BERSATU itu padu dan satu itu bersatu. Melihat konflik di Asia Barat seperti di Palestin, Iraq dan beberapa negara Islam lain, sudah jelas menjadi pengajaran besar kepada kita bahawa perpaduan dan persepakatan adalah tunjang utama keamanan dan keharmonian sesebuah negara.
Betapa perlunya rakyat bersatu dan taat setia kepada pemimpin dan negara. Jangan berpecah-belah kerana ia memberi ruang kepada anasir jahat untuk menyelinap masuk dan merosakkan struktur perpaduan dan keamanan negara.
Merujuk kepada konflik di Iraq misalnya, perpecahan etnik Sunni, Syiah dan Kurdish menambahkan lagi kekacauan dan ketidakstabilan politik dalam negara terbabit. Di Pakistan pula, perpecahan parti politik yang membawa kepada perpecahan kumpulan dan komposisi etnik seterusnya menjadi mesej dan pengajaran yang cukup jelas bahawa perpaduan dan persepakatan itu sangat penting.
Saya bukan menolak idea demokrasi jika mengatakan hanya satu parti atau persatuan yang mewakili perlu dijadikan perantara untuk menjadi pembela kepada masa depan dan keamanan negara.
Merujuk kepada penyataan ini, biarlah Umno terus dan tetap berdiri membela rakyat.
Kita sedar Umno sekarang sudah tergelincir daripada motif penubuhannya dulu. Apa yang penting, kita harus terus dan tetap menyokong agar perubahan dilakukan kepemimpinan Umno sekarang. Jangan cepat melatah dan membuat keputusan melulu apatah lagi sengaja merosakkannya.
Orang Melayu yang menubuhkan Umno, orang Melayu jugalah yang merosakkan parti itu. Ia sangat menyayat hati. Justeru, kebanyakan pemimpin cawangan dan bahagian Umno cuba untuk lepas tangan sambil menuding jari ke arah pimpinan teratas yang wajar dipersalahkan.
Desas-desus yang mendesak kepemimpinan Pak Lah patut ditukar tidak relevan sama sekali. Umno seharusnya membuat penstrukturan semula bukan hanya pada peringkat atasan, malah harus melalui reformasi daripada akar umbi. Ini adalah tanggungjawab Pak Lah untuk membuat penstrukturan semula dan yang berdiri atas nama wakil rakyat tetapi tidak menjalankan tanggungjawab, harus disingkirkan untuk kepentingan sejagat.
Umno tidak salah motif penubuhannya untuk mewakili orang Melayu. Pimpinan pada peringkat Umno yang terpesong daripada hakikat perjuangan sebenar, dan tidak wajar kita menolak usaha Umno.
Umno yang adil, bersih dan jujur merintis keamanan dan perpaduan negara. Berjuanglah untuk rakyat.
ANDIKA WAHAB,
Universiti Malaya.
Sumber Utusan Malaysia
0 ulasan:
Catat Ulasan