MINGGU lalu saya mengunjungi sebuah pasar raya terkemuka di Kuala Lumpur untuk membeli barang keperluan harian. Sudah menjadi kebiasaan jika berkunjung pada hari minggu, pengunjung terpaksa beratur panjang bagi membayar di kaunter.
Ketika beratur, saya terkejut apabila terdengar perbualan sepasang suami isteri dalam lingkungan 40-an yang penuh dengan keanehan. Seorang isteri membahasakan diri ‘aku' adalah perkara yang boleh diterima di dalam kehidupan masyarakat walaupun nampak kurang manis.
Tetapi apa memeranjatkan saya pada ketika itu ialah kalimah yang digunakan itu disertakan juga dengan nada agak tinggi apabila si isteri itu bercakap dengan suaminya sendiri.
‘Ko dah kahwin dengan aku, ko tanggunglah satu badan aku.’ Inilah antara ayat diucapkan isteri terhadap suaminya sehingga boleh didengari oleh saya serta orang yang beratur di sebelah barisan saya.
Saya hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum apabila orang yang beratur di sebelah barisan saya melihat saya, malah saya juga sempat dihadiahkan senyuman oleh seorang remaja yang baru selesai membayar dan kebetulan berada di hadapan pasangan berkenaan.
Berdasarkan keadaan itu, tidak wajar bagi seorang isteri meninggikan suara terhadap suaminya sendiri tambahan pula di khalayak ramai yang jelas menjatuhkan maruah suami.
Bagi saya, kelakuan isteri itu seolah-olah mukadimah awal terhadap berlakunya bibit pertelingkahan pasangan itu dan mungkin akan mengakibatkan kesan yang lebih besar seperti perceraian.
Dalam syariat Islam, pertelingkahan antara suami dan isteri diistilahkan sebagai ‘syiqaq’ yang boleh mengakibatkan ‘dharar’ iaitu kecederaan kepada pasangan, sama ada isteri atau suami dan tingkat yang terakhir sekali ialah perceraian.
Berdasarkan rekod unit kaunseling Islam, kebanyakan masalah berkaitan rumah tangga berpunca daripada masalah kewangan, tidak bersefahaman sesama pasangan, mempunyai personaliti berbeza dan kurang pendidikan.
Kewujudan masalah ini jika tidak diselesaikan secara baik mungkin akan menyebabkan pasangan terdedah kepada risiko lebih serius seperti saling mencerca atau hingga membabitkan penderaan fizikal yang disifatkan sebagai kes keganasan rumah tangga.
Bagi melahirkan individu yang mempunyai modal insan terbaik, institusi kekeluargaan perlu mantap agar objektif untuk membentuk sebuah keluarga harmoni dapat dicapai, sekali gus menjadikan masyarakat Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang.
Anak membesar dalam keluarga aman dan damai tanpa sebarang konflik akan membentuk jiwa mereka lebih bersih yang mampu mengorak langkah yang baik dan maju.
Anak yang berjiwa hebat dan mempunyai modal insan yang baik sangat penting terhadap pembangunan negara kerana mereka yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara serta memacu negara agar lebih maju dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
ALFIRDAUS MUHAMAD,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.
0 ulasan:
Catat Ulasan