kawasan tempat tinggal saya sendiri di Shah Alam, BN tewas kerusi Parlimen kepada Pas dan kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dan Kota Anggerik, dirampas Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerajaan campuran diterajui PKR, DAP dan Pas akhirnya dibentuk dengan diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, diikuti pelantikan 10 Exco mewakili ketiga-tiga parti.

Dari senarai itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Nampaknya Dr. Hassan yang sebelum ini dikenali sebagai seorang pakar motivasi, kini diletakkan harapan yang tinggi oleh rakyat Selangor yang saya percaya mahu melihat sejauh mana kemampuan mereka memperbaiki segala ‘kerosakan’ yang mereka dakwa dibiarkan oleh BN selama ini.

Namun sehingga hari ini, Pas masih membisu berhubung usaha mereka membaik pulih kerosakan itu.

Kami pengundi pembangkang, mahu kerajaan negeri, bertindak segera membasmi pertumbuhan pusat-pusat hiburan yang menyajikan segala kegiatan maksiat seperti pelacuran, rumah urut, kelab malam mahupun karaoke.

Ramai gadis Melayu terlibat dalam bidang pekerjaan tersebut. Mereka perlu diselamatkan.

Apakah Pas sedia mengambil langkah memindahkan kilang arak ke kawasan lebih jauh dan tersembunyi?

Atau Pas kini terikat dengan rakan sekutu mereka, DAP, sehingga sukar membetulkan keadaan yang dianggap tidak betul di era pemerintahan BN.

Sekarang masa untuk pengundi menilai, mampukah Pas yang selama ini menghamburkan pelbagai kecaman atas alasan membiarkan kemungkaran berlaku, dapat mengatasinya, atau mungkin mereka terpaksa menelannya semula, mengakui tidak dapat ‘memperbaiki’ kerosakan berkenaan.

– TERPANGKAH PAS,
Sumber Utusan Malaysia

Masa untuk menilai Pas -- Surat 2


SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah kerana telah mengotakan janji manifestonya untuk menjadi sebuah kerajaan kebajikan.

Bukti kebajikannya ialah apabila kerajaan mengumumkan tiket-tiket perlawanan bola sepak antara Kedah menentang Perak pada 24 Mac akan diberi secara percuma.

Cuma satu persoalan yang saya ingin timbulkan. Bukankah stadium Darul Aman sentiasa penuh saban kali berlangsungnya perlawanan melibatkan pasukan Kedah walaupun tiada tiket percuma?

Adakah pemberian tiket percuma ini adalah sebagai tanda terima kasih kerajaan baru Kedah kepada rakyat Kedah? Sekiranya ia satu penghargaan, bukankah ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan penghargaan.

Saya ingin membantu kerajaan baru negeri Kedah agar menjadi “Kerajaan Berkebajikan” yang lebih baik.

Pertama, gunakan duit kutipan tiket yang bernilai beratus-ratus ribu ringgit itu dengan membantu golongan miskin, ibu-ibu tunggal dan sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh negeri Kedah.

Kedua, sekiranya ingin juga ‘meraikan’ peminat bola sepak Kedah, berikan diskaun 50 peratus dan gunakan duit kutipan tiket itu untuk tujuan-tujuan yang telah saya sebutkan tadi.

Saya berpendapat, peminat bola sepak Kedah mempunyai wang kerana jika mereka tidak mempunyai wang, mereka tidak akan sanggup berkonvoi dari Baling, Kulim dan sebagainya ke Stadium Darul Aman.

Saya pasti mereka juga reda sekiranya pada malam tersebut pihak kerajaan negeri Kedah mengumumkan bahawa duit tiket mereka akan didermakan untuk tujuan kebajikan.

– NORHISYAM MOHAMAD,

Kuala Kedah.

Sumber Utusan Malaysia

Masa untuk menilai Pas -- Surat 3


BELUM pun sampai tiga minggu Pas memegang tampuk pemerintahan di negeri Kedah, sudah pun terbuka pekung di dada yang mana apa yang diperjuangkan selama ini hanyalah retorik semata-mata.

Saya berpendapat demikian berdasarkan keputusan kerajaan Pas negeri Kedah yang telah memberikan tiket percuma pada perlawanan bola sepak di antara Kedah dan Perak di Kedah Darul Aman, baru-baru ini.

Langkah yang diputuskan tanpa membuat kajian yang mendalam, akhirnya telah menjadikan keadaan tidak terkawal di persekitaran stadium apabila 50,000 peminat bola sepak menyerbu untuk mendapatkan tiket percuma sedangkan kapasiti stadium hanyalah untuk 30,000 orang sahaja.

Apa yang berlaku itu juga menunjukkan Pas negeri Kedah seolah-olah telah menghalalkan apa yang mereka telah tentang selama ini iaitu:

Menghalalkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan tanpa sebarang kawalan.

Menghalalkan perbuatan yang membuka aurat kerana pemain bola sepak harus memakai seluar pendek.

Menggalakkan rakyat meninggalkan solat terutamanya solat Maghrib.

Melakukan pembaziran duit rakyat untuk membayar kepada FAM dan kelab bola sepak Kedah serta Perak yang memakan belanja ratusan ribu ringgit.

– RADZI,

Shah Alam.

Sumber Utusan Malaysia

Media arus perdana perlu elak rakyat meluat


SAYA tertarik dan terpanggil untuk mengulas kenyataan yang dipersetujui dalam forum Pilihan Raya Umum 2008 - Era Baru Politik Malaysia anjuran Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Forum berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa media arus perdana telah berjaya membantu kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kerana orang ramai sudah muak dan beralih kepada media alternatif.

Secara tidak langsung kenyataan, komen atau pendapat yang tersiar dalam media-media arus perdana sama ada media cetak atau elektronik banyak menjadikan rakyat bosan dan meluat dengan pemerintah.

Sebagai media yang dibayangi pemerintah tentu tidak mahu menyiarkan kenyataan-kenyataan yang menentang arus, tetapi janganlah membuat penyiaran yang terlalu bersifat propaganda.

Kalau ada pun perkara atau dasar yang perlu disampaikan kepada rakyat jelata, janganlah ia dilambung terlalu tinggi atau semuanya lunak belaka. Siarkan secara berpada-pada sahaja. Rakyat sudah pandai menilai.

Lagipun terlalu kerap perkara yang sama diulang-ulang hebahannya akan menjadikan ia ‘kurang bernilai’. Janganlah perkara yang sama disiar, diberi ulasan atau dipanjang-panjangkan sehingga berhari-hari oleh media.

Pernah saya perhatikan sesuatu isu itu yang boleh ditatap melalui akhbar, pada hari yang sama juga masih dapat ditonton melalui televisyen dan dapat didengar melalui corong radio.

Apa yang menariknya, teks berita atau komen yang disiarkan melalui televisyen dan radio itu seolah-olah dicedok terus dari akhbar. Susunan ayat dan bahasanya sangat bersamaan.

Sepatutnya berita atau bahan yang tersiar dalam media elektronik lebih terkini kerana akhbar hanya menyiarkan berita-berita yang berlaku sehari sebelumnya selepas menjalani proses suntingan dan cetakan.

Saya sebagai salah seorang yang turut mendukung dasar-dasar pemerintah dan sangat setia kepada kerajaan kadang-kala turut ‘mencebik bibir’ bila berhadapan dengan kenyataan-kenyataan klise dan stereotaip terutama daripada pemimpin-pemimpin kita yang terpapar di media.

Mungkin pihak-pihak media ini tidak menyedari bahawa strategi mereka untuk ‘mengipas’ kerajaan sebaliknya telah mengubah tanggapan rakyat. Bila berhadapan perkara ini di kala menatap akhbar, menonton televisyen atau mendengar radio, saya terus mengalih pandangan kepada topik lain.

Rakyat sudah muak dengan kenyataan-kenyataan seperti ‘harga barangan kita jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain’, kerajaan terpaksa berbelanja sekian juta ringgit untuk subsidi; kita mempunyai sistem yang terbaik di rantau ini (kalau tidak di dunia); atau lain-lain kenyataan yang berulang kali diketengahkan apabila berhadapan krisis.

Kenyataan pemimpin ada benarnya tetapi kaedah menzahirkannya oleh media yang membawa musibah. Cukuplah sesuatu perkara itu dipromo sepintas lalu sahaja kecuali perkara yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perkara-perkara yang disebutkan itu merupakan satu elemen daripada sekian banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada kemerosotan sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Keputusan pilihan raya lalu menuntut pihak kerajaan khususnya kementerian yang terbabit dengan media supaya mengkaji semula kaedah penyiaran berita agar tidak lagi dimomokkan dengan bahan-bahan yang boleh memakan diri dan seterusnya menghapus kepercayaan rakyat. Ingat! Peranan media amat berpengaruh dalam menentukan agenda.

– MAYAPADA,

Dungun.

Sumber Utusan Malaysia

SMS PILIHAN 28/3/2008


Sumber Utusan Malaysia

MEMPERTAHANKAN DEB dan DPN bukan bererti kita kolot atau berada di zaman dinasour. Ada juga polisi melibatkan kaum lain yang boleh dipersoalkan, jika mahu.

– PENSYARAH BARU

NEGARA patut contohi Indonesia menjadikan bahasa dan sekolah aliran kebangsaan diterima pakai di semua peringkat tanpa pengecualian. Pasti dapat atasi banyak masalah perkauman.

– JAWHAR

KESILAPAN terbesar dalam sejarah kita ialah tidak bertegas melaksanakan sekolah satu aliran. Di negara lain mana ada macam itu?

– WAJAR PERBETULKAN

SELAMAT menyambut 201 tahun PDRM, tahniah kerana tetap tabah walaupun pelbagai cabaran dihadapi, anda tetap setia menegakkan undang-undang.

– EZRALEZWANI

HENTILAH bercakaran sesama sendiri. Malu kepada kaum lain. Rakyat menanti khidmat anda bukan hendak menonton kelakuan anda.

– NINJAMAN

WAHAI orang Melayu, ambillah iktibar daripada kejatuhan kerajaan Iraq. Perubahan yang membawa kesengsaraan.

– ULTRA MELAYU

PERKASAKAN lagu Warisan di televisyen biar anak muda Melayu sedar akibat bakal diterima jika negara ditadbir oleh kaum lain.

– BANGKIT KEMBALI

APA guna ada terowong SMART yang menelan belanja berbilion ringgit tetapi asyik ditutup?

– WARGA MUYSKIL

KALAU kerap Terowong SMART ditutup, lebih baik bina sistem takungan moden seperti di Korea. Lebih jimat dan efisien.

– ANTI PEMBAZIRAN

HARAP kerajaan mengambil berat masalah pelaut Malaysia, majoritinya orang Melayu yang selama ini dilupakan.

– PEMBAYAR CUKAI

DULU kata UMNO kafir. Sekarang Pas bekerjasama dengan DAP macam mana? Tolong jawab.


SMS PILIHAN 28/3/2008

SMS

MEMPERTAHANKAN DEB dan DPN bukan bererti kita kolot atau berada di zaman dinasour. Ada juga polisi melibatkan kaum lain yang boleh dipersoalkan, jika mahu.

– PENSYARAH BARU

NEGARA patut contohi Indonesia menjadikan bahasa dan sekolah aliran kebangsaan diterima pakai di semua peringkat tanpa pengecualian. Pasti dapat atasi banyak masalah perkauman.

– JAWHAR

KESILAPAN terbesar dalam sejarah kita ialah tidak bertegas melaksanakan sekolah satu aliran. Di negara lain mana ada macam itu?

– WAJAR PERBETULKAN

SELAMAT menyambut 201 tahun PDRM, tahniah kerana tetap tabah walaupun pelbagai cabaran dihadapi, anda tetap setia menegakkan undang-undang.

– EZRALEZWANI

HENTILAH bercakaran sesama sendiri. Malu kepada kaum lain. Rakyat menanti khidmat anda bukan hendak menonton kelakuan anda.

– NINJAMAN

WAHAI orang Melayu, ambillah iktibar daripada kejatuhan kerajaan Iraq. Perubahan yang membawa kesengsaraan.

– ULTRA MELAYU

PERKASAKAN lagu Warisan di televisyen biar anak muda Melayu sedar akibat bakal diterima jika negara ditadbir oleh kaum lain.

– BANGKIT KEMBALI

APA guna ada terowong SMART yang menelan belanja berbilion ringgit tetapi asyik ditutup?

– WARGA MUYSKIL

KALAU kerap Terowong SMART ditutup, lebih baik bina sistem takungan moden seperti di Korea. Lebih jimat dan efisien.

– ANTI PEMBAZIRAN

HARAP kerajaan mengambil berat masalah pelaut Malaysia, majoritinya orang Melayu yang selama ini dilupakan.

– PEMBAYAR CUKAI

DULU kata UMNO kafir. Sekarang Pas bekerjasama dengan DAP macam mana? Tolong jawab.


Khamis, 27 Mac 2008

Hormati kontrak sosial


Saya terbaca artikel mengenai isu nasionalisme berdasarkan kaum (ethnonationalism) dalam makalah bulanan antarabangsa Journal of Foreign Affairs keluaran terbaru.

Tajuk ini diberi paparan utama (cover story) yang menggambarkan kepentingan isu ini dalam keadaan politik dunia masa kini.

Saya mendapati Malaysia juga tidak terkecuali, dan ini mendorong saya untuk menulis dalam ruangan pendapat di sini.

Artikel tersebut memberitahu tentang dominasi puak Yahudi di Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun mereka adalah puak minoriti, mereka terkenal kerana menguasai bidang perniagaan dan perdagangan.

Apabila mereka diberi hak politik, berbekalkan pengaruh mereka dalam bidang ekonomi, mereka menjadi semakin berkuasa apabila menguasai bidang profesional yang lain.

Pada awal kurun ke-20, separuh daripada doktor dan peguam di bandar-bandar Eropah seperti Budapest, Vienna dan Warsaw adalah terdiri daripada puak Yahudi. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum majoriti.

Eropah menyaksikan kebangkitan Hitler yang mengekploitasi isu ini atas nama membela bangsa majoriti Jerman. Beliau menggunakan sentimen nasionalisme berdasarkan kaum (iaitu kaum majoriti Jerman di negara Jerman) yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya iaitu Perang Dunia Kedua.

Isu ini tidak berakhir di situ sahaja. Selepas Perang Dunia Kedua, puak Yahudi bertekad untuk mewujudkan negara Yahudi iaitu Israel. Pembentukan negara Israel adalah melalui tipu muslihat dan perampasan tanah bangsa Palestin yang telah menetap secara turun temurun.

Kesaksamaan

Dalam suasana pascaperang yang memperlihatkan keazaman dunia untuk bersatu dengan pembentukan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu dan kemerdekaan negara-negara bekas jajahan seperti Malaysia yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan penduduk, Israel pula sibuk dalam halnya untuk mewujudkan negara khas untuk puak Yahudi yang terang-terangan bersifat perkauman.

Bangsa Arab yang menetap di Israel menjadi warga kelas kedua dan bangsa Palestin dinafikan hak mereka untuk berkerajaan sendiri serta ditindas hingga ke hari ini. Ini adalah sebab utama kenapa kita tidak mengiktiraf negara Israel.

Kita mendapati isu yang sama juga terdapat di Malaysia. Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ekonomi negeri rata-rata dikuasai oleh pihak bukan Melayu. Tetapi, dalam usaha menubuhkan negara kita sendiri pada 1957, kita telah mencapai persetujuan dalam bentuk kontrak sosial (social contract) di mana bangsa Melayu telah melepaskan hak mereka sebagai kaum majoriti dan pihak minoriti mengiktiraf kedudukan kaum Melayu dari segi bahasa dan agama rasmi serta kedudukan sultan-sultan Melayu.

Ini adalah penting kerana kita telah berusaha untuk menjaga kepentingan semua pihak menerusi amalan tolak ansur. Amalan ini diteruskan apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.

Kontrak sosial ini sedikit tercalar dengan penyingkiran Singapura pada 1965 dan rusuhan kaum pada 1969. Sejak itu, Malaysia seterusnya menyaksikan keutuhan kontrak sosial sehingga tamat pilihan raya umum baru-baru ini.

Adalah menarik untuk mengatakan bahawa secara sosialnya, Malaysia pada hari ini adalah sama dengan Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Ekonomi Malaysia rata-rata dikuasai oleh pihak bukan bumiputera walaupun pihak bumiputera adalah majoriti.

Maka, apabila kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua pihak selama ini dipersoal, saya yakin ini hanya akan menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati.

Tidak dinafikan bahawa dunia material masa kini yang menyaksikan konsep kelangsungan pihak yang berkelebihan (survival of the fittest). Tetapi konsep ini tidak ada gunanya jika ini hanya menimbulkan lebih banyak unsur tidak seimbang dari segi politik dan ekonomi yang menyaksikan lebih banyak rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan pihak majoriti di negara ini.

Malaysia bernasib baik kerana pihak majoriti tidak melangkaui batas seperti Hitler. Malaysia juga bernasib baik kerana pemimpin kita tidak mengeksploitasi kuasa politik mereka untuk mewujudkan negara seperti Israel.

Oleh yang demikian, semua pihak patut berbincang dalam suasana penuh hemah dalam usaha untuk mencapai kata sepakat yang akan memenuhi hak dan kepentingan pihak majoriti tetapi dalam masa yang sama tidak mengabaikan pihak minoriti.

Saya yakin, dengan mempertahan konsep kontrak sosial secara lebih rasa tanggungjawab, negara kita akan terus makmur walaupun dalam kemelut politik yang melanda negara kita dari semasa ke semasa.

– ZULHEERY ISMAIL,

Universiti Malaya.

Sumber Utusan Malaysia

Rabu, 26 Mac 2008

Dengar suara hati rakyat -- Surat 1

Akhirnya ada pemimpin UMNO yang mampu memberikan teguran dan cadangan yang matang. Sebagai anak Terengganu, saya berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mencadangkan supaya Perdana Menteri membawa Datuk Idris Jusoh menghadap ‘istana’ untuk menyelesaikan masalah pelantikan Menteri Besar (MB) Terengganu.

Kedua-dua pihak sama ada UMNO dan ‘istana’ harus merujuk sejarah bagaimana kejatuhan kerajaan atau empayar terdahulu akibat kekecewaan rakyat yang tidak dapat dibendung lagi. Jadi para pemimpin baik dari UMNO dan ‘istana’ sepatutnya sedar yang menjadi keutamaan di sini adalah hati majoriti rakyat Terengganu.

Kenyataan Muhyiddin selari dengan suara-suara kebanyakan rakyat Terengganu. Apa pun masalah antara ‘istana’ dan Idris, selesaikanlah segera kerana rakyat tidak ingin melihat kemajuan-kemajuan yang baru dikecapi kini terbantut setengah jalan.

Terengganu tidak boleh disamakan dengan negeri lain, Selangor umpamanya, walaupun kerajaannya kini bukan dari komponen BN tetapi Selangor mempunyai prasarana yang cukup untuk memacu pertumbuhan ekonominya tetapi keadaan sebaliknya di Terengganu yang baru mula ‘merangkak-rangkak’.

Apa yang lebih penting, rakyat Terengganu mula menghayati perubahan minda yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Mereka mula membina keyakinan dan jati diri sebagai anak Terengganu. Ini bukan kerja mudah berbanding membina sebuah lebuh raya. Bayangkanlah oleh kerana ketinggalan terlalu jauh ke belakang, ada anak jati Terengganu yang malu hendak mengaku sebagai rakyat negeri ini, apatah lagi hendak pulang ke sana.

Suka atau tidak ini adalah hakikat yang perlu diakui semua, senario sekarang sudah mula berubah. Anak-anak Terengganu di perantauan pun sudah mula membuka mata terhadap tanah tumpah darahnya sendiri.

Barangkali statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi di Terengganu boleh dijadikan petunjuk. Begitu juga dengan rungutan sesetengah pihak terdapatnya banyak kenderaan dari luar Terengganu masuk ketika pilihan raya baru-baru ini.

Mereka inilah anak-anak Terengganu di perantauan yang pulang untuk memberikan komitmen mereka tapi malangnya dirujuk oleh sesetengah pemimpin sebagai pengundi hantu.

Mentaliti rakyat Terengganu dalam memilih pemimpin telah dizahirkan dalam beberapa pilihan raya yang lepas. Mereka bukan sekadar memilih parti tetapi juga pemimpin dari parti itu sendiri.

Percaturan lemah yang dibuat baru-baru ini menyaksikan beberapa muka baru ditolak rakyat.

Jika didengar betul-betul suara hati orang Terengganu, mereka inginkan pemimpin yang bukan sekadar berpendidikan tinggi tetapi benar-benar mendekati dan memahami kehendak semua lapisan rakyat sebelum diangkat sebagai pemimpin.

Kesimpulan di sini rakyat Terengganu sedar apa yang mereka mahu untuk diri dan anak cucu mereka. Lantaran itu, mereka telah memilih nakhoda untuk membawa mereka ke destinasi yang diharapkan.

Pelayaran baru bermula dan seburuk-buruk mana pun nakhoda ini, orang Terengganu mahu melihat dulu sejauh mana beliau mampu menyusuri arus kemajuan tanpa membocorkan bahtera keimanan dan ketakwaan.

Untuk orang Terengganu, Allah telah mengingatkan kita yang nasib sesuatu kaum tidak akan berubah sehingga kaum itu sendiri yang mengubahnya. Dunia ini tanggungjawab kita dan akhirat itu adalah matlamat kita. Gagal salah satu maka bererti rosaklah kedua-duanya.

Untuk pemimpin-pemimpin Terengganu pula sama ada dari mana-mana parti politik mahupun pihak istana sendiri, rakyat sudah muak dengan ‘peladang-peladang tebu di tepi bibir’.

Apa yang lebih penting, bukan rakyat sahaja yang memerhati kelakuan kamu tapi ingatlah kita semua akan diperhitungkan oleh Allah satu persatu.

– LUHUR DARI HATI,

Anak Terengganu.
Sumber Utusan Malaysia

Dengar suara hati rakyat -- Surat 2

INI bukan masanya untuk berkrisis. Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu mesti diselesaikan segera. Kepercayaan rakyat terhadap institusi raja dan institusi politik khususnya UMNO perlu diberi keutamaan.

Kita sangat bersetuju dengan saranan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya isu ini segera diselesaikan bagi mengelakkan kesannya melimpah kepada rakyat kerana bimbang ia boleh mencetuskan krisis perlembagaan.

Sebagai seorang pemimpin berpengalaman dan pernah berdepan dengan krisis perlembagaan dan pertikaian antara UMNO dan institusi raja (ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor), isunya lebih besar dan hebat daripada isu di Terengganu sekarang, maka beliau sangat sedar ada bahaya menanti di hadapan.

Dalam menangani isu seperti ini beliau sentiasa mengingatkan bahawa kuasa politik yang dipegang oleh UMNO bagi mempertahankan kedudukan orang Melayu hendaklah diberi keutamaan dan pada masa yang sama institusi raja yang menjadi benteng terakhir orang Melayu wajib dipertahankan.

Tan Sri Muhyiddin telah membuktikan bahawa isu ini boleh diselesaikan secara berhemah - ibarat menarik rambut di dalam tepung. Akhirnya, isu yang pada mulanya dianggap sebagai tanda berakhirnya kerjaya politik beliau suatu ketika dahulu, menjadi sebaliknya.

Kita bersetuju dengan rencana pengarang Utusan Malaysia semalam yang menyarankan agar semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mengendurkan pendirian masing-masing dan duduk semeja mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kita perlu sama-sama berkepala dingin dan mengetepikan ego masing-masing jika kita percaya dan yakin bahawa tanggungjawab paling besar bagi kita semua ialah membela nasib rakyat, bangsa, agama dan negara.

Institusi raja dan UMNO tidak boleh dipisahkan. Seperti kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid, “itulah peradaban kita, istana dan kerajaan kena selari.”

Kita setuju. Belajarlah daripada sejarah bagaimana kejatuhan sesebuah pemerintahan oleh kuasa rakyat yang mempertahankan rajanya. Bagi rakyat, kerajaan boleh bertukar ganti, tetapi kedudukan raja kekal abadi.

Oleh itu, hentikanlah krisis yang tidak menguntungkan dan memalukan bangsa Melayu ini. Mengalah tidak bererti kalah. Di situlah ada hikmah dan hemah. Jika kita percaya pada qadak dan qadar, inilah qadak dan qadar-Nya.

– M. HANAFIAH A. SAMAD,

Kuala Lumpur.
Sumber Utusan Malaysia

Jangan ada lagi alasan pertikai ketelusan SPR


SECARA keseluruhannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan lancar dan berjaya. Rakyat selaku pengundi telah menunaikan hak demokrasi serta tanggungjawab dalam memilih perwakilan dan kerajaan.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 telah memeranjatkan banyak pihak. Kepada proses demokrasi, pilihan raya tersebut telah membuka mata dan menyedarkan pihak-pihak yang mengkritik SPR sebelum ini, (yang mengatakan bahawa proses pilihan raya di negara ini tidak bebas, tidak adil dan telus).

Sebelum ini, terdapat individu-individu, parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan, yang mempertikai kewibawaan SPR dan ketelusan proses pilihan raya di negara ini.

Setiap kali negara menghadapi pilihan raya, tuduhan dan dakyah kedengaran yang menuduh SPR tidak bebas, tidak telus dan tidak berkecuali. Isu ‘pengundi hantu’ dan perbuatan menghalang pemilih yang berhak dan sah di sisi Perlembagaan untuk mengundi telah berlaku di tempat-tempat tertentu.

Isu tersebut telah digunakan sebagai alasan apabila seseorang calon kalah dalam pilihan raya. SPR telah dilemparkan dengan tohmahan dan cacian atas isu-isu yang tidak benar .

Saya berharap dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 ini akan menyedarkan pihak-pihak yang selama ini mempertikaikan ketelusan SPR dan proses pilihan raya.

Daripada 10.9 juta pemilih berdaftar, 8.1 juta (76 peratus) pemilih telah keluar mengundi. Daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN yang sebelum ini menguasai lebih 2/3 kerusi Parlimen, berjaya memperoleh 140 kerusi, manakala PKR berjaya mendapat 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).

Parti-parti pembangkang tersebut turut berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, selain kekal di Kelantan. Pilihan Raya Umum Ke-12 telah membuktikan bahawa proses demokrasi kekal kukuh dan mantap.

Demokrasi melambangkan kuasa rakyat melalui sistem pilihan raya yang bebas dan telus. Rakyat selaku pengundi boleh memilih calon yang mereka suka. Hakikat bahawa rakyat bebas untuk menunaikan hak mereka yang dijamin di bawah Perlembagaan dan proses pilihan raya kita adalah adil dan telus, telah terbukti.

Rakyat telah membuat keputusan. Calon/parti yang menang perlu menunaikan janji dan tanggungjawab mereka.

Mereka yang melemparkan dakyah dan fitnah terhadap SPR serta mempertikaikan proses dan prosedur pilihan raya di negara ini, termasuk dakyah isu pengundi hantu diharap sedar dan jangan ada lagi apa-apa alasan untuk mempertikaikan ketelusan pilihan raya di negara ini.

Kemenangan 82 kerusi di Parlimen oleh parti-parti lawan, yang saya rasa mereka sendiri tidak menjangka sebenarnya bukti ketelusan SPR dan proses pilihan raya.

SPR mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan selamat berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Bagi SPR, Pilihan Raya Umum Ke-12 telah berjaya dan proses demokrasi telah berjalan lancar. Hak rakyat telah dijamin dan rakyat bebas memilih perwakilan mereka dan kerajaan. Dengan kuasa rakyat melalui peti undi, yang menunaikan hak di bawah Perlembagaan, rakyat akan menilai semula perwakilan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.

Keputusan Pilihan Raya Umum-12 telah membuktikan kredibiliti SPR sebagai badan berkecuali dan proses pilihan raya di negara ini telus dan adil.

– DATUK WAN AHMAD WAN OMAR,

Timbalan Pengerusi SPR.
Sumber Utusan Malaysia

SMS Pilihan 26/3/2008

Sumber Utusan Malaysia

SEKARANG lihat, mengundi pembangkang konon demi keadilan. Kini di mana keadilan itu?

– ANAK JATI

SEDIH bila ada pemimpin Melayu yang sanggup menindas sesama sendiri dan pejamkan mata, pekakkan telinga bila hak bangsa dikhianat dan dinodai.

– HBD KB

KITA perlu mencari formula baru supaya bukan 30 peratus, tetapi sekurang-kurangnya 50 peratus ekuiti dipegang orang Melayu.

– 013-785XXXX

PEMBANGKANG di lima negeri menghambur banyak duit yang ditinggalkan oleh BN, kononnya duit rakyat untuk rakyat. Tunggulah bila akaun dah susut, pasti rakyat akan dijerut kembali.

– TOPUI

KERAKUSAN pemimpin Melayu pembangkang kejar kuasa dan pengundi Melayu menunjukkan mereka sanggup melihat maruah bangsa dipijak.

– MELAYU WARGA ASING

ORANG Melayu, ayuh jangan lakukan kesilapan yang sama. PKR dan Pas tidak ada semangat Melayu. Sanggup jadi pak turut DAP.

– UNDI BN

SETUJU dengan Lt. Jen. (B) Datuk Abdullah Samsudin - buat perniagaan apa besar-besar bukan hak kita. Tak guna membangun, tetapi jadi hak orang, lama-lama merempat di bumi sendiri.

– ANAK KELANTAN

SAYA sokong ‘benci hipokrit’. Bukan saja DAP marah demonstrasi aman malah minta pulak tindakan mengikut ISA?

– SEJARAH TETAP RELEVAN

SEDARLAH tatkala tanah dan negeri sendiri dikuasai orang lain, anak-anak Melayu masih selesa berpeleseran, merempit dan hanyut diulit gejala sosial yang dimurkai Allah. Bilakah anak-anak bangsa ini akan bangkit?

– MAMAT

SUDAH 50 tahun rakyat Malaysia aman bahagia kaya-raya. Mengapa derita sengsara yang kita cari? Ke mana nak kita bawa Malaysia ini?

– AHO BALING

Isnin, 24 Mac 2008

Menghayati maksud raja berperlembagaan

Sumber Utusan Malaysia

DALAM tahun 1980, Sultan Azlan Shah, ketika itu Ketua Hakim Negara, telah mengingatkan bahawa ‘mahkota’ akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar. Seri Paduka Baginda melunaskan pendapat itu dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Baru-baru ini Raja Dr. Nazrin Shah, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, sekali lagi menekankan dalam nada yang seakan-akan sama, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat.

Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya.

Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka.

Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati.

Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.

Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung kepala dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama.

Menurut Richard Buskin, pengarang buku British Royalty, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 orang soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.

Republik

Kemangkatan Charles I menamatkan institusi raja untuk satu jangka waktu. Sungguhpun Lord Protector Oliver Cromwell pada hakikatnya merupakan seorang presiden yang mengetuai sebuah republik bernama Britain, namun konsep republik ketika itu belum benar-benar timbul dan dihayati, apalagi untuk diamalkan secara menyeluruh.

Oleh itu, keberkesanan pemerintahan Cromwell hanya bergantung semata-mata pada kekuatan peribadinya. Justeru pemerintahan baru yang dikemukakannya tidak menjadi satu alternatif teguh dan berkekalan.

Dalam keadaan begitu, ketika fizikalnya menjadi lemah akibat usia, timbul penentangan sehingga akhirnya beliau terbunuh.

Maka, tanpa pilihan lain, King Charles II diangkat ke takhta. Dengan itu kembalilah institusi raja di UK.

Dunia mengetahui hanya kira-kira 100 tahun kemudian barulah konsep republik dihayati secara mendalam dan menyeluruh apabila anak jajahan UK di Amerika bangkit berperang dengan tentera King George III hingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1776, dengan George Washington menjadi Presiden pertamanya.

Tiga belas tahun kemudian, Perancis mengikut jejak langkah Amerika setelah King Louis XVI dipenggal kepala di bawah gallow. Kini sistem republik menjadi satu alternatif kepada sistem beraja. Jumlah negara republik di dunia adalah lebih banyak daripada jumlah negara beraja.

Kemangkatan Charles I dan pulihnya institusi raja di bawah Charles II setelah Cromwell meninggal merupakan satu titik-tolak ke arah wujudnya institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan dengan baik oleh Queen Elizabeth II sekarang ini.

Menurut pakar undang-undang perlembagaan, institusi raja dan Parlimen UK (yang dirujuk sebagai induk kepada segala Parlimen dunia) merupakan sistem Raja Berperlembagaan yang ‘ideal’ dan ‘realistik’ yang harus diikuti sebagai contoh oleh dunia.

Institusi raja di Jepun, Belanda, Sweden, Sepanyol, Norway dan Belgium adalah di kalangan yang mengamalkan sistem institusi raja UK.

Dalam undang-undang perlembagaan European Union, apa yang dipentingkan dalam peruntukannya ialah ‘teleological’ atau maksud asal di sebalik sebarang peruntukan. Apabila timbul keraguan dalam interpretasi sesuatu peruntukan, maka interpretasi akan dibuat menurut apa yang sebenarnya menjadi sebab mengapa peruntukan itu dibuat pada asalnya.

Di UK, peruntukan mengatakan raja berhak melantik Perdana Menteri, sebagai contoh. Namun hak itu bergantung (‘subjected to’) kepada parti politik yang menang dalam pilihan raya.

Di sinilah letaknya ‘semantics’ (atau ‘pemerian’) bahawa Perdana Menteri hendaklah terdiri daripada ahli (Parlimen atau badan perundangan yang serupa) yang mendapat keyakinan ‘majoriti’ ahli-ahli Parlimen atau badan demikian.

Di peringkat negeri di Malaysia, istilah ‘Perdana Menteri’ dalam ungkapan di atas boleh digantikan dengan ‘Menteri Besar’ atau ‘Ketua Menteri’.

Pada realiti amalan politik, ketua parti relevan yang menang dalam pilihan raya berhak menamakan siapa menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Menghayati dan menghormati segalanya itu membuatkan ‘constitutional monarchies’ di Jepun dan beberapa buah negara di Eropah itu menjadi begitu stabil dan amat tinggi estemnya. Raja Berperlembagaan di Malaysia tentunya mampu selaras kalaupun tidak melebihi daripada itu.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SIAPA kata rakyat Malaysia sudah tidak lagi bersikap perkauman dalam undi mereka pada pilihan raya umum lalu?

Realitinya majoriti rakyat masih membuat penentuan berdasarkan kepentingan dan sentimen kaum masing-masing.

Bukan rahsia bahawa kejayaan DAP menawan Pulau Pinang dan dominan di tiga negeri lagi antara lain kerana kempen undi Cina untuk Cina.

Begitu juga sikap kaum India yang drastik beralih menyokong pembangkang kerana sentimen perkauman dan isu Hindraf.

Malah pemimpin Barisan India Kemajuan Semalaysia (IPF) kelmarin mengakui bahawa penyokong parti itu yang selama ini mengundi BN, telah belot kononnya kerana kaum mereka terpinggir.

Awang sudah bosan mendengar alasan kabur yang sengaja dibesar-besarkan. Sedarkah bahawa golongan termiskin di negara ini ialah orang Melayu sebagaimana laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Sedarkah juga bahawa antara faktor makin ramai orang Melayu menolak BN kerana kecewa UMNO banyak beralah kepada asakan bukan Melayu.

Bukankah itu semua bersifat perkauman?

Awang – Antipelampau.
Sumber Utusan Malaysia

SMS PILIHAN 24/3/2008

SOKONG pandangan ramai bahawa undi Melayu kepada pembangkang bukan mandat untuk hapuskan DEB.

– SYAFIQ

KECEWA dengan Anwar Ibrahim kerana menolak DEB dan DPN. Saya sekeluarga sokong PKR tetapi ini balasannya.

– PENGUNDI SEDAR

KENAPA PKR mahu hapuskan DEB? Lihatlah rumah-rumah kedai dikuasai oleh orang Cina. Dengan ada diskaun pun, Melayu ketinggalan apatah lagi kalau tiada DEB.

– WARGA PATRIOT

BENAR kata Hadi Awang dan Nik Aziz bahawa DEB masih relevan. Jika ada kelemahan pelaksanaan, atasi masalah tersebut. Bukannya mansuhkan.

– HABIBULLAH

HAIRAN ada pemimpin Melayu sanggup bersekongkol dengan DAP untuk hapuskan DEB. Nampaknya agenda DAP berjaya dengan pecahkan Melayu melalui pemimpin tertentu.

– PELAJAR SEDIH

KENAPA Lim Guan Eng dan DAP tidak tarik balik kenyataan untuk hapuskan DEB?

– MAHU TAHU

HARAP UMNO dan Pas mulakan perbincangan untuk mengeratkan kerjasama demi penyatuan Melayu dan Islam. Kalau Pas boleh kerjasama dengan DAP, kenapa tidak boleh dengan UMNO?

– 019-352XXXX

SETUJU tulisan Ahmad Sadikin dalam Forum Jumaat lepas. Politik perkauman kita masih tebal. Lihatlah gerakan kempen undi Cina untuk Cina sampai DAP tawan Pulau Pinang.

– PESARA GURU

ANGGAPAN bahawa politik perkauman sudah berakhir ternyata silap.

– MUALAF LAMA

MINTA Zaid Ibrahim jangan ungkit hal-hal lama. Ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malah rakyat akan kecewa.

– ZAMANI ZAMAN

MINTA Ketua Menteri Pulau Pinang jangan memohon wang daripada Petronas.

– MAHU ADIL

APA guna ada terowong SMART yang berbilion ringgit, kalau kerap ditutup terutama musim hujan?

– WARGA BINGUNG

TERIMA kasih Datuk Seri Zainuddin Maidin atas jasa membangunkan perkampungan nelayan Tanjung Dawai, Kedah sepanjang perkhidmatan cemerlang sebagai Ahli Parlimen Merbok penggal lalu.

– MDOR

Strategi pikat hati pengundi Kelantan

SAYA harap saudara tidak keberatan berkongsi pandangan saya dengan para pembaca, berkenaan kemenangan Pas di Kelantan.

Barisan Nasional (BN) terperanjat terduduk apabila Pas menang besar di Kelantan, perlulah kita faham satu sebab orang Kelantan menolak BN.

Rakyat Malaysia yang tinggal di luar dari Kelantan biasa mengatakan yang orang Kelantan adalah cherish, dan saya kata mereka juga “patriotik” Kelantan.

Saya telah memahami cara pemikiran orang Kelantan, “biar berniaga kecil-kecil hak kita, buat apa besar bukan hak kita”. Itulah sebabnya rakyat di Kelantan bersyukur di bawah pemerintahan Pas. Segala perniagaan kecil dan besar adalah hak anak Kelantan.

Saya pernah bertugas di Kelantan selaku panglima briged pada tahun 1977 dan 1978. Ramai anggota askar wataniah yang dikerah penuh masa, bertugas di bawah arahan saya. Saya mengenali orang Kelantan melalui askar saya, kerana saya selalu rapat dengan mereka.

Apabila Lebuh Raya Timur - Barat dibina dari Gerik ke Jeli, orang Kelantan tidak senang hati kerana bimbang peniaga dari Perak dan Pulau Pinang akan masuk dengan senang ke Kelantan.

Saya menasihati anggota wataniah untuk memaklumkan kepada orang Kelantan yang lebuh raya ini sangat diperlukan bagi menjaga keselamatan.

Jalan ini adalah dalam kawasan hitam dan tidak boleh digunakan sesuka hati. Saya boleh menutup jalan ini apabila perlu. Ini memberi kesenangan kepada fikiran orang Kelantan daripada pelbagai kaum.

Penduduk Kelantan teramai sekali adalah dalam jajahan Kota Bharu, satu pertiga penduduk didapati dalam jajahan-jajahan lain.

Dalam ceramah pilihan raya tahun 1978, selepas pengisytiharan darurat dan pemerintahan pusat atas Kelantan ditarik balik pada 12 Februari 1978, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan telah membuat satu perjanjian dengan pengundi yang memikat hati mereka. Sekiranya BN menang, tol jambatan Kota Bharu akan dimansuhkan.

Jambatan tersebut dibina oleh kerajaan Pas dengan wang pinjaman.

Pada malam kiraan undi lebih kurang pukul tiga pagi, BN telah menang 19 daripada 36 kerusi. Pada saat pengumuman tersebut penduduk Kota Bharu tidak lagi mahu membayar tol.

Maka, tamatlah pembayaran tol jambatan berkenaan pada waktu itu.

Inilah yang memberi keuntungan terus kepada pengundi dan kemenangan BN sebanyak 23 kerusi.

Sayangnya kerajaan BN Kelantan memberi keutamaan menaik taraf bandar Kota Bharu.

Pengundi di jajahan lain tidak merasai apa-apa keuntungan dari pembangunan.

Dalam pilihan raya seterusnya tidak ada “faedah direct benefit” kepada pengundi yang dijanjikan oleh BN.

Dalam fikiran pengundi di Kelantan, jika BN hendak memajukan Kelantan secara besar-besaran pasti ramai orang luar akan masuk Kelantan. Inilah yang tidak direlakan oleh rakyat Kelantan.

Di bawah pemerintahan Pas tidak ada perniagaan luar akan masuk Kelantan dan ini akan menjaminkan kepentingan peniaga kecil dan besar di negeri itu.

Pendapat saya jika hendak memikat hati dan mengubah mindset pengundi di Kelantan, bantulah peniaga kecil membesar sehingga menjadi “yang besar juga hak kita”.

Ini adalah pandangan persendirian dan bukan penganalisis politik, saya bukan ahli parti politik.

– LT. JEN. (B) DATUK ABDULLAH SAMSUDIN.

Sumber Utusan Malaysia

Jangan pandang sebelah mata medium blog

ISTILAH globalisasi merujuk kepada fenomena yang menjadikan dunia kelihatan seperti mengecil dari segi perhubungan manusia kerana kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Dewasa ini, Internet merupakan alat globalisasi yang tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam menyebarkan maklumat.

Blog pula ialah salah satu media alternatif yang menggunakan jaringan Internet dan semakin popular digunakan, khasnya oleh golongan muda kerana masa dan ruangannya yang tidak terhad seperti media-media lain.

Baru-baru ini, iaitu pada 11 Mac 2008, satu diskusi berkaitan blog bertajuk ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’ telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam diskusi tersebut, panelis-panelis telah mendedahkan bahawa sehingga Februari lalu, terdapat 108 juta laman blog yang wujud, dengan 120,000 blog baru setiap hari atau 1.4 blog sesaat.

Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa blog merupakan medium yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat bagi menyalurkan maklumat antaranya agama, pendidikan, undang-undang, politik dan bisnes.

Malah ia turut menyuarakan pandangan mereka menerusi catatan-catatan atau diari dalam talian, keluh-kesah, artikel dan komen berkenaan pelbagai perkara, lazimnya dalam isu melibatkan masyarakat dan pemerintahan negara.

Sehubungan itu, hasrat Menteri Penerangan yang baru, iaitu Datuk Ahmad Shabery Cheek, untuk mendekati para penulis blog adalah sangat wajar dan harus dipuji.

Beliau berpendapat bahawa pandangan penulis blog tidak boleh diketepikan, dan menyatakan keinginannya untuk membuat pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan maklum balas sebagai usaha membantu pembangunan negara.

Ini adalah kerana, pandangan-pandangan yang dimuatkan ke dalam blog lazimnya merupakan ‘suara hati’ yang sebenarnya kerana tidak melalui sebarang ‘penapisan’. Jadi, ketulenan pandangan tersebut adalah lebih tinggi dan perlu diambil kira dalam menilai hasrat dan keinginan masyarakat terhadap negara khususnya.

Kesimpulannya, blog merupakan medium yang tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ seperti pada awal penggunaan Internet di negara kita.

Masyarakat hari ini semakin peka dan bijak menggunakan teknologi dalam menyalurkan sebarang idea, pandangan dan ketidakpuasan terhadap sesuatu perkara.

Justeru, usaha yang ingin dilakukan oleh beliau bagi mendekati penulis blog adalah wajar disokong.

– Mohd Faisal Mustaffa,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya.

Sumber Utusan Malaysia

Lagi seruan pertahan DEB

PILIHAN Raya Umum Ke-12 telah pun hampir dua minggu melabuhkan tirainya namun gelora politik di Malaysia masih lagi hangat dan menarik untuk diikuti. Dimulai dengan tewasnya parti kerajaan di tangan pembangkang di lima negeri sehinggalah kontroversi isu-isu baru termasuk pelantikan Kabinet dan Menteri Besar, menjadikan fenomena politik di negara ini semakin menjadi perhatian rakyat.

Mungkin ada yang bingung, terkejut, marah dan juga kesal dengan keputusan pilihan raya yang baru sahaja berlalu.

Hakikatnya ramai yang mulai sedar bahawa undi mereka sebenarnya mempunyai kuasa yang ‘luar biasa’ bagi menentukan hala tuju dan juga masa hadapan mereka.

Sebagai seorang anak muda yang baru sahaja menjejaki usia dewasa, pengalaman membuang undi buat pertama kali merupakan sesuatu pengalaman yang berharga.

Namun, setelah keputusan pilihan raya diumumkan, saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam ‘suara rakyat’ pada kali ini. Dapat dilihat setiap undi yang dibuat oleh mereka disertai dengan emosi, rasa tidak puas hati dan juga kecewa dengan kepimpinan negara.

Mungkin mereka merasakan bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak mampu untuk membela mereka dalam isu-isu nasional seperti kenaikan harga minyak, barangan dan juga isu berkaitan dengan perpaduan.

Namun, apa yang paling mengecewakan saya selaku orang Melayu-Islam pada pilihan raya kali ini adalah tentang aspek kerapuhan bangsa Melayu sendiri. Saya amat terkejut kerana ada di kalangan elit Melayu dan juga pemimpin pembangkang yang membuat pernyataan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan dasar yang tidak adil dan juga menolak untuk meneruskan semangat dasar tersebut (yang pada hari ini diteruskan melalui DPN).

Melalui pemahaman saya, DEB merupakan satu dasar yang sangat unik kerana di samping membantu orang Melayu (yang merupakan kaum yang agak ketinggalan dari segi ekonomi) ia juga membantu merancakkan lagi ekonomi negara.

Sudah jelas tertulis bahawa dua objektif utama DEB adalah membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Malahan mungkin ramai yang terlupa atau ‘buat- buat lupa’ bahawa DEB diasaskan rentetan tragedi berdarah 13 Mei 1969.

Oleh itu, matlamat utama DEB adalah untuk mewujudkan pembahagian kekayaan secara adil di samping menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan kerjasama dan perpaduan kaum.

Walaupun DEB tidaklah boleh dikatakan terlalu berjaya (dengan orang Melayu hanya mencapai kurang 20 peratus pegangan ekuiti daripada sasaran 30peratus) namun sekurang-kurangnya ia telah berjaya membentuk komuniti elit Melayu dalam bidang profesional (walaupun sesetengahnya sudah mula lupa diri).

Saya juga merasa sedikit terkilan dengan sikap sebahagian orang Melayu yang menyokong pihak yang ternyata memusuhi kaumnya sendiri. Saya tidak pernah merasa marah mereka mengundi pembangkang jika niat mereka untuk kebaikan bangsa Melayu, namun saya merasa sedih kerana masih ada orang Melayu yang membela mereka setelah terang-terangan pihak tersebut menidakkan hak keistimewaan orang Melayu dan juga mula mempersoalkannya.

Mungkin ramai di antara kita pada hari ini tersilap memilih kawan. Justeru, harapan saya semoga lima tahun yang akan datang tiada lagi kesilapan yang kita lakukan.

“Ingatlah wahai bangsaku Melayu, suatu masa dahulu siapa yang mempunyai kesedaran dalam memperjuangkan nasib bangsa menentang gagasan Malayan Union? Pada masa dahulu siapa yang bangkit berjuang demi memastikan bangsamu kekal berdaulat?

Selama ini selama 50 tahun negara merdeka siapa yang membela kamu? Siapa yang memberi peluang pendidikan yang le- bih baik kepada anak-anak kamu dan se- hingga ke hari ini siapa yang tetap mempertahankan hak kamu, keistimewaan bangsa kamu, ketuanan dan kedaulatan institusi beraja kamu walaupun undi kamu bukan lagi untuk mereka? Siapa? Dan beginikah caranya kita mengucapkan terima kasih?”

– PENCERAMAH PERTAMA,

Sarawak.

Sumber Utusan Malaysia

Analisis: Antara kelemahan media utama, konflik Umno

Oleh Redhuan D Oon

SELEPAS impak kejutan berikutan keputusan yang memihak kepada pembangkang di beberapa negeri mula reda, muncul pula pelbagai teori yang cuba menjelaskan punca perubahan besar dalam corak pengundian.

Satu teori yang agak popular menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai media alternatif amat berkesan dalam menentukan arah tuju keputusan pengundian.

Pilihan Raya Umum Ke-12 bukanlah julung-julung kalinya internet digunakan sebagai landasan berkempen calon. Walaupun internet mula digunakan sebagai satu media alternatif sejak Pilihan Raya Umum 1999, keberkesanannya tidak diberi perhatian yang sewajarnya, lantaran keputusan pemilihan yang memihak kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah Barisan Nasional (BN).


Tetapi dalam pilihan raya umum kali ini, berikutan kekalahan di luar dugaan yang menimpa BN hingga kecundang empat kerajaan negeri (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) selain Kelantan � ramai terpinga-pinga dan tercari-cari punca kepincangan yang melanda BN.

Ia sekali gus, mengaitkan peranan internet sebagai media alternatif dan seterusnya salah satu punca utama fenomena 'taufan politik yang menggegarkan BN'.

Sekali imbas, penulis tidaklah berapa terpengaruh dengan pendapat berhubung peri kuatnya media alternatif kerana ada juga teori lain yang menyatakan media utama yang dikawal kerajaan BN turut memainkan peranan besar dalam usaha menjana keyakinan pengundi terhadap parti pemerintah � walaupun berat memihak kepada BN sehingga menyebabkan pengundi mengutarakan bantahan dengan memangkah parti pembangkang dalam kertas undi mereka.

Di dada akhbar atau menerusi kaca televisyen, penonton dikatakan sudah jemu dengan paparan iklan mahupun sisipan bahan berita yang pro-BN. Berdasarkan hujah ini, bolehlah disimpulkan bahawa seandainya media utama bertindak dengan adil, ia masih berpeluang menyisihkan media alternatif.

Dalam perkataan lain, kedua-dua media utama dan media alternatif sama-sama berpeluang menggugat kedudukan masing-masing.

Teori baru yang menyebut media alternatif sebagai senjata utama parti pembangkang, samalah sifat dengan pendapat yang sering diluahkan penganalisis selepas setiap pergerakan dalam naik turun indeks pasaran saham.

Sekiranya BN tidak hilang empat negeri tambahan (selain Kelantan), maka teori sedemikian tidak akan wujud, malah dipersalahkan sebagai kelemahan pembangkang.

Walaupun internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah satu kuasa baru dalam saluran maklumat, ia tidaklah menjadi saluran alternatif yang berkesan berbanding saluran lain. Teori keberkesanan saluran internet sudah lama diperbincangkan banyak pihak berwibawa seluruh dunia.

Pendapat oleh ramai pakar ialah saluran fizikal seperti papan iklan, media cetak dan bentuk iklan biasa yang lain masih amat berkesan dan berkuasa untuk menentukan pemikiran pengguna atau pemilih.

Yang menjadi persoalan bukanlah kehebatan media alternatif, tetapi kelemahan dalam penggunaan media utama. Sekiranya kita teliti dengan terperinci cara media massa seperti televisyen, papan iklan dan kain pemidang digunakan, kita akan mendapati mereka tidaklah digunakan dengan kreatifnya dari segi bahan, isi kandungan atau mesej yang ingin disampaikan.

Kandungan media hendaklah menjurus kepada isu utama, trend pemilih dan kaedah menangani sesuatu isu masyarakat yang dapat meyakinkan pengundi lantaran disokong oleh maklumat dan hasil analisa berasas.

Kita mengambil contoh bahan lain seperti lagu yang diminati pendengar. Apakah pendengar akan suka sekiranya kita masih memainkan lagu zaman 60-an? Begitu juga dengan isu yang tidak menyentuh hati nurani mereka seperti kenaikan harga barang, keprihatinan pemimpin kepada rakyat dan pendidikan tinggi golongan muda.

Isu dan kandungan media hendaklah sentiasa relevan dan menarik serta penting dan menjawab pelbagai persoalan pembaca.

Jadi apakah punca sebenarnya pula yang menyebabkan kekalahan teruk BN kali ini, yang lebih teruk daripada 1969? Pendapat penulis mengenai punca kekalahan kali ini ada kaitan dengan unsur dalaman parti Umno itu sendiri.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa apabila ada persengketaan pihak yang tidak sehaluan di dalam Umno, maka ketidakpuasan hati akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya umum nanti.

Contohnya, perpecahan dalam Umno yang membawa kepada pembentukan Semangat 46 menyebabkan Pas dapat merampas Kelantan pada 1990. Perpecahan seterusnya berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 pula menyaksikan kejatuhan Terengganu tahun itu.

Persengketaan dalaman Umno akan mempengaruhi keputusan undi apabila jenteranya hilang daya usaha untuk mempengaruhi pemikiran pengundi atau sekadar memastikan kenderaan yang secukupnya disediakan untuk mengangkut pengundi ke pusat pembuangan undi.

Tetapi apabila keadaan dalaman Umno reda semula, parti itu dapat merampas kembali Terengganu dan hampir merampas kembali Kelantan.

Kini, Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadi saksi era perpecahan yang terbaru berikutan kritikan yang dilemparkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Pak Lah. Sedikit-sebanyak, ini memberi petanda awal kewujudan satu perpecahan 'senyap' sedang menular pada peringkat cawangan dan bahagian dalam Umno.

Campur tangan saat terakhir oleh pihak pemerintah di Perlis menyaksikan nasib yang berlainan di sana. Ini adalah analisis berdasarkan data dan statistik keputusan pemilihan yang turut mengambil kira pecahan kaum.

Jika sekiranya ada yang menuding jari ke arah pengaruh Hindraf yang menarik kaum berbangsa India supaya tidak mengundi BN, ada banyak data yang menentang pendapat itu. Di kawasan yang masyarakat bangsa Melayu adalah 90 peratus dan kaum India hanya tiga peratus, Umno tetap mengalami kemerosotan undi yang ketara.

Ada yang menyalahkan kenaikan harga barang seperti minyak, daging ayam, tepung dan gula sebagai punca. Tetapi mengapa ada negeri tertentu tidak mengalami perubahan undi yang ketara?

Apakah negeri itu lebih kaya dan mampu bertahan dengan kenaikan harga barang terbabit? Ada yang menyifatkan secara liar bahawa 'semua faktor yang di atas' menjurus kepada kekalahan apabila dicampurkan.

Hakikat ini juga tidak boleh diterima sebegitu saja tanpa penelitian lebih terperinci. Sebaiknya, analisis secara rasional wajar dilakukan kerana corak pengundian adalah agak rasional.

Berikutan pengumuman Pak Lah supaya dilaksanakan satu kajian bebas terhadap punca sebenar kekalahan BN, maka adalah diharapkan analisis yang lebih tepat serta disokong oleh data yang menyeluruh dan mengambil kira semua teori akan menjawab persoalan besar yang sedang berlegar dalam kepala semua pihak, setidak-tidaknya sebagai ramalan kepada trend pemilihan yang akan datang.



Penulis ialah pakar internet yang mengetuai Adempiere � sebuah projek sumber terbuka (Open Source) antarabangsa

Sumber Berita Harian

Sabtu, 22 Mac 2008

Pembangunan Keseimbangan dengan Dasar Ekonomi Baru di Malaysia

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan untuk menangani masalah ketidak seimbangan ekonomi di antara pelbagai kaum di Malaysia yang menjejaskan perpaduan antara kaum dan keamanan negara. Sejak Malaysia mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957 hingga ke akhir tahun 1960an, pembangunan ekonomi di dorong oleh kuasa pasaran. Hasilnya, Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi masih wujud ketidak seimbangan yang serius.

Ini bermakna, walaupun pertumbuhan ekonomi tinggi, kekayaan tidak diagihkan dengan baik. Golongan yang miskin, kebanyakannya kaum Bumiputera yang tinggal di kawasan luar bandar dan berkerja sebagai petani, masih ramai dan masih mundur. Manakala kaum Cina dan orang asing pula menguasai bidang perindustrian, perniagaan dan sektor korporat. Ini yang dinamakan “market failure”.
Ekoran dari peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969, DEB diperkenalkan pada tahun 1970.

Ia bertujuan untuk menghapus kemiskinan tanpa mengira kaum dan mengstruktur semula masyarakat supaya negara dapat membangun dengan stabil, aman di samping hasil pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Pengstrukturan semula masyarakat adalah supaya jenis kaum tidak sinonim dengan kegiatan ekonomi.

Strategi serampang dua mata ini tertumpu kepada usaha menambah pendapatan golongan miskin dan penduduk di luar bandar, memodenkan sektor pertanian, meningkatkan tahap pelajaran, mewujudkan golongan komersial Bumiputera dan menambah pegangan ekuti korporat Bumiputera.

Sasaran juga ditetapkan iaitu 30% pegangan ekuti korporat oleh Bumiputera, penetapan kuota kemasukan pelajar Bumiputera di universiti dan 30% daripada bilangan pekerja mestilah Bumiputera. Prinsip pokok pengstrukturan ini adalah supaya sasaran ini dapat dicapai dari ekonomi yang sedia berkembang dan tidak mengambil dari kaum Bukan Bumiputera untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

Kejayaan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi berserta dengan agihan seimbang telah diakui oleh berbagai pihak termasuk Bank Dunia dan DEB merupakan satu elemen penting dalam kejayaan ini.

Kejayaan DEB yang paling nyata dan membanggakan ialah penurunan kadar kemiskinan dan peningkatan taraf pendidikan kaum Bumiputera. Yang paling menonjol ialah penurunan kadar kemiskinan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005.

Di kawasan luar bandar, pendapatan penduduk telah meningkat dan penagguran tidak ketara (under employment) hampir hilang. Kemudahan moden seperti jalan raya, sekolah, klinik kesihatan, kuasa eletrik dan bekalan air telah menjadi kemestian.
Pelajar Bumiputera bukan sahaja mendapat pendidikan di peringkat rendah dan menengah tetapi ramai yang berjaya keperingkat universiti. Ramai juga yang dihantar belajar ke institusi pengajian tinggi di luar negeri.

Bilangan profesional Bumiputera juga telah bertambah. Kini, terdapat ramai pakar perubatan Bumiputera di hospital-hospital. Keadaan ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kira-kira 45 tahun lalu di mana hanya ada segelintir sahaja doktor pakar Bumiputera. Banyak syarikat besar di Malaysia sekarang diketuai oleh golongan profesional Bumiputera.Ramai profesional Bumiputera mampu berdaya saing untuk bekerja di luar negara.

Dalam erti kata lain, DEB telah melahirkan golongan profesional dan golongan kelas menengah Bumiputera yang mempunyai kuasa beli yang kuat. Ini dapat dilihat, misalnya dari pemilikan rumah oleh kaum Bumiputera di kawasan perumahan kota. Sekarang ini, terdapat ibu bapa Bumiputera yang mampu membiayai anak mereka belajar di universiti di dalam mahupun di luar negara.

Pegangan ekuiti korperat Bumiputera telah meningkat dari 2.4% pada tahun 1970 kepada 19% pada tahun 2000. Jika dahulu tiada institusi perbankan yang mempunyai pemilik majoriti Bumiputera, tetapi sekarang bank-bank utama di Malaysia dimiliki serta diuruskan oleh Bumiputera. Golongan peniaga Bumiputera juga telah wujud walaupun kebanyakannya berstatus industri kecil dan sederhana.

Justeru, terbukti telah ada pengstrukturan ekonomi di mana bidang pekerjaan tidak lagi dikenal secara automotik dengan kaum. Ertinya, sebelum DEB, kaum Bumiputera adalah petani atau nelayan yang tinggal di luar bandar sementara kaum Cina merupakan peniaga di kota. Kini penglabelan automatik itu tidak lagi berlaku. DEB juga telah merapatkan jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Misalnya, nisbah pendapatan Bumiputera kepada Cina meningkat daripada 1:1.74 pada tahun 1990 kepada 1:1.64 pada tahun 2004.

Walaupun DEB telah membawa buah kejayaan, namun ianya juga mempunyai beberapa kelemahan dan telah menghasilkan kesudahan yang tidak dijangkakan. Intervensi kerajaan diperlukan untuk mencapai sasaran DEB. Akibatnya, wujud di kalangan kaum Bumiputera sindrom pergantungan kepada kerajaan. Ada pengusaha atau peniaga Bumiputera yang berniaga secara “Ali-Baba” atau berniaga di atas angin. Mereka mendapat kontrak untuk menjalankan sesuatu projek dan kemudiannya menjualkan atau memberi sub-kontrak kepada peniaga Bukan Bumiputera. Mereka sebenarnya tidak menjalankan projek itu sendiri tetapi mendapat bayaran sebagai imbuhan sebagai pengantara.

Amalan seperti ini telah membawa kepada ketirisan perbelanjaan kerajaan dan pengunaan dana yang tidak efisyen.
Sebagai suatu konsep penstrukturan sosial, DEB mempunyai nilai dan sasaran murni. Namun implementasinya telah menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana ianya menjurus kepada amalan siapa yang dikenal dan bukannya berdasarkan keupayaan atau dalam pepatahan Inggeris “who you know and not what you know”.

Selain dari itu, ada juga rungutan yang tiada “padang yang sama rata” di kalangan kaum Bumiputera sendiri. Oleh itu, implementasi DEB mungkin tidak mengwujudkan keadaan dimana yang terbaik akan berjaya. Merit tidak menjadi kayu pengukur prestasi.

Akibatnya, di peringkat awal implementasi DEB, sasarannya boleh berjaya, tetapi untuk jangka panjang pencapaian itu sukar dikekal dan dipertingkatkan kerana ianya tidak berasaskan daya saing. Contohnya, pegangan ekuiti korporat masih belum lagi mencecah sasaran 30% kerana pegangan yang ada dijual untuk keuntungan jangka pendek dan bukan dikekalkan serta ditambah untuk pegangan jangka panjang.

Implementasi DEB yang dianggap tidak adil, telus dan cekap telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kuam bukan Bumiputera. Antaranya, sistem kuota kemasukan universiti telah dianggap oleh kaum Bukan Bumiputera sebagai menyempitkan peluang anak-anak mereka yang berkelayakan mendapat pendidikan universiti.
Sebagai kesimpulan, walaupun terdapat beberapa kelemahan, DEB telah berjaya membawa pembangunan ekonomi yang lebih seimbang yang memastikan kestabilan Negara jangka panjang.


Dr. Mahani Zainal Abidin
Ketua Pengarah
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia
Kuala Lumpur

Pandangan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mengambarkan pendirian institusi
Sumber Artikel

PKR silap percaturan tolak DEB

SAYA menyokong tulisan Ab. Jalil Backer dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia berhubung isu pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Apa yang beliau nyatakan benar bahawa undi orang Melayu kepada pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah mandat untuk menghapuskan dasar tersebut.

Pandangan beliau nampaknya dipersetujui oleh Rasa Berdosa, Shah Alam yang memberikan perspektif menarik tentang isu tersebut.

Saya adalah orang Melayu yang tidak condong kepada mana-mana parti politik. Baru-baru ini, saya mengundi pembangkang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Barisan Nasional (UMNO) bagi kerusi Parlimen.

Ketika saya melangkah untuk mengundi, saya telah mendengar enam ceramah pembangkang termasuk dua ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.

Dalam ceramah-ceramahnya, beliau tidak menyatakan soal pemansuhan DEB dan mahu menggantikannya dengan dasar lain.

Maka saya mengundi dengan harapan beliau akan berpegang realiti politik Melayu, yang sebenarnya lebih menuntut pembelaan.

Lihatlah di mana-mana negara sekalipun. Amerika Syarikat dan negara kulit putih masih menjaga kepentingan kelompok terbesar mereka atas dasar white supremacy.

Begitu juga di Thailand, Indonesia, India dan Singapura serta banyak negara lagi.

Maka saya berpendapat, undi orang Melayu kepada pakatan pembangkang bukanlah mandat atau lesen kepada PKR misalnya untuk mengkhianati bangsa Melayu.

Apabila DAP bertindak untuk memansuhkan DEB dan para pemimpin PKR bukan sahaja tidak mempertahankan dasar itu malah mahu memansuhkannya, menyebabkan saya menangis dalam diam.

DEB sebenarnya tidak berdosa kepada kita semua. Dasar itu telah banyak memakmurkan masyarakat khususnya membaiki prestasi hidup dan ekonomi Melayu.

Lihat sahajalah tanah rancangan Felda, peluang anak Melayu miskin ke asrama, peluang pekerjaan dan membeli rumah.

Bayangkan jika DEB dihapuskan. Saya sendiri sedih melihat betapa masih ramai orang Melayu termasuk golongan pertengahan yang tidak mampu membeli kondominium yang sederhana mewah di bandar-bandar besar termasuk di Sunway, Subang, Damansara, Petaling Jaya (Selangor) serta Wangsa Maju (Kuala Lumpur).

Biarpun dengan diskaun tujuh peratus, kawasan perumahan itu masih dimonopoli oleh bukan Melayu khususnya orang Cina.

Bayangkan jika tanpa diskaun, orang Melayu akan lebih tersisih di bandar-bandar besar yang pembangunannya dikuasai oleh sektor perniagaan yang dikuasai oleh orang Cina.

Itu belum menyentuh rumah kedai di seluruh negara, yang pemilikannya terus dikuasai oleh orang Cina.

Bayangkan sebuah unit rumah kedai di Subang, menelan belanja hampir RM800,000. Bagaimana orang Melayu mahu mencari wang membayar pendahuluan dan mendapatkan pinjaman. Setidak-tidaknya diskaun yang diberi membantu mengurangkan tekanan.

Saya juga ingin sebutkan tentang tender terbuka. Ia memang langkah yang baik tetapi jika tidak memberi sedikit keistimewaan kepada kontraktor Melayu, jangan mimpi mereka akan dapat peluang tersebut kerana pelbagai faktor.

Salah satu ialah syarikat-syarikat Cina yang banyak modal, mempunyai rangkaian pembekalan barang serta peralatan sendiri seperti jentera berat akan lebih mampu menawarkan harga termurah.

Bagaimanapun saya agak lega kerana beberapa pemimpin Pas seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz, meskipun mengakui kelemahan pelaksanaannya namun boleh diperbaiki.

Saya fikir mereka masih faham realiti yang mendepani orang Melayu. Ramai lagi orang Melayu yang memerlukan pembelaan. Ini juga selaras dengan laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), golongan termiskin di negara ini adalah orang Melayu.

Saya percaya PKR telah melakukan kesilapan percaturan apabila mereka bersekongkol dengan DAP dalam menghapuskan DEB. Jangan lupa akan ada hari penentuan lain selepas ini.

– DR. SOSIAL,

Kuala Lumpur.

Sumber Utusan Malaysia

Berakhirkah sentimen kaum?

BANYAK yang disebut tentang trend pengundian dalam pilihan raya umum lalu. Antaranya yang kerap menjadi bahan analisis ialah rakyat Malaysia tidak lagi mengundi mengikut kepentingan kaum. Benarkah begitu? Hal ini banyak disentuh dalam media Internet dan ruangan blog.

Pada saya, arah aliran mengundi masyarakat kita sebenarnya tidak banyak berubah. Ia masih berkait rapat dengan aspek kaum.

Lihat sahajalah semasa kempen. Gerakan parti pembangkang tertentu yang mencanangkan undi Cina untuk Cina dan ‘undi MCA bererti undi UMNO’ ternyata berpaksi kepada perkauman.

Rasanya DAP tidak boleh menafikan hakikat ini dan mereka masih bermain sentimen perkauman.

Saya mempunyai beberapa rakan Cina mualaf yang selalu menceritakan tentang sentimen kempen DAP.

Begitu juga dengan banyak laporan akhbar bahasa Cina yang menyajikan isu-isu perkauman yang dibawa oleh parti-parti tertentu untuk tujuan meraih undi.

Apakah itu semua bukan perkauman?

Begitu juga dengan masyarakat India yang mengundi mengikut sentimen perkauman ekoran isu-isu tertentu termasuk Hindraf dan kononnya minoriti India terpinggir.

Malah ramai orang India dari awal lagi memberi kata dua tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN).

Akhirnya PKR yang bijak menghidu isu-isu perkauman ini turut mengapi-apikannya dengan menarik simpati masyarakat Cina dan India. Apakah taktik ini bukan sentimen perkauman?

Jika dilihat secara mikro pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-12, ternyata hampir kesemua bukan Melayu mengundi untuk kepentingan kaum masing-masing.

Ini termasuk melalui undi kepada PKR dan Pas atas nama pakatan dengan keyakinan ia akan menguntungkan DAP dan atas kepercayaan DAP akan lebih dominan.

Itulah strategi DAP yang disokong secara kuat oleh masyarakat Cina, yang akhirnya berjaya. DAP bukan sahaja berkuasa di Pulau Pinang malah dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Jadi pada saya, ini semua bukanlah tanda-tanda bahawa masyarakat Malaysia tidak lagi memikirkan soal kaum dalam penentuan undi mereka.

Cuma yang agak berbeza ialah undi Melayu yang banyak dicurahkan kepada DAP sama ada secara langsung atau melalui calon PKR dan Pas, atas nama menyokong pakatan pembangkang.

Maknanya, orang Melayu buat pertama kalinya melakukan eksperimen besar dengan mengundi DAP. Itu juga bukan kerana mereka taksub kepada DAP tetapi lebih mahu memperkasakan Pas dan PKR.

Malangnya dalam percaturan tersebut DAP yang paling melonjak pencapaiannya. Ini diikuti impak yang diperoleh PKR yang banyak menampilkan calon bukan Melayu. Strategi PKR mahu menarik pengundi Cina dan India semata-mata untuk menang pilihan raya.

Tetapi dalam kempen-kempennya sebahagian pemimpin PKR ketika berceramah di kawasan pengundi majoriti Melayu berjanji untuk memberi lebih keutamaan kepada kepentingan Melayu. Nada mereka berlainan sama sekali apabila berada di hadapan pengundi Cina dan India.

Sebab itulah pada pandangan saya, DAP berjaya menawan Pulau Pinang kerana masyarakat Cina bersatu hati dari segi corak pengundian mereka. Ia turut diperkuatkan dengan polisi DAP yang masih tegar memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia selain menolak usaha menjadikan Malaysia negara Islam.

Secara umumnya boleh dirumuskan bahawa rakyat Malaysia masih mengundi untuk kaum mereka. Saya percaya trend ini akan berlaku untuk sekurang-kurangnya tiga pilihan raya umum lagi.

Saya juga melihat perubahan polisi PKR memberi peluang kepada ramai calon bukan Melayu dan turut memainkan isu-isu kepentingan kaum Cina dan India, tidak akan mampu bertahan lama. Ini kerana majoriti ahli dalam PKR adalah orang Melayu dan mereka mulai resah dengan kepentingan Melayu yang semakin diketepikan oleh para pemimpin PKR, yang bercanggah dengan semangat perlembagaan dan kontrak sosial. Salah satu isu ialah penghapusan DEB.

Di sinilah dilema para penyokong Melayu PKR. Ini termasuk isu-isu yang lebih menguji seperti murtad, dialog dan pelbagai tuntutan agama kaum bukan Melayu, yang nampaknya PKR tidak mempunyai pendirian.

Selama ini pemimpin utama PKR mengambil jalan tengah dan kabur sedangkan dalam isu agama Islam, tiada kompromi. Itulah kelemahan konsep pelbagai kaum dalam satu parti.

Lebih baik gabungan parti pelbagai kaum yang mampu menangani isu-isu sensitif tanpa banyak menjejaskan kaum masing-masing.

– AHMAD SADIKIN,

Skudai, Johor.

Sumber Utusan Malaysia

SMS Pilihan 21/3/2008

Sumber Utusan Malaysia

SOKONG tulisan Jalil Backer dalam Forum, Undi Melayu untuk PKR bukan untuk hapuskan DEB sebagaimana yang mahu dilakukan oleh DAP.

– PENGUNDI GERAM

PUJI Menteri Besar Perak kerana tetap menjaga kepentingan Melayu termasuk DEB. Harap beliau terus berjaya dan jangan goyah dengan tekanan DAP. – PENYOKONG PA

MALU dengan pemimpin utama PKR termasuk Menteri Besar Selangor yang umpama kacang lupakan kulit. Janganlah menyalahgunakan undi Melayu hanya untuk menjaga hati kaum lain.

– RAZALI

TOLONG fahami dan hayati semangat kontrak sosial dan Perlembagaan negara kita. Saya cadangkan BN perkasakan lagi DEB dan atasi apa sahaja kelemahan pelaksanaannya.

– 019-352XXXX

BERSYUKUR pemimpin utama Pas iaitu Hadi Awang dan Nik Aziz masih pertahankan DEB. Mereka masih ada keberanian demi kepentingan agama dan bangsa.

– JAZMIN JAZLI

TAHNIAH Tok Guru Nik Aziz kerana menyokong DEB. Anda hargai undi penyokong Melayu kepada Pas.

– HAJAH MUNAH

HAIRAN pemimpin PKR (bekas pemimpin UMNO) yang menolak DEB. Mereka sama sahaja dengan DAP.

– MENYESAL UNDI

BENAR kata Nik Aziz, DEB mempunyai kelemahan dalam pelaksanaannya. Kita baiki sahaja pelaksanaan tetapi jangan mansuh DEB.

– MAT DERIS

DENGAN ada DEB pun, Melayu tak mampu beli rumah kedai. Inikan pula tanpa DEB. Lihatlah semua rumah kedai dikuasai kaum lain.

– FIKIRKAN

BELAJAR dan kaji dasar di China, Taiwan, Thailand, India dan Singapura bagaimana masyarakat majoriti menjaga kepentingan mereka. Apa salahnya DEB kekal.

– PELAJAR DI AUSTRALIA

SAYA sangat berdukacita apabila PKR sanggup bersekongkol dengan DAP untuk memansuhkan DEB.

– ANUAR KL

UNTUK naikkan sukan negara, syor RTM adakan saluran khas sukan seperti di Astro.

– 012-2340XXX

TAHNIAH kepada menteri yang telah dilantik. Semoga memikul tanggungjawab dengan jujur, amanah dan penuh dedikasi sepertimana sumpah yang dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong semasa pelantikan.

– KIENA KL

Pendidikan Islam patut jadi subjek wajib

MENTERI Dalam Negeri, Jerman, Wolfgang Schaeuble, Isnin lalu mengumumkan bahawa negara itu akan membenarkan pengajaran agama Islam diterima sebagai mata pelajaran rasmi untuk seluruh institusi pendidikan di negara itu. Wolfgang menegaskan bahawa mata pelajaran Islam dapat membantu dalam melancarkan proses integrasi penduduk Muslim ke dalam masyarakat di negara itu.


Dengan sejumlah 3.4 juta penduduk Muslim yang menetap di negara itu, ia sebenarnya menjadikan agama Islam kembali penting, di samping agama majoriti masyarakat Jerman iaitu Kristian Protestan dan Katolik. Antara lain tujuan memperkenalkan mata pelajaran ini adalah bagi mengelakkan masyarakat Muslim hidup tersisih dan membanteras kelahiran pelampau melalui pengajian tidak rasmi di institusi lain.

Usaha Kerajaan Jerman ini secara umumnya, sangat wajar diteladani dan dicontohi seluruh negara sekitarnya. Saya melihat kesan yang sangat baik dalam pelaksanaan sistem ini.



l Pertamanya, jelas menunjukkan bahawa agama Islam itu adalah agama yang penuh kesejahteraan. Sistem pendidikan Islam berbeza dengan sistem pendidikan yang lain. Ia menekankan aspek kekuatan moral dan akhlak yang membentuk sifat peribadi dan kerohanian yang mana tidak disentuh dalam mata pelajaran lain. Lantaran didikan rohani sahajalah yang mampu mengekang individu daripada terus melakukan kejahatan serta keburukan.

l Keduanya, dalam konteks negara Malaysia, tidak salah kiranya mata pelajaran agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib bagi seluruh peringkat pengajian. Dengan kata lain, ia menjadi subjek teras yang mesti dipelajari termasuk pelajar bukan Islam. Pada pendapat saya, di samping membentuk didikan moral kepada pelajar bukan Islam, ia secara tidak langsung turut memperkenalkan gambaran Islam yang sebenar dan hakiki kepada mereka.

Saya yakin, andainya sistem ini dapat dijalankan dengan sempurna dan teratur, negara kita akan dapat melahirkan satu bangsa yang bersatu padu dan saling memahami. Tidak wujud masalah perbalahan kaum atau agama lantaran sifat Islam itu sendiri yang sentiasa mempelopori kesejahteraan kepada semua makhluk dan alam semesta


MOHD HAAFIZUDDIN ABIRERAH,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Sumber Berita Harian

Rabu, 19 Mac 2008

Pergeseran serlah pegangan longgar pimpinan pakatan

Sumber berita Harian
Oleh Abdul Halim Yusoff

JIKA DAP yang jelas turut menerima sokongan orang Melayu di kawasan tertentu melalui kemenangan beberapa calonnya pada pilihan raya umum baru-baru ini, pemimpin tertingginya perlu bersikap lebih profesional, berhemah dan peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta institusi Raja.

Rakyat sendiri menyaksikan tindak-tanduk Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak wakil rakyat parti itu di Perak memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru di Perak, Khamis lalu.

Selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah mengumumkan pelantikan Setiausaha Pas Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, Kit Siang mengeluarkan kenyataan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Perak memulaukan majlis angkat sumpah di Istana Bukit Chandan pada petang keesokannya.

Seorang pemerhati politik berkata, walaupun beliau kemudian meminta maaf, malah turut menghadap Raja Dr Nazrin kelmarin untuk meminta maaf secara peribadi, keterlanjuran Lim sukar dilupakan selepas bersikap biadap terhadap Raja.

Mungkin Kit Siang terpaksa membuat wayang itu bagi mengelakkan kemarahan meluap daripada penyokong dan pengundi yang memberi mereka 18 kerusi DUN di Perak yang mahukan wakil parti itu menjadi Menteri Besar.

Kemarahan itu sebenarnya wujud hasil daripada tindakan parti itu sendiri yang selama ini sering menanamkan ketakutan atau fobia di kalangan penyokong kepada Pas yang kononnya akan melaksanakan dasar Islam dalam pentadbirannya.

Sebenarnya, kegopohan dan kegelojohan pimpinan DAP bertindak bukanlah isu baru. Pada awal 1990-an, Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah menyaman Sultan Selangor dan kemudian mempertikaikan pula kelayakan Sultan Johor sebagai Raja di negeri itu.

Tidak cukup dengan itu, Kit Siang dan Karpal juga pernah ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 kerana kegiatan dan tindakan mereka yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.

“Kit Siang dan Karpal Singh tidak pernah berjaya menawan Pulau Pinang dalam tempoh hampir 30 tahun menerusi Projek Tanjung 1, 2 dan 3 kerana pengundi tidak termakan dengan pendekatan egoistik dan radikal mereka. Ini bukan cara berpolitik di sini (Malaysia),” katanya.

Begitupun apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga anak Kit Siang tampil dengan misi menawan Pulau Pinang menerusi pendekatan yang sederhana, tidak terlalu optimistik dan lebih realistik, DAP akhirnya berjaya menawan negeri itu.

“Bila mereka sudah berjaya sekarang, adakah anda fikir DAP sanggup untuk buat silap (mengecewakan rakyat) hingga mereka dihukum pada pilihan raya akan datang,” katanya sambil menambah kunci kelangsungan DAP untuk terus diterima rakyat pada masa depan terletak kepada pendekatan berpolitik parti itu.

Golongan muda yang mendominasi senarai pengundi berdaftar sekarang lebih terbuka dan bersedia keluar daripada keterbiasaan, yang diterjemahkan menerusi undi kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu.

Selain Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), golongan muda terutama Melayu sedia melupakan sejarah silam dan sedia mengundi DAP yang sebelum ini dikenali sebagai ultra sekular dan berteraskan kepentingan Cina kerana mereka melihat perubahan pendekatan dalam pimpinan muda DAP.

Daripada perspektif biasa, Kit Siang memang sukar untuk keluar daripada pendekatan radikal kerana beliau menyertai DAP seawal 1966, ketika parti itu adalah sebahagian daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), Singapura.

Apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia, Devan Nair (yang kemudian menjadi Presiden Singapura) terus tinggal di Malaysia dan membentuk DAP.

Pada Kongres Kebangsaan DAP yang pertama pada 29 Julai 1967, DAP menzahirkan dengan jelas matlamat perjuangannya iaitu: “sesungguhnya komited kepada ideal perjuangan untuk mewujudkan Malaysia yang bebas, demokrasi dan sosialis.”

Namun, 40 tahun kemudian, dasar sosialis dan sekular parti itulah yang kini meletakkan DAP dalam keadaan sukar, termasuk pakatannya dengan parti pembangkang lain - Pas dan PKR. Lebih menyukarkan keadaan apabila ia terpaksa bersepakat dengan Pas.

Kerjasama DAP, Pas dan PKR di Perak belum berakhir walaupun Menteri Besar daripada Pas sudah mengangkat sumpah jawatan kelmarin. Selepas ini, Mohammad Nizar akan melantik barisan Exconya, yang pasti akan menerima tekanan daripada DAP.

Masalah serupa juga dikatakan berlaku di Selangor apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan menerima desakan DAP supaya melantik Timbalan Menteri Besar daripada parti itu, pada hal hak pelantikan itu terletak pada Istana.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 membolehkan Sultan melantik dengan surat cara di bawah tandatangan baginda dan mohor Kerajaan, seorang timbalan menteri besar.

Baru-baru ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda belum dinasihati Menteri Besar mengenai pelantikan itu dan tidak timbul persoalan sama ada seorang timbalan menteri besar berbangsa Melayu atau bangsa lain.

Pergeseran antara parti dalam pakatan pembangkang hingga diketahui umum menyerlahkan pegangan longgar pimpinan DAP pada konsep meritokrasi yang diperjuangkannya. DAP sudah menghantar empat nama untuk calon Timbalan Menteri Besar Selangor, tiga muka baru iaitu Teresa Kok, Ronnie Liew, Ian Yong dan orang paling lama berkhidmat sebagai Adun di Selangor, Teng Chang Khim.

Keadaan itu mencetuskan persoalan ketamakan dan kelayakan calon tertentu menyandang jawatan yang berat itu. Sebagai contoh, bagaimana Teresa yang menjadi Ahli Parlimen Seputeh (Kuala Lumpur) dapat menjaga kawasan Kinrara dan juga menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor.

Aspek meritokrasi dan orang lama yang terus bertahan membentangkan persoalan lain dalam DAP. Adakah DAP ketandusan pelapis? Jika diteliti memang parti itu kekurangan pelapis, seperti yang pernah diakui Ahli Parlimen tujuh penggal Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang dia sukar mencari pengganti yang ideal bagi meneruskan agendanya di kawasan itu.

Begitu juga Fong Kui Lun di Bukit Bintang yang kini sibuk ‘mengasuh’ anak didik bagi menggantikannya untuk penggal akan datang.

Perjuangan dalam DAP memerlukan pengorbanan kewangan dan tenaga, bukan seperti ahli parti Barisan Nasional (BN) yang tiada masalah kewangan untuk bertanding kerana semuanya ditanggung beres parti.