KUALA LUMPUR 12 April – Usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar, titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Baginda bertitah, beberapa perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap suatu hari nanti.
“Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya lalu menunjukkan masyarakat Melayu berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan dari segi politik dan ekonomi,’’ titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kira-kira 3,000 peserta menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).
Antara NGO terlibat ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Baginda menambah, orang Melayu kini juga semakin keliru tentang kedudukan benteng kekuatan mereka dalam usaha mempertahankan hak dan ketuanan Melayu.
Justeru baginda bertitah, perkara utama yang harus diketahui dan difahami ialah peruntukan Perlembagaan yang menegaskan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.
“Peruntukan berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.
“Perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda turut mengingatkan orang Melayu pada masa depan supaya bijak berpolitik agar tidak berlaku keadaan ‘menang sorak kampung tergadai’.
Baginda bertitah, kini ada orang Melayu telah bertindak ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ yang akhirnya, menggadaikan masa depan bangsa hanya kerana marahkan pemimpin.
“Paling menyedihkan, ada pula yang taksub hendakkan kuasa sehingga bertindak membujur lalu, melintang patah asalkan dapat kuasa,” titah baginda.
Menurut baginda, lebih memburukkan perpecahan Melayu itu apabila ada pula sebilangan pemimpin Melayu sendiri yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa.
“Ini berbeza dengan pemimpin kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.
“Selagi sikap seumpama ini tidak dikikis, maka selagi itulah usaha untuk menyatukan bangsa Melayu hanya akan menjadi satu impian sahaja,” titah baginda.
Justeru, baginda menyeru orang-orang Melayu supaya jangan hanya bercakap sebaliknya mesti bertindak dan menunjukkan hasil tindakan yang benar-benar mencapai matlamat yang disasarkan.
“Sekiranya ini dapat dicapai, beta amat berbangga dan sesungguhnya kedaulatan dan ketuanan Melayu akan terus kukuh dan terbilang dengan institusi raja-raja Melayu memayunginya.
“Sesungguhnya beta mempunyai impian dan harapan untuk melihat suatu keadaan di mana perbalahan dan perbezaan pendapat di antara semua pemimpin Melayu Islam itu dirungkai menerusi satu muzakarah yang diadakan secara tertutup, berhemah dan bijaksana,” kata baginda.
Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, baginda berharap segala perbezaan pendapat diketepikan dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan