Khamis, 3 April 2008

Boikot produk Belanda: Ulama


Oleh Mohd Hamizar Hamid

Sumber Berita Harian

SEPANG: Ulama di Malaysia dan Indonesia menyokong tindakan memboikot barangan buatan Belanda sebagai tanda bantahan terhadap penerbitan filem Fitna yang secara terang menghina Islam.

Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata majlis itu bersetuju dengan tindakan badan bukan kerajaan (NGO) memboikot barangan keluaran Belanda bagi menyuarakan kemarahan terhadap penerbitan filem itu.

"Hubungan perniagaan adalah hubungan kerajaan, kita boikot barangan itu untuk tunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negara mereka yang membenarkan filem itu ditayangkan.


"Umat Islam dilarang mencaci agama lain, haram bagi orang Islam mencaci agama lain, sebab itu kita kena lawan dan kalau hendak jawab, kita boleh jawab macam-macam. Kita juga hanya boleh menyatakan kebenaran agama kita dan bukan dengan mencaci kepercayaan orang lain," katanya.

Harussani turut menyelar pemimpin Parti Kebebasan Belanda, Geert Wilders kerana menghasilkan filem itu serta sengaja menggunakan petikan tidak lengkap ayat al-Quran berkaitan jihad bagi menggambarkan Islam menggalakkan keganasan.

"Filem ini betul-betul fitnah kepada kita. Dia menonjolkan ayat al-Quran yang perintahkan kita berjihad dengan orang kufur. Dia lupa bahawa sebelum itu ayat berkenaan menceritakan bagaimana orang kufur menentang umat Islam, cuba nak hapuskan Islam.

"Perintah kepada orang Islam supaya berjihad mempertahankan agama, tapi dia ambil kalimah yang al-Quran mengajar supaya membunuh orang, pancung orang, seolah-olah itulah perkara sebenar... sedangkan ayat itu tidak ditunjukkan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ) Bil 54/1.2008, Kementerian Dalam Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi LPPPQ, Datuk Noh Gadut serta Pengerusi Lujnah Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor.

Penerbitan filem 15 minit itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan beberapa NGO serta pertubuhan politik di negara ini turut melancarkan kempen memboikot barangan buatan Belanda.

Filem itu yang antara lain menyelitkan imej peristiwa 11 September 2001 dan serangan bom di stesen Madrid pada 2004 dengan beberapa petikan ayat al-Quran, mula disiarkan menerusi internet mulai Khamis lalu.

Harussani yang juga Mufti Perak, berkata Wilders mempunyai agenda tidak baik terhadap Islam apabila sengaja tidak menyiarkan ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam menghormati sesama manusia dan melarang mereka berkelahi dengan orang kafir jika tidak diancam.

Sementara itu, Noh yang juga Mufti Johor berkata, kehebatan Islam sudah ditonjolkan pada zaman Rasulullah SAW menerusi Piagam Madinah yang memberi keadilan kepada semua termasuk bukan Islam.

Malah, katanya, ketika peperangan pun tentera Islam tidak dibenarkan menganiaya orang tua, wanita, kanak-kanak, pokok dan haiwan atau mereka yang berlindung di tempat ibadat.

"Kita perlu ingat, Islam berkembang bukan kerana pedang tetapi kerana kemanusiaan dan pendekatan tanpa membezakan warna kulit dan kedudukan," katanya.

Di JAKARTA, Majlis Ulama Indonesia menggesa supaya barangan dari Belanda diboikot dalam bantahan dunia terhadap penerbitan filem itu.

Jurucakapnya, Ma'ruf Amien berkata Majlis Ulama mengambil ketetapan itu kerana penghinaan pengeluar filem Belanda berkenaan terhadap agama Islam.

Awal pagi semalam, kira-kira 50 pelajar Islam memasuki perkarangan bangunan konsulat Belanda di Indonesia dalam satu tunjuk perasaan membantah filem anti Islam itu.

Penunjuk perasaan berkenaan mengoyakkan bendera di bangunan berkenaan di Medan, kata seorang jurucakap kedutaan Belanda, Gonneke De Ridder.

Stesen radio el-Shinto melaporkan penunjuk perasaan juga melontarkan batu ke arah konsulat dan membakar bendera tetapi perkara itu tidak dapat disahkan jurucakap berkenaan.

0 ulasan: