Ahad, 11 Mei 2008

Soal Jawab: Karpal peralat perundangan cabar ketuanan Melayu

Pembangkang, kerajaan patut utama cara jaga kesejahteraan rakyat, bukan tunjuk samseng di gelanggang politik

TINDAKAN Pengerusi DAP, Karpal Singh, mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury, mengundang kritikan dari pelbagai pihak. Tidak cukup dengan itu, beliau mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-12. Apakah tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menyalahi undang-undang atau ada sesuatu di sebaliknya? Berita Minggu mengupas isu ini dengan Ziauddin Sharuddin berbicara dengan pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, manakala Mohd Azis Ngah mendapatkan pakar undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari.

PROF DR TEO KOK SENG


Apakah pandangan Prof terhadap tindakan Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan kemudian titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Karpal kelihatan seolah-olah mencabar Sultan. Bagaimanapun, saya rasa perkara yang lebih besar ialah mencabar ketuanan Melayu yang termasuk di dalamnya institusi Sultan, agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu. Ketuanan Melayu dicabar dan kini kita boleh melihat orang Melayu bangkit untuk mempertahankannya.

Kita lihat orang Melayu tidak lagi berparti-parti dalam isu ini. Secara peribadi, saya berasa isu ini tak betul kerana kita masyarakat Timur yang tertib. Karpal sebagai orang lama dalam politik sepatutnya tahu apa yang boleh dan tidak boleh.

Sekarang pembangkang menjadi lebih kuat. Pembangkang menerusi DAP cuba menguji keadaan, tetapi ujian ini bahaya. Saya tengok dia (Karpal) cuba menjadikan tindakannya bersifat perundangan dan bukan mencabar institusi kesultanan. Mengikut kenyataannya (Karpal) yang disiarkan di televisyen, yang dipersoalkan ialah kuasa Sultan berhubung pertukaran kakitangan kerajaan.

Tetapi orang Melayu melihat perkara ini lebih besar daripada mempertikaikan kuasa Sultan, iaitu mempertikaikan ketuanan Melayu. Saya tengok ini bahaya. Sepatutnya ahli politik seperti Karpal dan Lim Kit Siang yang mahir dan sudah lama berpolitik tahu musibahnya.

Malaysia selepas 8 Mac lalu kalau tak dapat diuruskan dengan baik boleh menjadi huru-hara. Kita boleh tengok Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti tak dapat mengurus kekalahan kerana sebelum ini tak pernah kalah. Pembangkang, terutama DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) pula ghairah hingga tak dapat menguruskan kejayaan. Dalam keadaan satu pihak gagal dan satu pihak berjaya, masing-masing berkonflik dan wujud ketegangan.

Ini ditambah dengan suasana semasa dengan kenaikan kos barang makanan menyebabkan wujud ketegangan di kalangan rakyat miskin. Orang Melayu tanpa mengira Umno, Pas, PKR pun dalam ketegangan kerana diugut bukan Melayu. Dari segi politik, pihak pembangkang cuba membentuk kerajaan pada peringkat Pusat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktornya. Ini menyebabkan BN agak bimbang.

Saya lihat keadaan di negara ini kucar-kacir. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan 'steady', tetapi hanya Tuhan yang tahu tekanan yang dihadapinya dari kalangan Umno dan luaran. Nasib baik tentera kita profesional. Kalau seperti Thailand dan Indonesia, tentu dengan senang merampas kuasa. Sekarang Sultan pun kena (dicabar).

Saya takut dengan tindakan Karpal mencabar kuasa Sultan dan mempertikai teks titah Yang di-Pertuan Agong. Sampai ke situ perginya, siapa yang menulis titah itu. Melampau! Maksudnya dia nak bagi tahu teks yang dibaca itu ditulis orang BN.

Hari tu sudah sekali... Kit Siang minta pulau majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak dan menyebabkan orang Melayu marah. Sepatutnya belajar dari situ. Ini kali kedua dalam masa beberapa puluh hari. Secara peribadi, saya takut boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum.

Sekarang dilihat seperti kaum bukan Melayu mahu mencabar Melayu dan yang dicabar adalah institusi yang orang Melayu lihat seperti kudus. Kita boleh tengok orang Melayu apabila marah Karpal dan apabila institusi Sultan dicabar, bukan saja orang Umno marah, orang Melayu yang menyokong Pas pun tak suka.

Apakah keadaan yang berlaku lebih bersifat individu atau sudah timbul perubahan dalam masyarakat, ada pihak mula berani mempertikaikan sesuatu yang bersifat institusi seperti Sultan.

Saya lihat sudah ada kecenderungan yang bermula dalam kempen pilihan raya umum lalu. PKR memberi bayangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak baik dan ini datang daripada Anwar. Orang bukan Melayu mendapat latar daripada seorang Melayu yang menjanjikan senario lebih mesra kepada bukan Melayu.

Keputusan pilihan raya memperlihatkan kemenangan kepada pembangkang dan ini adalah satu peluang. Sebelum itu sudah diuar-uarkan bahawa ini tak betul, itu tak betul. Tiba-tiba mereka memerintah, orang bukan Melayu melihat ada harapan.

Itu dari segi masyarakat. Secara individu, saya kira Karpal dan Kit Siang, terkenal dengan cara begitu. Pemimpin DAP lain tak ada hingga tahap itu.

Pada pandangan Prof adakah isu mencabar kuasa Sultan ini lebih bersifat politik dan bukan perubahan budaya masyarakat.

Mungkin ada perubahan (budaya) dan ada pemikiran begitu. Kalau bercakap sesama kita pun, kadang-kadang kita bertanya apakah fungsi institusi Sultan... tetapi tak adalah hingga nak mencabar.

Ketika kempen pilihan raya lalu, orang Melayu dari PKR juga tidak mencabar institusi kesultanan, tetapi mereka seperti mempertikaikan hak istimewa orang Melayu. Orang bukan Melayu tengok ini. Mereka (bukan Melayu) selama ini rasa seperti ada diskriminasi, tetapi tak berani bersuara. Tiba-tiba ada kumpulan Melayu nak perjuangkan hak mereka dengan mengatakan hak istimewa orang Melayu patut ditarik balik... ini memberikan mereka harapan. Tiba-tiba pembangkang memerintah, lagi tinggi harapan.

Saya rasa tak ada sangat nak cabar institusi Sultan, tetapi lebih kepada hendak memperlihatkan kekuasaan pembangkang dan kekuasaan itu cuba diperlihatkan dari segi perundangan. Mungkin dari segi perundangan tindakan tertentu istana tidak betul, tetapi orang Melayu dan Timur tidak pernah mencabar kuasa Sultan.

Tidakkah tindakan mencabar kuasa Sultan memberi mesej negatif kepada masyarakat, terutama bukan Melayu.

Ya juga! Sepatutnya tak dicabar. Walaupun bukan Melayu, orang Cina dan India masih masyarakat Timur yang terkenal dengan budi bahasa. Saya kira ini negatif dari satu segi. Tindakan Karpal dan Kit Siang memperlihatkan seperti masyarakat bukan Melayu tidak taat setia kepada Raja dan negara, tetapi bukan semua begitu.

Tidakkah bahaya apabila isu begini dimainkan.

Cukup bahaya... cukup bahaya. Apabila ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia pada 15 Mac lalu, saya membangkitkan peristiwa Kit Siang minta pulaukan upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak. Saya berpendapat DAP harus lebih santun apabila berdepan isu Melayu. Saya juga menyatakan kebimbangan takut berlaku perkara buruk.

Bagaimanapun kira-kira sebulan kemudian, pemimpin DAP lain mencabar sekali lagi kesultanan Perak dan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong. Sabar orang Melayu ada hadnya, dulu sudah dimaafkan tetapi kini dicetuskan lagi. Kali ini, saya tak tahu sejauh mana kesabaran orang Melayu. Tindakan DAP ini patut digunakan perkataan biadap.

Orang tak suka saya bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya masih nak cakap... sebenarnya kita (masyarakat Cina) pendatang dan minoriti di sini, tetapi orang Cina kata tidak kerana kita sama-sama membina negara ini. Saya masih kata kita minoriti dan pendatang.

Maka, jadilah minoriti yang baik, kita mesti hormat negara ini yang bernama Persekutuan Tanah Melayu. Malaya pun Malay (Melayu), Malaysia pun begitu. Ketuanan Melayu perlu dan dalam Ketuanan Melayu, kebajikan bangsa lain tidak pernah terabai.

Kalau dibandingkan kaum Cina di Malaysia dengan Indonesia, jauh lumayan (lebih baik) di sini. Orang Cina Indonesia tak boleh guna nama Cina. Di Thailand pun tak boleh pakai nama Cina. Di Indonesia, mana boleh ada sekolah Cina. Thailand pun sama. Di sini tengok, kalau desak apa-apa, kerajaan bagi lagi. Ketuanan Melayu meliputi empat perkara, kuasa Sultan, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Apakah empat perkara itu tidak sepatutnya disentuh.

Tidak sepatutnya disentuh. Ini terangkum dalam Akta Hasutan. Kalau nak disentuh pun, tidaklah dengan niat menghasut, terutama depan orang ramai. Dalam kes Karpal, ada unsur menghasut, boleh menimbulkan kemarahan dan keadaan tidak harmoni.

Apakah isu yang lebih penting diperjuangkan ahli politik

Isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan sebenarnya cukup banyak. Seperti sekarang, harga beras mahal, pembangkang dan kerajaan sepatutnya bersama-sama memikirkan cara menjaga kesejahteraan rakyat.

Satu perkara lagi dalam kes Karpal dan sesetengah orang bukan Melayu adalah kes tak 'reti bahasa'. Lihat Menteri Besar Perak, selepas ditegur Sultan Perak, dia 'reti bahasa'. Dia mohon maaf, walaupun dari segi perundangan, apa yang Karpal kata adalah betul, iaitu Sultan tidak ada hak, tetapi tengok sebagai orang Melayu dan Timur, dia 'reti bahasa'.

Apabila saya kata 'reti bahasa', bahasa dalam budaya Melayu meliputi adat dan pantang larang. Kes Karpal adalah kes tak 'reti bahasa'. Tengok kes Datuk Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar Terengganu), dalam keadaan dia nak sangat... dia 'reti bahasa'. Dia tak lawan balik dan akur. Datuk Seri Shahidan Kassim (bekas Menteri Besar Perlis) pun sama. Bukan Melayu, nak kata tak 'reti bahasa', tinggal di sini sudah lama.

Karpal dan Kit Siang berpelajaran tinggi. Mereka adalah peguam. Mereka bukan orang baru dalam politik. Mereka sepatutnya tahu.

Saya rasa di sini, mereka hendak menguji selepas ada semacam latar yang saya katakan tadi yang diberikan Anwar, dengan kuasa yang lebih kuat sekarang pada DAP dan pembangkang, cuba menguji, tetapi cukup berisiko tinggi. Orang biasa boleh mati jika berlaku konflik.

Saya kira kerajaan mula hendak membuat sesuatu berhubung isu Karpal. Bukan bertujuan menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), tetapi memadamkan api kemarahan orang Melayu. Ketuanan sudah dicabar dalam bentuk cabar tuan, Sultan. Secara peribadi, saya bimbang bila-bila saja berlaku konflik. Saya percaya rakyat, orang Melayu, Cina dan India tidak mahu ini berlaku. Semua rugi. Menang jadi arang, kalah jadi abu dan untuk mengembalikan keadaan kepada sebelum konflik mengambil masa lama.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ahli politik.

Paling penting adalah ahli politik kerana mereka adalah pemimpin dan ada landasan untuk bersuara. Jika ahli politik boleh memperlihatkan politik yang sederhana dan tidak melampau yang boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan, saya kira pengikut tidak melatah. Sekarang pemimpin yang melatah, apatah lagi anak buah.

Tindakan perlu diambil, jika tidak barang kali ada kali ketiga tindakan mencabar. Kali pertama, orang Melayu bising dan reda. Saya rasa orang Melayu bersikap sederhana. Dalam kes Karpal, yang dituntut orang Melayu sekarang ialah mohon maaf secara terbuka. Permintaan itu sederhana. Tak adalah hingga tidak terbuat oleh Karpal.

Kalau Karpal minta maaf, saya kira orang Melayu boleh lupa. Saya bukan Melayu dan menekuni Pengajian Melayu sejak Tahun Satu di Universiti Malaya pada 1979 hingga sekarang, hampir 30 tahun. Saya dapati orang Melayu ini baik, tetapi mesti kena cara. Sekarang dalam keadaan mencabar dan menghina ketuanan Melayu dalam bentuk institusi Sultan, minta mohon maaf saja.

Selepas itu harus ada kesedaran, jangan ada kali ketiga, Jangan biadap. Kesabaran orang Melayu pun ada hadnya. Setakat ini, DAP saja yang biadab dan parti ini, rata-ratanya kepemimpinan dan ahli adalah orang Cina. Jadi nampak jahat sangat orang Cina.

Apa pula peranan rakyat, terutama orang bukan Melayu yang tidak semua mahu terpalit.

Bukan Melayu perlu menyuarakan pandangan dalam media massa atau bercakap dalam forum. Inilah peranan kami yang ada gelaran atau kedudukan sedikit. Rakyat biasa pun berfikiran macam kami, tetapi tak ada peluang untuk menyuarakan pandangan.

Pemimpin DAP mesti memanggil mesyuarat untuk membincangkan perkara ini. Majoriti rakyat tidak menyokong tindakan ini. Mereka harus ambil iktibar dan yang penting, tidak boleh berlaku kali ketiga. Bahaya. Kudis pertama pun belum hilang lagi.

Baru berkuasa sikit, memerintah dua tiga negeri, sudah mencabar. DAP sendiri perlu berfikir dalam perjuangan politik, awal-awal lagi sudah nampak macam ini. Bagaimana pada masa depan orang nak menyokong. Kalau DAP, PKR dan Pas hendak terus memerintah, mereka perlu melakukan perkara yang rakyat suka.

Mungkin kita boleh pelajari pengalaman Pas sepanjang 18 tahun menguasai Kelantan. Orang Cina pun suka dan mereka tak suka BN. Satu contoh yang boleh saya beri ialah ketika BN memerintah Kelantan, peniaga daging babi hanya dibenarkan menjual daging tiga hari seminggu. Orang biasa boleh menyimpan daging dalam peti ais, tetapi empat hari peniaga tak ada kerja.

Apabila Pas memerintah sejak 1990, kerajaan negeri benarkan peniaga babi berniaga setiap hari. Begitu liberal Pas. Kalau ditanya, pemimpin Pas beritahu itu budaya orang Cina. Kenapa nak kawal? Pemimpin Pas juga dilihat hidup sederhana, tetapi pemimpin Umno dan BN nampak terlalu mewah. Orang mengaitkan kemewahan dengan rasuah dan sederhana dengan tidak rasuah.

Ini berbeza apabila DAP memerintah Pulau Pinang. DAP bermula dengan cara begitu samseng dan agresif seperti nak membubar DEB. Rakyat pun menilai, ini belum apa-apa lagi. Bagi saya, masalahnya kerana DAP kali pertama menang tidak tahu cara mengurus kemenangan. Umno dan BN kali pertama kalah, menyalahkan sana-sini, tidak tahu menguruskan kekalahan.


Pengerusi DAP kena mohon maaf elak pergeseran

PROF DR ABDUL AZIZ BARI

Kenyataan Karpal Singh mencetuskan perasaan tidak puas hati rakyat kerana menyentuh kedudukan Raja Melayu. Pandangan Prof.

Masalah Karpal ialah sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan yang menyentuh kedudukan Raja - walaupun secara tidak langsung. Contohnya apabila beliau mendakwa bahawa Malaysia adalah negara sekular, ini sebenarnya membabitkan kedudukan Raja.

Jika Malaysia benar-benar negara sekular, bagaimana dengan kedudukan Raja sebagai ketua agama?

Jadi, apabila beliau membuat komen mengenai kedudukan Sultan Perak dan menyinggung negeri lain, ia sebenarnya membangkitkan semula ingatan dalam benak rakyat mengenai apa yang perlu beliau katakan sebelum ini.

Karpal juga pernah menyaman Almarhum Sultan Selangor pada 1987 ekoran kenyataan baginda yang dilaporkan tidak akan berkenan untuk mengampunkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.

Jadi walaupun kenyataan Karpal, khususnya mengenai titah Agong masih boleh diterima kerana ia pandangan seorang peguam, rekod beliau memberi gambaran negatif. Sebagai seorang ahli politik, Karpal perlu lebih berhati-hati.

Wajarkah titah Yang di-Pertuan Agong dipersoalkan.

Soal wajar atau tidak perlu dilihat dalam konteks demokrasi berparlimen iaitu ucapan pembukaan, baik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja atau Yang di- Pertua Negeri adalah ucapan kerajaan. Ia bukan ucapan peribadi Raja. Titah itu sekadar lambang; ia adalah dasar kerajaan.

Apakah kesan perbuatan ini kepada institusi beraja dan rakyat.

Sukar untuk menentukan kesan tindakan itu kerana ia tidak semestinya menunjukkan bahawa institusi raja lemah. Kritikan kadang-kadang menunjukkan bahawa institusi berkenaan berkesan dan ada pihak yang tidak senang hati.

Apa pun institusi beraja sudah berakar lama dan dilindungi Perlembagaan dan undang-undang. Tidak mudah untuk menggugatnya.

Ia mungkin menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sebahagian rakyat, terutama jika mereka mentafsirkan kritikan sedemikian sebagai mewakili perasaan dan tanggapan golongan bukan Melayu terhadap institusi yang umumnya melambangkan keMelayuan dan keIslaman.

Adakah peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabar dan mempersoalkan kewibawaan institusi beraja.

Bergantung setakat mana dan apa yang dilakukan dengan mencabar dan mempersoalkan institusi beraja. Jika ia merujuk kepada perbuatan membabitkan senjata dan kekerasan, kita ada peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan ini boleh dihukum mati seperti yang kita lihat dalam kes pengikut al-Maunah di Perak.

Mempersoal wibawa pula kalau ia termasuk di dalam ruang lingkup yang dilarang oleh Akta Hasutan, mereka yang melakukannya boleh didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut. Perlembagaan, bagaimanapun membenarkan Ahli Parlimen mengkritik Raja-Raja asalkan tidak sampai hendak menghapuskan institusi beraja.

Adakah Yang di-Pertuan Agong dilindungi oleh imuniti atau kekebalan yang menghalang mereka daripada dikritik atau dipersoalkan termasuk oleh wakil rakyat.

Ya. Perlembagaan masih melindungi mereka dengan menjamin kekebalan atau imuniti. Pindaan Perlembagaan pada 1993 hanya membataskan imuniti; ia tidak menghapuskan imuniti kerana Raja-Raja hanya boleh didakwa di Mahkamah Khas, bukan mahkamah biasa.

Kritik dan persoalan bukan ancaman. Ia dibenarkan Perlembagaan serta dikecualikan oleh Akta Hasutan. Tetapi jika persoalan yang dibangkitkan ialah isu yang mengarut dan tidak masuk akal, saya fikir kita boleh gunakan Akta Hasutan.

Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap Karpal.

Setakat ini apa yang perlu ialah siasatan saja dan selepas itu, buat keputusan selanjutnya. Siasatan ini perlu untuk memastikan apa yang sebenarnya beliau katakan. Dengan demikian implikasinya boleh dikaji dan kemudian tentukan sama ada itu semua masih berada di dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh undang-undang atau sebaliknya.

Karpal sebelum ini mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jaip. Adakah tindakan itu dianggap menghina Sultan Perak.

Ini perlu dihalusi dengan lebih lanjut kerana Perlembagaan membenarkan kritikan terhadap Raja asalkan tidak mencadangkan penghapusan sistem beraja. Ramai ahli politik sebenarnya boleh ditafsirkan sudah membuat tindakan seperti itu. Saya tidak pasti apakah Karpal berniat dan boleh ditafsirkan begitu.

Perlukah Karpal memohon maaf.

Ini bukan soal undang-undang. Tetapi sebagai ahli politik mungkin Karpal perlu membuat penjelasan dan membuat kenyataan umum memohon maaf. Beliau juga perlu mengakui kesilapannya dalam memahami Perlembagaan dalam konteks pegawai jabatan agama.

Karpal Singh mendakwa Sultan tidak mempunyai kuasa ke atas kakitangan awam yang bertugas di negerinya. Contohnya dalam soal memindahkan kakitangan awam ke negeri lain atau jabatan lain.

Ini kenyataan yang terlalu umum dan tidak begitu tepat di sisi Perlembagaan. Raja adalah ketua negeri dan mempunyai peranan tertentu. Contohnya Perlembagaan negeri memberi peranan dan budi bicara dalam pelantikan pegawai kanan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Penukaran pegawai memang secara umum terletak di tangan kerajaan, tetapi dalam kes Jaip, pegawai berkenaan tertakluk kepada kuasa Sultan selaku ketua agama dan baginda boleh bertindak mengikut budi bicara.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: