SETELAH terhimpit dengan isu penternakan babi moden yang mahu dibuat tanpa melakukan kajian kesan alam sekitar dan persetujuan penduduk kampung Ladang Tumbuk, Kerajaan Negeri Selangor cuba mengalih kepada isu-isu di luar bidang kuasanya seperti isu Persatuan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).
Isu Balkis adalah isu persatuan yang sepatutnya diselesaikan oleh ahlinya. Sepanjang pengetahuan, belum ada isteri wakil rakyat pakatan pembangkang yang diterima menjadi ahli Balkis melalui mesyuarat agungnya.
Jikapun isteri pemimpin pembangkang teringin benar ingin menguasai dana RM9.9 juta milik anak-anak tajaan Balkis, saya tidak fikir Tan Sri Khalid, Teresa Kok dan Exco Selangor yang lain perlu menumpukan kepada usaha ini. Tiada seorang pun antara mereka layak menyertai persatuan ini jika ia tidak dibubarkan.
Tan Sri Khalid sepatutnya menumpukan kepada usaha memenuhi janji pilihan raya umum lalu. Setelah menunda isu air percuma sebanyak 20 meter padu, saya ingin tahu bilakah cukai pintu akan dikurangkan?
Saya sedar untuk memberi air percuma mungkin memerlukan sedikit masa untuk dibuat kajian dan mencari dana membiayainya. Namun ada janji yang lebih mudah dan perlu ditunaikan segera iaitu penurunan cukai pintu.
Dalam kempen pilihan raya lalu, PKR dan Pas berjanji akan menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus. Sehingga sekarang belum diumumkan penguatkuasaannya.
Ini adalah janji paling mudah untuk ditunaikan kerana kerajaan tidak perlu mengeluarkan sesen pun daripada khazanah kerajaan negeri. Saya berharap apabila bil taksiran cukai pintu dikeluarkan nanti, ia akan menunjukkan potongan yang jelas sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan.
Banyak lagi janji PKR-Pas Selangor yang belum ditunaikan. Apakah Tan Sri Khalid sekarang mempunyai begitu banyak masa untuk berbahas isu undang-undang persatuan berbanding melunaskan janji pilihan raya umum lalu?
Atau ini sekadar agenda kerajaan negeri untuk mengalih perhatian rakyat daripada melihat corak pentadbiran dan janji-janji pilihan raya lalu?
AB. JALIL ABOO BACKER
Petaling Jaya.
0 ulasan:
Catat Ulasan