Selasa, 22 April 2008

Kaca Mata: Suntikan buat wakil rakyat BN


Oleh Hishamuddin Aun
Sumber Berita Harian

Perdana Menteri mahu mereka tetapkan semangat sebagai pemenang

TERASA benar kelainannya apabila lebih 500 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dihimpunkan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang Isnin lalu - kali pertama sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 kira-kira lima minggu sebelumnya.

Dalam keadaan biasa, ia seharusnya turut menjadi sambutan kemenangan BN yang sekali lagi mendapat mandat rakyat, tetapi air muka serta butir-butir percakapan mereka jauh daripada memberikan gambaran sedemikian.


Harus sudah lumrah apabila berlangsungnya perhimpunan sebesar itu, akan tertonjol juga individu tertentu yang menjadi tumpuan sebelum ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil tempat di pentas utama.

Di depan sekali, kelihatan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, seakan-akan berbincang serius dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Di ruang berbeza, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, tidak ketinggalan dikerumuni.

Senasib dengannya, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh tidak terkecuali. Harus ramai yang bertanyakan khabar, harus ramai juga yang memberi kata-kata semangat kepadanya.

Malah, baik di kalangan wakil rakyat veteran mahupun yang baru bertatih, ada yang menjadi perhatian selebihnya atas sebab-sebab tersendiri � contohnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang memilih untuk memasuki dewan pada saat-saat akhir sejurus sebelum majlis bermula dan beredar sebelum ia berakhir.

Di sebalik banyak yang sudah diperkatakan orang terhadapnya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, kekal menjadi tarikan. Seolah-olah enggan ditenggelami, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, pula menampilkan dirinya sebagai seorang yang mudah didekati.

Seperti diumumkan Setiausaha Kerja BN, Datuk Yaakob Mohammad, selaku pengacara majlis, perjumpaan dengan Perdana Menteri petang itu dihadiri 140 Ahli Parlimen dan 369 Ahli Dewan Undangan Negeri mewakili BN, selain 55 Ahli Dewan Negara.

Namun, di sebalik berjabat salam dan saling mengucapkan tahniah di atas mandat rakyat yang terpikul di bahu masing-masing kini, masih terasa wujudnya satu kekurangan yang ketara.

Bahawa suasananya tidak menggambarkan perhimpunan satu parti yang baru memenangi pilihan raya, sebaliknya diselubungi kesuraman dan kemurungan umpama baru ditundukkan.

Abdullah sendiri, sejurus mengambil tempat duduknya di pentas utama dengan diapit oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta pemimpin 13 lagi parti komponen BN, tidak pun menampilkan mimik muka yang mampu menceriakan keadaan.

Barangkali kerana majlis itu berlangsung cuma sehari selepas pertemuannya dengan Badan Perhubungan Umno Johor di Johor Bahru yang antara lain mendesaknya memutuskan satu pelan peralihan kuasa di sebalik pernyataan sokongan mereka terhadapnya untuk meneruskan kepemimpinan.

Najib turut banyak bermuram � mungkin gara-gara beberapa jam sebelumnya memimpin rombongan Jawatankuasa Pengurusan Umno berdepan dengan kehangatan pertemuan tertutup dengan Umno Perak di Ipoh.

Kemurungan mereka yang hadir � baik oleh kemerosotan prestasi BN yang gagal meraih majoriti dua pertiga, di samping 'menyerahkan' lima negeri kepada pembangkang mahupun makan tengah hari yang � segera digegarkan Abdullah sepanjang ucapan satu jamnya.

"Ingin saya ingatkan pada saudara-saudari sekalian, terutama pada Ahli Dewan Rakyat yang sudah mencapai kemenangan, bila masuk dalam dewan masuklah dengan keyakinan bahawa kita parti yang menang... yang menguasai Dewan Rakyat.

"Jangan masuk dengan perasaan tiada keyakinan, jangan masuk dengan rasa keraguan, jangan masuk dengan perasaan bahawa saudara tidak mampu nak menghadapi parti pembangkang yang bilangannya jauh lebih banyak daripada dulu.

"Jangan ada sebarang fikiran saudara akan rasa kalah, jangan ada dalam fikiran saudara akan merasai pelbagai masalah, jangan ada dalam fikiran saudara rasa begitu rendah, jangan sekali-sekali saudara ada pandangan negatif.

"Keyakinan diri perlu dibina, kekuatan parti bukan tak ada. Kekuatan parti tetap ada dan atas kekuatan inilah yang kita nak bina lagi sebagai parti kerajaan. Inilah yang perlu difahami," tegas Abdullah yang diberi tepukan gemuruh buat kali pertama, kira-kira lima minit selepas memulakan ucapannya petang itu.

Perdana Menteri meneruskan: "Sekarang parti pembangkang sudah menganggap bahawa mereka adalah 'government in waiting', bukan menganggap diri mereka sebagai pembangkang. Mereka tidak menganggap diri mereka sebagai parti yang kalah dalam pilihan raya, itu tidak terlintas dalam fikiran mereka.

"Adakah kita berfikir sebaliknya dan ia (kita) adalah 'opposition in waiting', tunggu masa untuk jadi parti pembangkang? Jangan ada langsung pemikiran seperti itu.

Banyak sekali Perdana Menteri berpesan pada petang itu terhadap ciri-ciri untuk menjadi wakil rakyat yang baik seperti dituntut pengundi hari ini yang tidak hanya akan memangkah BN berdasarkan lambang dacingnya.

"Rakyat sekarang begitu kritikal pada kita, sebahagian mereka dah lain. Bukan macam dulu, mereka pandang wakil rakyat lain... dulu takut, beri hormat, sekarang tidak.

"YB diharap menjadi 'Yang Bekerja', 'Yang Berkhidmat', YB Yang Berusaha... itu harapan mereka.

"Mengkritik wakil rakyat bukan jadi satu perkara segan atau teragak-agak, tidak lagi. Ini melambangkan orang kurang hormat kepada wakil rakyat, terutama yang menunjuk ciri yang tidak baik. Mereka menentang, mereka tidak segan lagi, timbul rasa kebencian," kata Abdullah.

"Sebagai wakil rakyat, jagalah diri, sombong jangan sekali. Dalam pilihan raya umum (baru-baru ini), ini perkataan yang digunakan... sombong, angkuh, rasuah. Itu yang dicakapkan, kepada parti, secara umum pada semua, kita dicop sombong, angkuh, rasuah.

"Kita mesti jaga diri kita, jangan terpalit, kita mesti jadi orang pertama yang tidak jadi sasaran kecaman rakyat, kerana kita dianggap anggap angkuh, sebagai rasuah, sombong... pastikan kita tidak ada label seperti itu.

"Kita (hendaklah) jaga diri, tinjau kawasan, rendah diri, itu yang sebaik-baiknya. Tunjukkan 'genuine', bahawa anda sayang kepada rakyat, sedia bagi khidmat, membantu, menolong, ini yang kita harap ada pada diri kita semua sebagai wakil rakyat.

"Imej wakil rakyat, imej penyayang, membantu, menolong, pekerja yang rajin, imej yang betul wakil Pak Lah, imej ini perlu dibina, tidak ada orang lain yang membantu bina imej ini.

"Ini ciri yang (perlu) ada pada saudara sekalian. Menuntut sahsiah diri adalah tanggungjawab kita. Cara cakap, hubungan, layanan, menggayakan diri... ini semua penting.

"Saya tahu ada masalah yang timbul antara ahli dewan peringkat negeri dan peringkat Parlimen. Tolong-menolong, ini yang perlu. Kalau tidak ada, (berlaku) perbalahan sesama sendiri, kalau yang ada menggagal sesama sendiri, maka akibatnya kita akan hadapi kekalahan."

Mesej terpenting yang ingin diterjah oleh Perdana Menteri ke benak setiap seorang yang hadir pada petang itu dan turut dicerminkan oleh tindakannya sesudah majlis berkenaan ialah bagaimana seorang yang sudah diangkat sebagai pemenang, harus melaksanakan tanggungjawabnya seperti diamanahkan.

Abdullah menyerlahkan kesungguhannya untuk terus berjuang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk daripada dalam parti pimpinannya sendiri yang masih tidak sunyi daripada desakan untuknya berundur.

Tidak mungkin tekanan terhadap wakil rakyat BN seluruhnya melebihi daripada apa yang dialami Perdana Menteri untuk mengotakan segala janji yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lalu.

Pilihannya adalah di tangan mereka � sama ada untuk mencontohi Perdana Menteri atau sepatutnya menuding jari kepada diri sendiri tanpa mereka boleh selama-lamanya tercari-cari orang lain untuk dipersalahkan.

Atau mereka sekadar merelakan diri untuk menjadi pembangkang kesudahannya nanti.

0 ulasan: