Khamis, 10 April 2008

Hentikan projek ternak babi -- Surat 3


SAYA cukup kecewa dengan keputusan yang dibuat pada mesyuarat Exco Selangor pada Rabu lepas yang telah meluluskan projek ternakan babi secara moden di daerah Sepang.

Saya percaya bukan saya sahaja malah seluruh warga umat Islam khasnya dan kaum lain, tidak kira yang telah mengundi Barisan Nasional atau pakatan pembangkang, pastinya cukup terkilan dengan berita ini.

Seperti yang semua sedia maklum, haiwan itu sendiri adalah makhluk yang paling kotor dan jijik, bukan hanya untuk dijadikan makanan, malah jika hendak dipandang juga tidak lalu.

Sejarah telah membuktikan bahawa haiwan ini mampu mendatangkan pelbagai penyakit kepada manusia dan makhluk lain bukan sahaja dari kebersihan haiwan itu sendiri, malah sehingga ke tempat pembiakan juga boleh mendatangkan mudarat.

Cuba renungkan kembali penyakit JE yang membawa virus Nipah yang telah menggemparkan negara suatu ketika dahulu, akibatnya penternak itu sendiri maut menjadi mangsa.

Di peringkat antarabangsa pula, wabak selesema burung dan SARS yang kini semakin mengganas meragut nyawa, juga dibuktikan secara klinikal bahawa haiwan ini adalah sebagai punca awal pembiakan virus maut tersebut.

Di manakah fungsi dan keberkesanan agensi-agensi yang terlibat dengan kesihatan dan alam sekitar? Adakah projek ini telah mematuhi EIA dan syarat-syarat ketat yang sehingga kini menjadi masalah kepada penternak-penternak haiwan lain seperti lembu, kambing dan ayam?

Oleh itu, sekiranya diambil kira semua faktor kesihatan dan ekosistem, bagaimana kerajaan Selangor yang diterajui oleh tiga parti Pakatan Rakyat ini boleh meluluskan projek yang bernilai tinggi? Di manakah sensitiviti umat Islam yang mewakili parti tersebut? Bagaimanakah pula perasaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Hassan Ali dan khususnya MB Selangor yang beragama Islam, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Biar saya ingatkan kepada orang di atas sana, kami di bawah ini adalah rakyat yang akan menilai prestasi baik buruk anda, dan jika anda membuat kesilapan tidak kira sekecil mana pun, seluruh rakyat Selangor akan menghukum dan pastinya anda tidak akan terlepas. Tidakkah anda mahu melanjutkan tempoh pemerintahan anda kepada sepenggal lagi?

RAKYAT MENANGIS

Shah Alam.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: