Ahad, 11 Mei 2008

Jiwa dan semangat UMNO


HARI ini UMNO menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62. Selamat hari lahir kepada lebih 3.3 juta ahli UMNO. Tetapi bagi ahli-ahli UMNO, sambutan kali ini bercampur baur antara kegembiraan dan kesedihan. Gembira kerana UMNO yang diasaskan pada 1946 masih wujud. Sedih kerana 'tsunami politik' 8 Mac. Namun perjuangan mesti diteruskan. Kalah menang adat bertanding biar pun di sesetengah tempat ibarat nasib Pak Kadok - menang sorak kampung tergadai!

Keputusan sudah dibuat. Sekarang bukan masa untuk bersedih tetapi untuk bekerja semula. Cukuplah dua bulan lalu, ahli-ahli UMNO 'bersilat' mempertahankan diri dan pada masa yang sama menuding jari mencari silap.

Sempena hari ulang tahun kelahiran UMNO ini, eloklah setiap ahli merenung kembali slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat sebagai azimat meneruskan perjuangan.

Selain 3B ini, penulis juga tertarik dengan slogan 3B yang menjadi amalan UMNO dan BN Wilayah Persekutuan (WP) iaitu Bersama Bersatu Berjaya. Maknanya WP yang diterajui oleh Zulhasnan Rafique mahu ahli-ahli UMNO bekerja sebagai satu pasukan bukannya individu. Bak kata orang berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Susah senang tetap bersama!

Cukuplah dengan pergolakan yang berlaku bukan sekadar di WP malahan di banyak negeri yang BN dan UMNO kalah teruk apabila ada suara-suara yang mahu pemimpin tertentu meletak jawatan dengan segera. Sebagai parti yang mempunyai mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi, eloklah keputusan menurun dan menaikkan seseorang dilakukan melalui pemilihan.

Seperti kata Zulhasnan baru-baru ini: "Saya tidak mengambil serius saranan UMNO Cheras (supaya meletak jawatan). Saya dilantik oleh Presiden UMNO sebagai Pengerusi Perhubungan. Terpulang kepada Pak Lah menentukan kedudukan saya,". Rasanya cukuplah sekadar itu UMNO membincangkan kedudukan pemimpin selepas kejutan politik baru-baru ini.

Janganlah ada yang syok sendiri mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga akhirnya boleh merosakkan imej UMNO . Bak kata orang meludah ke langit terkena batang hidung sendiri. Sekarang adalah masa untuk memperbetulkan keadaan serta kelemahan, bukannya bergaduh sesama sendiri. Kukuhkan semula jentera parti.

BertanggungjawabJika setiap orang khususnya pemimpin rasa bertang-gungjawab di atas kekalahan yang lalu, mereka tidak seharusnya mudah mengalah dengan desakan. Adalah tidak wajar meninggalkan suasana yang goyah kepada orang lain kerana belum pasti orang yang ditinggalkan itu mampu meneruskan agenda perjuangan. Takut-takut nanti apabila pemimpin sudah tidak ada, habis yang dipimpin pula hilang semangat.

Dalam perkara ini, penulis tertarik dengan semangat seorang pemandu teksi di Pulau Pinang. Ketika menaiki teksi beliau untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini, beliau yang ditanya mengenai pilihan raya umum baru-baru ini berkata:

''Saya apa pun yang terjadi tetap ahli UMNO dan sokong UMNO,'' Terkejut juga mendengar kata-kata itu kerana pada mulanya tentulah akan mendapat reaksi yang memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah Pulau Pinang. Umpanan penulis untuk mendapatkan rekasi menyokong pembaharuan itu tidak berjaya. Penulis tersilap kerana bertanyakan perkara itu kepada orang UMNO. Tetapi melihat semangatnya, penulis sedar betapa beliau amat prihatin dengan 'kekalutan' politik di negeri itu.

Beliau membuka bicara mengenai nasib Melayu di pulau itu apabila UMNO tidak mendapat sokongan rakan-rakan komponen BN yang lain untuk terus memerintah. Sebaliknya DAP menguasai negeri itu.

''Jangan kita dok salahlahkan UMNO saja, jangan dok lemahkan Pak Lah. Bantu Pak Lah,'' katanya penuh semangat dan berulang kali berkata tetap menyokong UMNO walaupun pendiriannnya itu diperlekehkan oleh rakan-rakan lain yang mula beralih arah.

Beliau sedih kerana generasi hari ini yang sudah menerima banyak manfaat daripada kerajaan BN yang diterajui UMNO sangup melupakan jasa-jasa yang dibuat.

''Generasi hari ini sudah mendapat hak mereka melalui perjuangan UMNO dan BN. Mereka tidak bimbang apa-apa lagi tetapi bagaimana nasib anak-anak saya dan cucu-cucu saya?,'' katanya sambil menyentuh peluang- peluang dalam Dasar Ekonomi Baru. Beliau bimbang beberapa kemudahan yang diberi kepada orang Melayu di bawah DEB akan berakhir begitu sahaja.

Banyak lagi yang mahu diceritakan oleh pemandu itu tetapi masa amat terbatas, seperti terbatasnya ruang ini. Tujuan penulis membangkitkan cerita ini ialah tentang semangat dan jiwa cintakan UMNO. Beliau yakin tidak ada parti lain yang mampu membela orang Melayu di negeri itu. Semoga semangat pemandu teksi ini ada bersama ahli-ahli UMNO lain. Jangan lari meninggalkan kapal yang sedang bocor kerana kapten memerlukan kerjasama anak-anak kapal mengatasi kebocoran itu. Jika tidak kapal akan karam.

- HASSAN MOHD NOOR
Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: