Rabu, 9 April 2008

Gembleng kerjasama laksana perubahan

SEMUA pihak harus meyakini kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin bahawa kerajaan akan melaksanakan perubahan dan pembaharuan seperti dikehendaki rakyat menerusi mandat yang diberi kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Seperti dijelaskan Perdana Menteri, perubahan yang sudah dimulakan seperti ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aspek berkaitan pembasmian rasuah akan diteruskan, selain tuntutan untuk meningkatkan integriti sistem kehakiman serta perundangan. Jika diteliti manifesto BN pada Pilihan Raya Umum 2004, memang agak mustahil untuk melaksanakannya dalam tempoh empat tahun sehingga pilihan raya umum lalu.

Dalam tempoh itu, kerajaan BN tidak seharusnya dilihat sebagai mungkir janji apabila sesuatu rancangan atau projek belum sempat dilaksanakan. Bayangkan untuk empat tahun pertama menyandang jawatan Perdana Menteri, Abdullah dilihat memberi perhatian untuk mengembangkan ekonomi dan meyakinkan pelabur. Terbukti pelan itu berjaya jika diperhatikan daripada segi statistik. Misalnya, tahun lalu Malaysia mencatat lonjakan 54.4 peratus kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

Ini berdasarkan tinjauan akhir tahun Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD). Pada 2006, negara mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak AS$6.1 bilion dan melonjak kepada AS$9.4 bilion tahun lalu. Jelas sekali FDI amat penting dalam menyumbang pembangunan ekonomi negara. Kita masih boleh berbangga ekonomi Malaysia masih kukuh dan stabil.

Laporan Prospek Ekonomi Global yang dikeluarkan Bank Dunia menyebut Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan daripada 5.7 peratus tahun lalu kepada enam peratus pada 2009. Bank Dunia juga turut meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat 0.2 peratus kepada 5.9 peratus tahun ini.

Masalah yang sama dihadapi Tun Dr Mahathir Mohamad pada penggal pertama menjadi Perdana Menteri dulu dan selepas ekonomi berjaya dikembang dan kemasukan FDI, barulah projek dalam negara berjaya dilakukan dengan lancar. Tuah Dr Mahathir ialah kerana beliau memimpin selama 22 tahun dan segala rancangannya boleh dilaksanakan dalam tempoh itu, tetapi Abdullah baru sepenggal dan sudah semestinya apabila memasuki penggal kedua, barulah pembaharuan itu boleh dilakukan dengan lebih baik selepas kedudukan ekonomi lebih mantap.

Kita berharap mimpi buruk dialami BN pada pilihan raya umum baru-baru ini tidak menghambat usaha untuk membawa perubahan seperti dijanjikan Abdullah itu. Kita akui dasar yang diperkenalkan Abdullah termasuk projek pembangunan koridor adalah mantap, tetapi kadang-kala yang menjadi penghalang ialah pelaksanaan pada peringkat bawahan. Kita cadangkan supaya semua pihak termasuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat memberi kerjasama untuk melakukan perubahan itu demi kepentingan rakyat dan pada masa yang sama mengetepikan soal populariti atau kepentingan kepartian.

Semua pihak perlu ikhlas apabila membuat cadangan atau teguran dengan niat untuk memperbetulkan segala kelemahan atau kesilapan. Mungkin ada sesuatu yang tidak menyenangkan rakyat apabila mula beralih angin pada pilihan raya umum baru-baru ini dan ini semua perlu diselidiki. Jika betul pelaksanaan projek tertentu termasuk projek mega tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat, elok diperbetulkan.

Jika benar sistem tender terbuka atau perbincangan terus tidak berkesan, ia perlu dikaji. Andainya berlaku tempang dalam sistem kehakiman, perbetulkan segera. Mungkin perubahan ini boleh mengalihkan persepsi negatif rakyat seperti dilontarkan dalam peti undi 8 Mac lalu.

Sumber Utusan Malaysia


0 ulasan: