Ahad, 11 Mei 2008

Usah bermain api


Apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan lantang mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, baru-baru ini bagi mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak, ramai orang Melayu terkejut dan marah. Mereka tertanya-tanya apa sudah jadi dengan senario politik negara apabila ada ahli politik mempertikaikan institusi raja?

Buat permulaan, mereka hanya mendengar kecaman demi kecaman ke atas kebiadapan Karpal tetapi belum ada tindakan konkrit bagi membolehkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Mungkin kerana tiada tindakan juga, Karpal seolah-olah mencabar lagi apabila mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika itu timbul persoalan, apakah kebiadapan Karpal harus dibiarkan sedangkan adalah jelas apa yang beliau lakukan mampu mencetuskan kemarahan kepada orang Melayu?

Akhirnya, pada Khamis lalu, kemarahan yang membara diterjemahkan apabila UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat laporan polis ke atas Karpal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Pada hari yang sama, lima ahli Parlimen dan NGO turut mengambil langkah yang sama dan ia dianggap amaran awal kepada Karpal bahawa beliau harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan akibat kebiadapan yang ditunjukkan.

UMNO terpaksa membuat laporan polis setelah mendapati kenyataan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Setakat ini, Karpal masih berdegil dan tetap mempertahankan pendiriannya. Malah beliau juga menegaskan, kenyataan beliau telah dipolitikkan oleh UMNO.

Tetapi persoalannya, dari satu segi kenapakah Karpal begitu berani membuat kenyataan mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury?

Apa yang perlu difahami, ketegasan UMNO dalam soal ini bukanlah kerana kenyataan itu dibuat oleh Karpal yang merupakan anggota pembangkang dalam Parlimen tetapi demi mengelakkan ia mencetuskan isu perkauman memandangkan institusi raja amat dekat dengan kedaulatan Melayu.

berdolak-dalihMalah ketika mengulas perkara ini, Peguam terkemuka, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan Karpal itu boleh dianggap melaga-lagakan rakyat dan istana.

Menurut beliau tindakan boleh diambil sekiranya orang Melayu terluka dan marah dengan kenyataan Karpal.

Oleh itu apabila Karpal mempertikaikan Sultan, ia bermakna beliau menyentuh soal sensitiviti orang Melayu dan ia ibarat sengaja bermain api.

Dalam isu seumpama ini, bukan kata Karpal malah sesiapa juga yang cuba bermain isu yang sama pasti akan berhadapan dengan risiko yang serupa.

Ini kerana terdapat tiga perkara yang melibatkan raja-raja Melayu yang sama sekali tidak boleh dipersoalkan, pertama, individu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sultan dan raja sekiranya ungkapan itu berbau perkauman.

Dua lagi perkara ialah hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam yang raja adalah penjaga mutlak kedua-duanya.

Justeru Karpal tidak perlu lagi berdolak-dalih kerana zaman keterbukaan yang melanda Malaysia sekarang bukan bermakna beliau boleh berkata apa sahaja.

Beliau juga harus memahami kejayaan DAP memenangi banyak kerusi di Parlimen, menawan Pulau Pinang dan menjadi 'dalang' pemerintahan di Selangor dan Perak bukanlah lesen untuk DAP atau beliau sendiri menunjukkan belang mereka sehingga begitu berani mempertikaikan perkara yang tidak sepatutnya.

Tindakan Karpal itu menunjukkan bahawa walaupun baru mempunyai 'sedikit kuasa', DAP cuba menjadi jaguh dan seolah-olah ingin membalas dendam terhadap apa yang mereka tidak boleh sentuh selama ini terutamanya perkara yang berkaitan dengan orang Melayu.

Mungkin juga keberanian Karpal itu berlandaskan kepada pegangan bahawa rakan-rakan sekutu mereka iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berkata apa-apa kerana jika tersilap membuat kenyataan, ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam hubungan antara mereka.

Pas dan PKR seolah-olah lebih rela untuk menjaga hati Karpal.

Ini terbukti apabila beberapa pemimpin Pas yang diminta mengulas kebiadapan Karpal pada mulanya enggan berbuat demikian. Mereka termasuklah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Sikap tidak mahu memberi ulasan atau mengkritik kenyataan Karpal itu jelas menunjukkan di Perak, pemerintahan Pas yang diketuai oleh Ir.Mohamad Nizar tidak lebih daripada boneka semata-mata. Pas ternyata tidak berani berkata apa-apa apabila timbul isu yang melibatkan DAP dan PKR.

Apa yang lebih malang, walaupun Sultan Perak dipertikaikan, Ir. Mohamad Nizar sendiri mengambil jalan selamat dengan tidak mengulas kenyataan Karpal.

Ir.Mohamad Nizar amat memahami jika beliau mengkritik Karpal, ia ibarat sengaja menempah jalan keluar dari pejabat Menteri Besar.

Ini kerana Pas menjadi teraju kerajaan Perak atas 'simpati' DAP. Pas tiada kekuatan di negeri itu. Atas sebab itulah selain Kelantan dan Kedah, Pas tidak pernah mendakwa bahawa mereka memerintah Perak. Pas amat memahami mereka hanya 'menumpang kebahagiaan' orang lain.

Adalah sesuatu yang aneh Pas begitu berlembut dengan Karpal biarpun selama ini, Pengerusi DAP itulah yang paling lantang menentang sebarang usaha melaksanakan pemerintahan Islam oleh Pas.

Malah Karpal pernah menyatakan meminta pemimpin Pas melangkah mayatnya dahulu kalau mahu melaksanakan pemerintahan Islam.

bersuaraMenyedari tindakan tidak 'mengecam' Karpal boleh mendatangkan sedikit masalah kepada politik Pas, Nik Abdul Aziz akhirnya bersuara di Kuala Krai pada Jumaat lalu. Beliau dengan tegas menyifatkan, tindakan Karpal adalah tidak betul dan boleh dianggap derhaka.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pas yang lain membisu seribu bahasa. Mereka mungkin akan terus dibelenggu dengan teori bahawa segala yang berlaku adalah permainan politik UMNO.

Pemimpin Pas tidak boleh bersikap demikian kerana apa yang dilakukan oleh UMNO bertujuan memastikan tidak akan ada mana-mana pihak memperlekehkan institusi raja.

Kelantangan Karpal juga seharusnya menjadi ingatan kepada orang Melayu bahawa jika mereka tidak berhati-hati, lebih banyak pihak akan mempertikaikan hak dan keistimewaan mereka.

Kita bukanlah ingin mencetuskan isu perkauman tetapi di zaman yang dikatakan segala-galanya telus dan terbuka ini, rasa hormat terhadap hak orang Melayu semakin berkurangan.

Semua ini berlaku kerana pihak berkenaan amat memahami bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bersatu lagi biarpun institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan Melayu dipertikaikan.

Perpecahan di kalangan orang Melayu dan semakin kurangnya kuasa politik berikutan keputusan pilihan raya umum lalu seolah-olah menjadi kesempatan terbaik untuk pihak tertentu memperkotak-katikkan kaum itu.

Dalam isu Karpal contohnya, hanya UMNO dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sahaja dilihat tegas.

Keadaan itu tentulah menimbulkan persepsi bahawa parti-parti politik yang dianggotai orang Melayu terlalu sukar disatukan, biarpun hak, kepentingan dan keistimewaan mereka diganggu.

Apapun adalah wajar 'kes Karpal' ini dijadikan pengajaran kepada orang Melayu untuk bersatu bagi mengelakkan lebih ramai pihak 'bermain dengan api'.

Sumber Utusan Malaysia




0 ulasan: