KETIKA membaca laporan muka surat hadapan Utusan Malaysia, saya melihat bagaikan ada satu sinar terang yang selama ini kian pudar.
Kesudian Pas dan PKR untuk bermuafakat bersama-sama UMNO demi kepentingan orang Melayu membuatkan saya sebak. Sebak kerana apa yang saya impikan ini kian menjadi kenyataan. Sebak kerana saat saya mula mengenangkan nasib orang Melayu generasi saya dan seterusnya, harapan untuk melihat orang Melayu kembali bersatu tanpa mengira ideologi politik kembali berputik.
Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu telah membawa perubahan yang cukup besar kepada senario politik di negara kita ini. Tsunami yang telah berlaku ini bagaikan satu malapetaka kepada politik negara ini terutamanya kepada orang Melayu.
Ini kerana UMNO yang selama ini diagung-agungkan sebagai parti orang Melayu kini kian terhakis pengaruhnya.
Sebab dan punca kepada prestasi UMNO telah pun dikenal pasti dan terpulang kepada pucuk pimpinan dan juga akar umbi UMNO untuk memperbetulkannya.
Namun apa yang saya ingin sentuh ialah tentang penyatuan orang Melayu. Saya merasakan 'taufan' yang melanda politik negara membawa seribu rahmat.
Kita dapat melihat siapakah yang berhak menjadi pemimpin dan siapakah yang menjadi petualang untuk menghancurkan perpaduan di negara ini.
"Saya merasa sedih apabila membaca laporan berita mengenai nasib saudara seketurunan saya di Pulau Pinang. Apakah mereka akan terus merempat di tanah tumpah darah mereka sendiri akikbat kerakusan pucuk pemerintahan negeri itu?
Saat ini merupakan saat yang sesuai untuk orang Melayu kembali bersatu dan bermuafakat untuk terus survive dalam politik di negara ini.
Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi untuk menyedarkan kita bersama, kalau bukan sekarang untuk kita berubah dan sedar, bilakah lagi untuk kita sedar? Kita sudah kehilangan kuasa ekonomi dan kini secara perlahan kita semakin hilang kuasa politik. Jadi apakah yang tinggal buat anak cucu kita pada masa akan datang?
Janganlah sampai mereka menyumpah kita, datuk nenek mereka sendiri di atas sikap kita sekarang ini yang leka tanpa mahu mempertahankan kepentingan kita.
Kesedaran tentang perlunya permuafakatan ini seharusnya perlu dipupuk sejak dahulu lagi. Hanya dengan cara inilah akan menunjukkan bahawa orang Melayu masih lagi kuat. Kuat bukan untuk menentang mana-mana bangsa tetapi kuat untuk terus menjadi tunjang kepada pemerintahan negara ini.
Saya menyokong titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra mengenai penyatuan orang Melayu. Titah baginda itu seharusnya diterima oleh semua orang Melayu dengan hati terbuka kerana itulah hakikatnya sekarang.
Tidak seharusnya timbul pertikaian di atas titah baginda itu khususnya daripada kalangan bukan Melayu yang tidak memahami nasib orang Melayu ketika ini. Apa yang disuarakan oleh baginda adalah untuk kesedaran orang Melayu.
Pada masa sekarang ini kita tidak seharusnya leka dengan nikmat kemajuan dan pembangunan yang ada. Kita seharusnya sedar nikmat dan pembangunan yang kita nikmati sekarang ini akan terhapus suatu hari nanti seandainya dari sekarang kita tidak mampu untuk mempertahankannya.
Jangan sampai suatu hari nanti, anak cucu kita hanya mampu untuk melihat kemajuan negara ini tanpa dapat dinikmati bersama setelah hilangnya hak-hak kita sebagai orang Melayu.
Adalah tidak mustahil semua ini akan berlaku seandainya kita tidak bersatu untuk berbincang mengenai kepentingan bangsa kita. Biarlah perbezaan ideologi politik itu hangat di Dewan Rakyat bagi membela nasib rakyat yang diwakili namun bagi membela nasib bangsa Melayu haruslah ia disuarakan secara bersama.
SHAHIR SALLEH
Sungai Petani.
0 ulasan:
Catat Ulasan