Rabu, 23 April 2008

Jadikan Singapura teladan


BERMULA dengan pelaburan RM100 juta untuk ladang ternak babi terbesar di negara ini kononnya untuk keperluan kaum Cina tempatan dan mendapat sokongan daripada pakatan parti politik memerintah di Selangor. Mutakhir ini, rakyat dikejutkan pula dengan khabar China berminat untuk mengimport daging babi dari Malaysia.

Sudah jelas lagi nyata, tidak perlu bersuluh lagi - jika idea China itu menjadi realiti, negara akan menjadi pengeluar daging babi untuk kegunaan negara luar!

Ertinya, negara dan masyarakat akan mengambil risiko pencemaran, berbagai-bagai penyakit berbahaya yang telah terbukti berlaku dan ancaman terhadap sumber air kegunaan awam.

Alasan yang diberikan kenapa negara China berminat kepada daging babi keluaran negara ini ialah kerana harganya yang murah. Harga yang murah adalah disebabkan oleh kos pengeluaran yang rendah. Kos pengeluaran yang rendah disebabkan semua kumbahan, bangkai, najis dibasuh ke dalam sungai!.

Inilah yang telah berlaku di Bukit Pelanduk, di Sungai Linggi, Sungai Baru dan sungai-sungai yang berhampiran ladang ternakan babi di negara ini.

Pada awal tahun 80-an lagi, Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah memaparkan dalam akhbar Utusan Konsumer, bagaimana sebahagian dari Sungai Linggi telah menjadi seperti 'jalan raya' disebabkan najis babi telah berfungsi sebagai tar di dalam sungai itu!

Apakah kita telah lupa bagaimana penduduk kampung di sepanjang sungai itu, yang rata-ratanya orang Melayu mengeluh kesah dalam televisyen tentang penderitaan dan merananya hidup mereka setiap hari akibat daripada pencemaran ladang babi di situ?

Pernahkah kita memikirkan dan bertanya, mengapa negara yang hampir keseluruhannya penduduk kaum Cina seperti Singapura dan negara China ingin mengimport daging babi dari kita dan menghapuskan langsung ternakan babi di negara mereka (seperti yang dilakukan oleh Singapura) dan pengurangan yang drastik (seperti yang sedang diusahakan oleh negara China)?

Ramai yang tidak mengetahui iaitu pada tahun 60-an dan 70-an, Kallang di Singapura adalah tempat pemeliharaan babi terbesar di republik itu. Kaedah perladangan adalah sama seperti yang dilakukan di Malaysia, di mana semua kotoran disalirkan ke laut. Kallang ketika itu menjadi begitu kotor dan busuk sehingga keadaan sudah tidak dapat bertahan lagi.

Pemerintah yang sememangnya mempunyai kudrat politik melakukan perkara yang betul iaitu mengharamkan kegiatan penternakan babi di Kallang dan Singapura.

Sehingga hari ini, Singapura bebas daripada masalah pencemaran dan penyakit yang berpunca daripada ternakan babi. Dan, sebenarnya kegiatan penternakan babi yang dihentikan di Kallang, telah menjadikan Bukit Pelanduk begitu popular dengan industri ternakan haiwan itu.

Sebenarnya penternakan babi sukar dilakukan tanpa menghasilkan pencemaran yang tidak terkawal.

Illinois di Amerika Syarikat adalah antara kawasan terbesar penternakan babi yang juga menghadapi masalah pencemaran teruk. Bacalah laporan-laporan saintifik di dalam Internet mengenai masalah pencemaran sumber air, busuk dan bising yang dihadapi oleh penduduk kawasan ini akibat dari ternakan babi.

Negara yang mempunyai piawaian kawalan persekitaran dan kesihatan yang begitu ketat pun menghadapi masalah yang berterusan. Apatah lagi negara kita yang masih lemah dalam struktur dan proses penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.

Jikalau teknologi, seperti yang diuar-uarkan dapat menyelesaikan masalah pencemaran dan kesihatan, sudah tentu Amerika Syarikat tidak akan menghadapi masalah yang berterusan lagi dalam hal ternakan babi.

Singapura telah melakukan perkara yang betul dengan mengharamkan usaha ternakan babi atas sebab-sebab pencemaran dan kesihatan.

Sudah sampai masanya Malaysia mencernakan kudrat politiknya untuk melakukan perkara yang sama. Sebarang kelemahan kudrat politik dalam soal ini akan menyebabkan kemusnahan yang tidak mungkin dapat diperbaiki lagi.

0 ulasan: