Sabtu, 19 April 2008

Sultan Selangor gesa umat Islam Selangor bersatu selepas pilihan raya

KUALA LUMPUR 18 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa umat Islam di Selangor supaya bersatu semula selepas berbeza pendapat dan pendirian semasa pilihan raya umum lepas.

“Negara kita baru melalui pilihan raya dalam keadaan aman dan damai. Pemimpin yang baru telah dipilih untuk mentadbir negeri Selangor.

“Oleh itu umat Islam di negeri ini hendaklah melupakan segala perbezaan ideologi dan pegangan politik yang telah lalu, tetapi hendaklah sama-sama bersatu semula untuk kemajuan agama, bangsa dan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda semasa merasmikan Masjid Bukit Indah di Ampang dekat sini hari ini.

Baginda bertitah amat penting bagi umat Islam menjauhi perpecahan yang disebabkan perbezaan pendapat kerana ia hanya akan merugikan bangsa dan agama. - Bernama

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: