Isnin, 28 Julai 2008

Warisan Melayu terabai



MERIAH... Percikan bunga api kelihatan jauh di belakang Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang selepas majlis perasmian sambutan Tapak Warisan Dunia UNESCO, Sabtu lalu.


Di manakah warisan Melayu di Pulau Pinang? Inilah soalan yang harus dijawab oleh para pemimpin negeri sama ada kerajaan yang memerintah atau pembangkang (yang kini diwakili oleh Barisan Nasional).

Soalan yang ditanya ini merentasi sempadan politik kepartian kerana ia menyangkut persoalan warisan Melayu di negeri ini.

Senarai tempat dalam Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Pulau Pinang walaupun mencatatkan masjid Melayu Jalan Acheh dan Masjid Kapitan Keling tetapi tidak memperlihatkan perwujudan orang Melayu dari segi sejarahnya sebagai golongan terawal yang datang ke pulau ini.

Retorik yang akan ditanya apa pentingnya soalan ini? Ia mengaitkan dengan cengkaman kukuh daripada segi sejarah yang membolehkan sesuatu kaum itu menuntut hak mereka daripada segi kuasa dan bukti mengenai perwujudan mereka dari segi penempatan.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah warisan berbentuk budaya iaitu sejarah peninggalan generasi terdahulu yang dipulihara pada masa sekarang iaitu artifak berbentuk objek seperti bangunan, kubur, kampung dan seumpamanya untuk tatapan sekarang dan manfaat generasi akan datang.

Mereka akan mempunyai latar sejarah dan jalur keturunan dengan segala rakaman artifak bangunan dan penempatan di samping bahan lain.

Kalau generasi akan datang bertanyakan datuk nenek mereka tentang sejarah kedatangan mereka, bukti sudah terlihat kepada perwujudan kongsi-kongsi dan suku-sakat yang mempunyai penempatan di sesebuah kawasan.

Apakah buktinya yang orang Melayu yang awal datang ke negeri ini?

Sebuah perkampungan buruk yang tidak tersusun dan dianggap sebagai tanah sementara dan menanti saat hendak dimusnah seperti di Tanjung Tokong oleh sebuah badan atau agensi yang ingin memajukan masyarakat melayu di bandar yang akhir mementingkan untung atau rugi.

Agensi yang tidak mempunyai kesedaran ‘sekuman’ pun mengenai warisan apatah lagi keprihatinan mengenainya.

Maaf kepada penduduk Tanjung Tokong kerana kampung mereka akan ditelan oleh arus pembangunan yang hanya mementingkan keuntungan yang akan memperosokkan penduduk Melayu di sana ke dalam pangsapuri dan kehilangan warisan bernilai antara kampung terawal penempatan Melayu di bahagian pulau ini.

Atau penduduk Kampung Batu Uban yang telah dikepung dan dihimpit oleh pembangunan pesat kondominium di sekelilingnya.

Bandingkan dengan Khoo Kongsi yang indah dan terjaga oleh masyarakat Cina yang sedar akan warisan mereka.

Ini bukannya persoalan perkauman tetapi kaum yang pentingkan sejarah dan warisan maka merekalah yang akan mewarisi takhta sesebuah negeri.

Tetapi orang Melayu di bahagian pulau entah mana pergi nilai sejarah dan warisan yang hilang ditiup angin dan badai.

Apa yang sudah dilakukan oleh pemimpin politik dan budaya negeri dalam memulihara warisan Melayu di bahagian pulau ini?

Terdapat masjid tetapi sudah ‘diroboh’ dan dipisahkan daripada persekitaran kampung awam Melayu yang tidak mementingkan pemuliharaan apatah lagi kesedaran terhadap nilai warisannya.

Siapakah yang mahu peduli dengan Nakhoda Intan, Datuk Kramat atau Datuk Janatul? Tiada kesedaran meletakkan nama jalan pun atau nama kawasan pun.

Bahkan sekarang di tengah kesibukan pertandingan bahagian dan cawangan dan pemimpin Melayu pembangkang yang baru dapat kuasa memerintah, mungkin tiada ada masa membicarakan isu warisan.

Membelakangkan
Muka depan akhbar The Star (22 Julai 2008) memaparkan pemimpin Gerakan sudah meletakkan nama jalan dalam bahasa Mandarin kerana DAP sudah memerintah.

Apakah maknanya ini? Adakah ia sudah membelakangkan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini bukanlah usaha menghasut tetapi sekadar memberikan kesedaran kepada kepimpinan Melayu di Pulau Pinang. Masyarakat Cina telah berusaha bagi memastikan hak dan warisan mereka terjamin di negeri ini. Maka mereka berhak untuk menuntutnya.

Manakah pergi kesedaran warisan pemimpin Melayu? Sehingga kini apakah yang telah mereka lakukan bagi memastikan warisan Melayu terjaga? Adakah sekadar menang sorak kampung tergadai.

Masyarakat Melayu di Pulau Pinang (di bahagian pulau) yang sudah terhimpit oleh arus pembangunan pesat daripada segi ekonomi kini akan berhadapan dengan kehilangan warisan mereka pula.

Mungkin badan UNESCO akan hanya mengenali warisan Cina di Pulau Pinang tetapi tidak mengetahui apa-apa tentang warisan Melayu (jika tidak pun sekadar masjid dan sebuah dua bangunan sahaja).

Sekiranya bahan bercetak dan visual hendak dihasilkan, cuba bayangkan berapa keratkah warisan Melayu yang hendak ditonjolkan?

Mahukah ditonjolkan perkampungan awal Melayu yang daif kedudukannya atau dikepung kondominium dan pangsapuri?

Apakah bahan dan bukti yang kita ada? Perkembangan mengenai isu warisan Melayu yang berlaku di negeri ini amat menyedihkan.

Masyarakat bukan Melayu mementingkan Francis Light, orang Inggeris itu sebagai pembuka Pulau Pinang kerana dengan membuat pengiktirafan sebegini akan mengukuhkan sejarah kedatangan mereka ke pulau ini.

Sebab itu di Singapura siapa yang mengingati Sang Nila Utama sebagai pembuka dan penemu pulau Singapura. Yang diingati hanyalah Stamford Raffles sahaja. Keadaan juga telah berlaku ke atas Pulau Pinang.

Dengan mengantarabangsakan bandar Georgetown (sepatutnya sudah harus ditukar kepada Tanjung) warisan Melayu akan terus hilang.

Pelancong akan hanya mengenali warisan Cina dan India sahaja.

Warisan Melayu akan hilang di bahagian pulau ini dalam kepelbagaian kaum kerana yang lebih utama sekarang ialah warisan masyarakat lain dan bukannya penduduk asal pulau ini.

Sebab itulah kemungkinan semasa Parti Gerakan memerintah, mereka tidak sibuk-sibuk memohon Georgetown sebagai bandar raya daripada Kerajaan Pusat kerana yang mereka mahukan ialah bandar raya bersejarah antarabangsa di bawah UNESCO.

Bentuk sejarah berasaskan euro-centric ini harus diubah. Manakah pergi arkib, jabatan muzium dan antikuiti atau persatuan-persatuan Melayu di Pulau Pinang yang sibuk membicarakan perpaduan Melayu itu?

Tolong selamat warisan Melayu pulau ini demi kepentingan generasi muda dan bukti bahawa kitalah yang terawal menetap di negeri ini bukannya Francis Light.

Kita tidak sahaja memerlukan seminar atau bengkel tetapi suatu suara dan langkah tepat bagi memulihara warisan Melayu yang kian terhakis.

Jangan salah bangsa lain atau pandangan prejudis terhadap mereka, salahkan diri kita sendiri yang sibuk dengan berpolitik sahaja. Perjuangan politik yang tidak membantu pemuliharaan warisan bangsa yang tidak ternilai itu.

0 ulasan: