Isnin, 28 April 2008

Hentikan polemik ketuanan Melayu


SELEPAS pilihan raya umum lalu, isu ketuanan Melayu merupakan antara isu yang menjadi topik paling hangat diperdebatkan di pelbagai forum dan lapangan hingga kini. Memanglah isu yang berkaitan dengan agenda Melayu sering kali menjadi topik yang paling mudah untuk dipolemikkan dalam kerangka masyarakat Malaysia yang berbilang kaum hari ini.

Apa yang lebih meresahkan, isu ketuanan Melayu ini juga tidak terlepas daripada menjadi isu politik di kalangan pimpinan parti-parti politik yang akhirnya lebih menimbulkan keserabutan di dalam masyarakat khususnya generasi pewaris yang rata-rata masih kurang memahami kerangka perjuangan Melayu dan latar belakang sejarahnya secara tuntas.

Persoalannya, mengapakah setelah lebih lima dekad kita merdeka, agenda Melayu masih menjadi isu yang semacam tidak mampu diselesaikan? Apakah kuasa yang ada di tangan orang Melayu kini sekadar retorik yang menanti saat untuk ditalkinkan? Atau apakah orang Melayu sendiri belum benar-benar memahami dan menghargai hak keistimewaan mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?

Di kalangan orang Melayu sendiri pun ramai yang masih keliru dan gagal memahami konteks agenda Melayu yang cuba diketengahkan. Di satu pihak, isu Melayu semacam tidak mahu dibincangkan kerana seolah-olah tidak relevan dengan suasana dunia global hari ini yang begitu mengagung-agungkan prinsip kesamarataan dan kebebasan hak asasi manusia.

Ada juga yang berpandangan perbincangan mengenai Melayu adalah satu yang bertentangan dengan Islam kerana ia mencerminkan sifat asobiah jahiliah yang sesat. Malah tidak kurang juga yang cuba menjadi 'hero' Melayu dengan mengutarakan pandangan-pandangan melampau yang akhirnya terjerat dalam kerangka semangat kebangsaan sempit yang lompong makna dan nilai.

Melihatkan pelbagai kecelaruan perspektif yang timbul, maka tidak hairanlah ada pihak luar yang cuba menangguk di air keruh sehingga berani mengeluarkan pelbagai tuntutan yang mencabar kontrak sosial yang disepakati sebelum ini. Malah ada yang berani mencabar hak keistimewaan orang Melayu dengan mengesyorkan pelbagai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan termasuk yang menyentuh soal agama Islam atas nama kesamarataan.

MencabarDalam keadaan ramai yang mulai mencabar hak keistimewaan Melayu ini pun, masih ramai orang Melayu yang tidak juga sedar diri dan berterusan terbelenggu dengan penyakit yang diistilahkan sebagai 'mati rasa'. Penyakit 'mati rasa' yang semakin merebak ini menggambarkan betapa orang Melayu sudah mulai hilang rasa sensitif dan peduli terhadap isu yang menyentuh masa depan mereka sendiri.

Mungkin orang Melayu sudah lama hidup dalam zon selesa dengan tanggapan kononnya hak dan keistimewaan mereka akan sentiasa terbela dan dipertahankan buat selama-lamanya. Sebab itulah orang Melayu lebih sibuk memperdebatkan isu remeh-temeh daripada membincangkan agenda besar yang mampu mengangkat martabat mereka. Orang Melayu juga lebih cenderung membincangkan soal kuasa dan harta sehingga melupakan soal-soal yang lebih fundamental seperti menabur budi dan jasa.

Akibatnya mereka lebih rela bercakaran sesama sendiri daripada menggembleng tenaga mencari titik-titik persamaan yang boleh menjamin masa depan generasi pewaris bangsa. Kita harus ingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya semata-mata beralasankan mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Tidak ada jaminan juga ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah "Tak akan Melayu hilang di dunia" mampu dipertahankan selama-lamanya sekiranya tiada perencanaan dan pelan tindakan berkesan.

Sejarah telah membuktikan hakikat sunatullah yang mentakdirkan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu bangsa amat bergantung kepada perilaku moral, tingkah dan olah mereka sendiri. Penentu nasib sesuatu bangsa adalah kudrat dan iradat Allah. Dialah yang berkuasa menyelamatkan dan Dia jugalah yang berkuasa menghancurkan dengan cara yang dikehendaki-Nya apabila kebejatan dan kemungkaran telah sampai kemuncaknya.

Mungkin ada baiknya orang Melayu kembali menelusuri sejarah silam sebagaimana yang digambarkan di dalam al-Quran berkenaan peristiwa-peristiwa yang menimpa kaum Lut, penduduk Madyan, kaum 'Ad dan kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman.

Allah berfirman: Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu dan Kami curahkan air hujan yang lebat ke atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain. (Surah Al-An'am: 6).

Pernyataan tegas Allah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Isu penggantian suatu bangsa dengan bangsa yang lain disebut berulang-kali di dalam al-Quran. Amaran keras ini dikhususkan kepada mereka yang lalai, ghairah dan khayal kepada kehidupan material duniawi hingga lupa kepada tanggungjawab dan idealisme perjuangan yang hakiki.

Obsesi dan kegilaan terhadap nilai-nilai kebendaan dan kuasa sering kali menjurus umat ke dalam kebinasaan, lantaran hilangnya pertimbangan akal waras hingga menjadikan mereka rakus, bakhil, mementingkan diri sendiri dan tergamak melakukan apa sahaja termasuk mengambil hak orang lain sewenang-wenangnya.

Justeru sudah tiba masanya umat Melayu kini dikejutkan daripada dibuai mimpi-mimpi indah di siang hari. Orang Melayu kini harus diterjah masuk ke alam realiti. Malah orang Melayu perlu disuntikkan kesedaran dan kefahaman yang utuh untuk kembali menginsafi sejarah seterusnya mengolah masa depan dan hala tujunya dengan lebih berkesan agar tidak hancur dimamah zaman.

Sumber Utusan Malaysia



0 ulasan: