TIDAK ada masalah, cari masalah. Masalah yang ada belum selesai, masalah baru pula muncul membebankan kerajaan. Ini hanya tanggapan bodoh saya. Mungkin kerajaan tidak berasa apa-apa pun. Tetapi pembangkang telah mengambil kesempatan mengeksploitasi isu ini. Pembangkang kata mereka tidak 'menimbulkannya', pihak kerajaan sendiri menyuarakannya.
Begitulah dengan isu kerajaan perlu memohon maaf kepada Tun Salleh Abas atas pemecatannya sebagai Ketua Hakim Negara, seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Mungkin ini pendapat peribadi beliau tetapi harus diingat beliau adalah anggota Kabinet.
Tun Salleh telah dipecat pada 8 Ogos 1988, sesudah tribunal yang dianggotai lima hakim, iaitu Tan Sri Lee Hun Hoe (Hakim Besar Borneo), K. A. P. Ranasinghe (Hakim Besar Republik Sosialis Sri Lanka), T. S. Sinnathuray (Hakim Kanan Mahkamah Agung Singapura), Tan Sri Abdul Aziz Zain (Hakim Bersara Mahkamah Persekutuan) dan Tan Sri Syed Zahir Ismail (Hakim Mahkamah Tinggi yang juga Speaker Dewan Rakyat ketika itu). Tribunal ini dipengerusikan oleh pemangku Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar.
Walaupun saya tidak bersetuju dengan pemecatan Tun Salleh dan amat bersimpati dengan beliau, sehingga saya menzahirkan simpati itu ke dalam sebuah buku saya bertajuk Kontroversi Kes Tun Salleh yang menjadi best seller selama tiga bulan pada tahun 1988, namun saya tidaklah sampai berpendirian seperti Zaid.
Kenapa kerajaan perlu meminta maaf kepada Tun Salleh (seorang individu)? Kerajaan akan hilang kredibiliti dan imej negara tercalar jika melakukannya. Meskipun pemecatan ini berlaku 20 tahun lalu, ketika negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang sama: Kerajaan Malaysia.
Bagi saya bukan saja kerajaan, malahan Dr. Mahathir sendiri yang ketika itu menjadi Perdana Menteri, juga tidak perlu meminta maaf. Yang membuat keputusan memecat Tun Salleh ialah tribunal yang menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri, dan diperakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jadi kalau juga perlu meminta maaf bukan kerajaan tetapi tribunal. Apakah tribunal silap atau salah membuat keputusan? Judge the judges. Tetapi tidak mungkin kelima-lima anggota tribunal silap membuat penghakiman. Lebih-lebih lagi tiga anggota tribunal itu dari luar negara.
Saya tidak fikir mereka mempunyai kepentingan dan sanggup menggadai maruah untuk sebuah negara lain dan asing, sedangkan mereka adalah hakim kanan di negara masing-masing.
Sebaiknya, kalau mahu menganggap kes pemecatan Tun Salleh ini sebagai sejarah hitam kepada negara atau sejarah hitam institusi kehakiman Malaysia, tidak ada apa yang boleh dilakukan. Ia sudah berlalu dan menjadi sejarah. Kita jadikannya sebagai iktibar.
Kalaupun kerajaan meminta maaf, apa untungnya Tun Salleh. Apakah dengan permohonan maaf ini akan menjadikan pemecatan Tun Salleh tidak sah? Saya rasa Tun Salleh tidak pun meminta semua ini. Malah imej beliau sudah cukup menggambarkan peribadinya. Bagi saya beliau adalah satu-satunya Ketua Hakim terhebat di Malaysia.
Sebab itu, kalaupun Zaid ingin menjadi popular terutama di kalangan pengamal undang-undang, saya rasa ada baiknya beliau menumpukan perhatian kepada usaha melakukan reformasi institusi kehakiman.
Kes klip video V. K. Lingam telah mendedahkan betapa buruknya sistem kehakiman kita.
Zaid sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan terhadap hal ehwal perundangan perlu melihat perkara ini secara serius. Beliau perlu membersihkan nama baik institusi kehakiman kita. Ini membabitkan soal maruah dan kredibiliti negara.
Kes klip video Lingam sudah cukup mengaibkan kita. Salah laku didakwa berlaku di kalangan Ketua-Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan. Dan dakwaan ini dilakukan oleh pengamal undang-undang sendiri. Ibarat membuka pekung di dada atau meludah ke langit jadinya.
Saya sangat mengagumi Zaid kerana beliau satu-satunya peguam Melayu yang paling berjaya dan memiliki firma guaman yang terbesar di Malaysia. Sebagai seorang peguam yang hebat dan banyak tahu apa yang berlaku dalam institusi kehakiman dan dunia perundangan, harapan rakyat teramat tinggi kepada beliau untuk memastikan benteng terakhir negara ini bukan saja bersih, tetapi sentiasa kelihatan bersih.
- M. HANAFIAH A. SAMAD
Kuala Lumpur.
0 ulasan:
Catat Ulasan