Selasa, 1 April 2008

Kenyataan terburu-buru Khalid undang persoalan

TAN Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru kelihatan terburu-buru dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tanpa memikirkan implikasi.

Beberapa kenyataan beliau kemudiannya ternyata mengundang persoalan. Sebagai contoh, beliau telah mengumumkan bahawa rakyat Selangor akan mendapat pengurangan caj bekalan air dengan memberikan 20 meter padu air percuma mulai bulan April 2008.

Walau bagaimanapun kenyataan terbaru ialah ia akan bermula pada 1 Jun 2008. Kenapa boleh jadi demikian? Kenyataan itu boleh dilihat sebagai berdolak-dalik.

Beliau juga membuat kenyataan akan mengenakan levi kepada majikan yang menggaji pekerja-pekerja asing. Sedangkan ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dalam konteks ini jelas menampakkan bahawa pengetahuan beliau amat cetek dalam soal-soal pentadbiran dan tidak memahami secara mendalam mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh beliau lakukan sebagai ketua kerajaan negeri.

Adakah beliau telah diberi nasihat yang salah oleh penasihat-penasihatnya?

Satu lagi contoh ialah kerajaan negeri ingin mengambil alih projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Sekali lagi beliau telah menunjukkan bahawa beliau tidak tahu skop bidang kuasa beliau sendiri.

Sepatutnya, sebelum beliau melihat perkara-perkara ‘besar’, beliau seharusnya terlebih dahulu menitikberatkan soal untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat umpamanya mengurangkan kadar tol, menurunkan harga minyak dan menurunkan harga barang di Selangor dan banyak lagi.

Jangan sekali-kali cuba untuk lari daripada menunaikan janji. Sebagai orang Islam beliau wajib menunaikan janji.

Apa pun rakyat telah memberi tiket kepada beliau untuk menjadi ketua pentadbir di Selangor. Diharap beliau sedar beliau sedang diperhatikan melalui kanta pembesar oleh seluruh rakyat Selangor.

– ORANG TUA

Bandar Baru Sungai Buloh,

Selangor.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: