SAYA merasakan komen yang diberikan oleh Ema Izati (semalam) dari Melbourne Australia berhubung dengan projek ternakan babi di Selangor adalah keterlaluan di mana beliau menyeru rakyat membantah industri ternakan babi di negara Islam Malaysia walaupun beliau tahu negara kita mempunyai berbilang kaum.
Kita harus bertoleransi dalam hal yang berkaitan dengan keperluan kaum masing-masing dan tidak hanya melihat akan kepentingan diri sendiri.
Apakah akan terjadi sekiranya kaum lain pun berbuat demikian? Adakah beliau melihat dalam konteks ini?
Di samping itu beliau tidak seharusnya menyamakan Teresa Kok dengan Geert Wilders memandangkan tindakan mereka adalah jauh berlainan dari semua segi.
Kita juga tidak menyokong tindakan Geert Wilders yang tidak peka kepada agama orang lain dan hanya menimbulkan kebencian orang terhadap dia.
Dalam masyarakat yang berbilang kaum, kita haruslah sensitif terhadap kaum lain supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang aman. Tiada gunalah mempertahankan kepentingan diri tanpa melihat kepentingan orang lain memandangkan kita semuanya adalah makhluk ciptaan Tuhan.
Kita sentiasa digalakkan dalam agama kita supaya saling menghormati di antara satu sama lain supaya dapat hidup dalam keamanan dan bukannya membuat komen yang hanya menimbulkan kesangsian tentang kejujuran kita.
Kita dicipta oleh Tuhan untuk hidup bertoleransi supaya dapat hidup dalam aman. Perjuangan yang mengakibat kehancuran kepada umat manusia merupakan satu kerugian dan mencabar kekuasaan pencipta kita.
SIA MING KONG
Setiawan.
0 ulasan:
Catat Ulasan