Khamis, 10 April 2008

Birokrasi, politik jejas industri pelancongan

SYABAS kepada Menteri Pelancongan baru, Datuk Seri Azalina Othman Said yang proaktif menyemak semula mutu perkhidmatan semua agensi yang terbabit dalam pelancongan bagi memastikan industri penjana ekonomi itu dapat terus memberi manfaat kepada rakyat.

Pada 26 Mac lalu, Azalina menamatkan khidmat semua Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri (Exco Pelancongan) sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) yang menyandang jawatan itu secara hakiki sejak 2002, manakala 31 Mac lalu, beliau mengarahkan semua agensi dan persatuan terbabit dalam pelancongan supaya mengemukakan laporan rasmi permasalahan masing-masing.

Dua tindakan itu dilihat sebagai langkah permulaan yang amat baik bagi menambah baik sektor pelancongan, khususnya pada peringkat negeri. Sebagai pengusaha pelancongan di Pahang, saya menyokong penuh usaha awal Azalina itu supaya ia akan turut membawa revolusi besar kepada sektor pelancongan Pahang yang lebih bersifat 'indah khabar daripada rupa'.


Keadaan itu wujud akibat birokrasi keterlaluan menyebabkan sektor pelancongan Pahang hanya indah pada luaran tetapi hakikatnya membimbangkan kerana terlalu didominasi Jawatankuasa Pelancongan negeri. Hasilnya, wajah sebenar industri pelancongan hanya dicorakkan dengan pelbagai kisah menarik Exco Pelancongan negeri berhubung peruntukan mega untuk pembangunan prasarana dan sebagainya.

Sebaliknya, permasalahan, keluhan atau idea daripada 'pemain' lain dalam sektor pelancongan sering diveto secara terancang melalui bidang kuasa Jawatankuasa Pelancongan.

Justeru, keputusan Azalina mengarahkan semua pihak mengemukakan terus segala aduan kepada beliau, memang suatu usaha demokratik bagi memulihkan kembali pelancongan pada semua peringkat. Saya juga bersetuju dengan kenyataan Azalina bahawa pelancong yang datang ke negara ini tidak datang kembali untuk kali kedua kerana mutu perkhidmatan pelancongan yang buruk di negara ini.

Keadaan itu sudah lama bernanah di Pahang dan sampai ke tahap ramai pengusaha pelancongan Bumiputera terpaksa gulung tikar akibat kelembapan pelaksanaan strategi pelancongan secara telus. Bidang kuasa terlalu mutlak diletakkan kepada Exco Pelancongan menyebabkan peranan agensi yang sepatutnya menggerakkan pelancongan Pahang, hanya sekadar berperanan sebagai pemerhati, bukan pemangkin.

Pengusaha pelancongan yang sepatutnya mendapat naungan agensi berkenaan, tidak berminat lagi untuk berurusan kerana birokrasi politik keterlaluan menyebabkan mereka membawa diri. Diharap kerajaan Pahang turut melaksana reformasi dan revolusi dalam Jawatankuasa Pelancongan Negeri seperti dilaksana Kementerian Pelancongan. Jangan memandang rendah kepada sektor pelancong kerana ia penjana ekonomi kedua terpenting negara dan sewajarnya kek ekonomi itu patut dikongsi secara adil dengan semua rakyat dan bukan dimonopoli melalui kuota tertentu saja.

TAUKE HOTEL BAJET,
Pulau Tioman, Pahang.
Sumber Berita Harian

0 ulasan: