Khamis, 10 April 2008

Hentikan projek ternak babi -- Surat 4


SAYA merasa sungguh terperanjat dan terkejut mendengar berita kerajaan baru negeri Selangor telah meluluskan projek ternakan babi yang bernilai RM100 juta di daerah Sepang.

Kita perlu melihat projek ini dari aspek sensitiviti masyarakat setempat, sentimen politik dan alam sekitar.

Walaupun Exco kerajaan Selangor, Teresa Kok menggesa projek ternakan babi ini jangan dijadikan isu sensitif tetapi babi adalah menjadi isu sensitif bagi umat Islam sampai bila-bila.

Perlu dijelaskan sensitifnya babi ini kepada orang Islam bukan hanya sekadar haram dimakan tetapi menyentuh pun adalah haram sama ada menyentuh daging atau bahagian lainnya termasuk najis dan air kumbahan dari babi itu.

Sedar atau tidak, Teresa Kok dan lain-lain Exco kerajaan Selangor termasuk Menteri Besar sendiri, anda semua adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk menjaga sensitiviti semua lapisan masyarakat tidak kira Melayu, Cina, India dan bukannya kamu hanya segelintir masyarakat sahaja.

Tidak usahlah ada di antara anda sebagai Exco kerajaan negeri Selangor untuk menjadi jaguh sesuatu kaum dengan cuba untuk mengorbankan kebajikan dan sensitiviti satu kaum lain. Sedarlah anda berdiri sekarang adalah di atas kuasa pilihan rakyat.

Di manakah keadilan kaum yang anda semua laung-laungkan semasa pilihan raya tempoh hari?

Jangan kerana projek ini akan dibiayai oleh pihak swasta dan tidak membebankan kewangan kerajaan negeri, maka projek ternakan babi ini boleh diluluskan sebegitu senang.

Saya sebagai salah seorang penduduk Sepang yang tinggal berhampiran dengan pantai Bagan Lalang, telah melalui pengalaman pahit semasa ternakan babi Bukit Pelanduk dan Kampung Sawah beroperasi secara besar-besaran dulu.

Air Sungai Sepang Besar tercemar dengan teruk sehingga airnya dan air laut di pantai Bagan Lalang berwarna keperang-perangan sehinggalah ladang itu ditutup kerana wabak penyakit JE.

Sekarang kami merasakan nikmatnya keindahan air sungai yang jernih dan kami tidak merasa ragu-ragu lagi untuk membiarkan anak cucu kami bermain air laut di pantai Bagan Lalang.

Untuk pengetahuan, daerah Sepang kini pesat membangun untuk dijadikan salah satu destinasi pelancongan popular di masa depan dengan projek Gold Coast di pantai Bagan Lalang sedang rancak berjalan.

Soalan saya kepada MB Selangor dan barisan Exco Selangor, adakah barisan Exco kerajaan Selangor mahu memusnahkan nikmat alam yang telah diberikan oleh Tuhan di muka bumi ini?

Saya bukanlah orang politik tetapi kita harus sedar asas-asas prinsip, etika, moral dan lebih-lebih lagi soal hukum seharusnya mesti dijaga untuk menjamin integriti sebagai pemimpin masyarakat.

Kalau ini tidak dijaga, maka tunggulah saat kejatuhan sebagai seorang pemimpin, ingat pilihan rakyat itu adalah pilihan keramat.

PENDUDUK KESAL

Sri Bayu, Sepang.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: