Oleh Masmawi Abdullah
Sumber Berita Harian
BENARKAH jahiliah masih membelenggu pemikiran dan pengamalan umat Islam masa kini dan apakah kita faham dengan jelas pengertian jahiliah dalam erti kata sebenarnya. Sesungguhnya jahiliah penting untuk difahami kerana ia adalah musuh Islam sepanjang zaman.
Saidina Umar al Khattab pernah menjelaskan, "Sesungguhnya ikatan Islam yang kukuh akan terungkai satu demi satu apabila di kalangan umat Islam tidak mengenal apa itu jahiliah."
Dari segi bahasa, jahiliah bererti bodoh, sesat, biadab, dungu, tidak mengetahui, tidak berilmu, keliru atau melakukan sesuatu tanpa pengertian dan pengetahuan. Aspek tanggapan umum pula menganggap jahiliah sebagai keadaan yang berlaku dalam tempoh tertentu, iaitu masa silam atau keadaan sebelum kedatangan Islam dikenali sebagai zaman pra-Islam.
Ia biasanya ditujukan kepada masyarakat Arab di Semenanjung Arab sebelum Rasulullah SAW diutuskan. Umumnya membatasi pengertian jahiliah pada gejala berupa syirik atau tanpa agama, primitif, semangat sentiasa ingin membalas dendam dan krisis keruntuhan akhlak melanda masyarakat Arab ketika itu.
Ringkasnya masyarakat umum berpendapat jahiliah hanya ada pada kurun tertentu daripada perspektif sejarah di bumi Arab dan tidak akan kembali sampai bila-bila masa.
Menurut pendapat Muhammad al-Qutb dalam bukunya Jahiliah Abad Ke 20 menggambarkan konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, tetapi jahiliah disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup cukup sempurna.
Sayyid Qutb pula dalam bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan menyebut, "Masyarakat jahiliah ialah masyarakat yang tidak tulip pengabdiannya kepada Allah. Ia bermaksud pengabdian yang menjelma dalam kepercayaan dan keyakinan dalam syiar, lambang, peribadatan dan dalam peraturan serta undang-undang."
Dalam usaha memperjelaskan aspek dan pengertian jahiliah, al-Quran menggambarkan beberapa ciri dan sifat jahiliah itu.
Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah dan kenangkan ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam diri mereka (terhadap kebenaran Islam) perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu)." (Surah al-Fath, ayat 26)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum jahiliah? Padahal kepada orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (Surah al-Maaidah, ayat 50)
Ada beberapa ciri jelas untuk mengkategorikan beberapa golongan yang masih 'jahiliah' antaranya:
Alim ulama menyatakan, golongan ini terdiri daripada orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka sentiasa menyekutukan Allah dan seterusnya tidak melaksanakan syariat Islam. Keadaan itu seterusnya melahirkan manusia syirik, kufur, serta orang yang tidak mempunyai pegangan (atheis).
Orang yang hidup berdasarkan hawa nafsu yang membawa keburukan tanpa kawalan. Golongan itu tidak mempunyai ciri keperibadian Muslim dalam kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi dan Allah memberi peringatan tepat bagi golongan ini.
Jika manusia mengikut kehendak nafsu akan menyebabkan mereka terdorong dan melakukan perkara keji. Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan akal fikiran semata-mata dan tidak berteraskan kebenaran, sekali gus menjadikan manusia semakin jauh daripada hidayah Allah.
Golongan ini sentiasa berusaha memusnah kesucian agama Islam menerusi pelbagai cara sama ada secara fizikal, mental atau spiritual. Musuh Islam sentiasa berusaha menjatuhkan kekuatan umat Islam secara bersepadu.
Jika umat Islam tidak mempunyai kekuatan dalaman khususnya aspek keimanan dan keyakinan kepada Allah, sudah tentu umat Islam terjerumus ke arah kebinasaan dan Islam musnah. Oleh itu, orang Islam yang tidak menyedari diri mereka dipergunakan menjadi faktor kemusnahan Islam.
Memang tidak disangkal gejala keruntuhan akhlak dan moral adalah ciri orang jahiliah. Beberapa keadaan yang berlaku di sekeliling kita sedikit sebanyak memberi `tempias' terhadap perkara itu dan menjadi bukti kualiti masyarakat kian merosot.
Al-Maududi pernah menyarankan masalah utama yang perlu diselesaikan ialah kedudukan dan status manusia di alam ini. Lantaran, penghapusan jahiliah di kalangan manusia daripada aspek pemikiran, pengalaman dan daya tindak adalah perlu.
0 ulasan:
Catat Ulasan