Khamis, 10 April 2008

Hentikan projek ternak babi -- Surat 1


PILIHAN raya umum 2008 baru saja berlalu tetapi kerajaan negeri Selangor yang baru mendapat mandat daripada rakyat telah melakukan kesilapan besar dengan meluluskan projek ternakan babi menelan kos RM100 juta.

Selain melibatkan peruntukan besar, keputusan mengejutkan itu menunjukkan bahawa kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak sensitif langsung dalam menjaga perasaan penduduk beragama Islam dan seolah-olah mengkhianati undi Melayu kepada mereka pada pilihan raya lalu.

Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan anggota Exco negeri itu yang beragama Islam sepatutnya tahu bahawa segala berkaitan dengan babi adalah haram di segi agama.

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh Exco dari DAP, Teresa Kok untuk memastikan projek itu diluluskan, Khalid perlu bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan Exco-Exco bukan Islam termasuk dari PKR sendiri.

Malangnya, bukan saja Khalid, semua Exco dari Pas turut bersetuju dengan projek ternakan babi itu.

Tahukah kalian bahawa banyak negara yang majoriti penduduknya keturunan Cina termasuk di Taiwan, Hong Kong dan Singapura telah lama menghentikan ternakan babi kerana ia membawa pencemaran teruk kepada sungai-sungai dan sumber air minuman.

Untuk memenuhi permintaan penduduk kepada daging babi, negara-negara itu mengimportnya dari negara lain sepertimana Singapura mengimport daging babi dari negara kita.

Sepatutnya Malaysia sebagai negara Islam perlu mengharamkan terus ternakan babi kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sungai-sungai di Negeri Sembilan misalnya pernah menghadapi pencemaran amat teruk pada tahun 1990-an akibat dari industri ternakan babi di Bukit Pelanduk.

Percaya atau tidak, air sungainya menjadi hitam pekat disebabkan air sisa dari berpuluh-puluh kandang babi ketika itu disalurkan ke sungai berkenaan.

Jika kita berkelah di sekitar Port Dickson dan Sepang ketika itu, kesan sisa-sisa najis babi berwarna hitam amat jelas kelihatan di sesetengah pantainya.

Di sini, saya ingin bertanya kepada MB dan Exco-Exco beragama Islam yang memimpin Selangor sekarang, sanggupkah anda membiarkan air sisa babi mengalir masuk ke sungai-sungai yang menjadi sumber minuman umat Islam.

Walaupun Teresa memberitahu bahawa projek itu menggunakan teknik moden, tetapi sanggupkah kita semua meminum air dan menggunakan sumber air untuk menyucikan diri dan anak-anak, ambil air wuduk dan sebagainya.

Pemimpin macam Teresa peduli apa kerana agamanya tidak mengharamkan babi. Tetapi jika beliau beragama Islam, saya rasa Teresa sendiri akan melenting marah dengan projek tersebut.

Seperkara lagi, kerajaan campuran negeri Selangor itu perlu ingat bahawa orang Melayu memangkah anda, bukan untuk berbuat sesuka hati sehingga projek babi diutamakan.

Ingat rakyat mempunyai kuasa undi dan jika projek ternakan babi itu tidak dibatalkan segera atau projek babi lain dibuat senyap-senyap, saya percaya kerajaan campuran ini tidak akan bertahan lama.

TERSALAH PANGKAH

Salak Tinggi, Selangor.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: