BIARPUN Pilihan Raya Umum Ke-12 sudah berlalu, namun ada luka yang terpalit dengan rasa ngilu yang bakal kekal lama.
Paling terluka apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi kekuatan kepada integriti dan maruah orang Melayu, dihenyak dengan tohmahan dan tuduhan tidak berasas seperti dipenuhi dengan najis rasuah dan diragut oleh tangan-tangan kronisme.
Persoalannya apakah perlaksanaan DEB di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini dengan sengaja mencicirkan bantuan kepada kaum selain Melayu terutamanya Cina dan India?
Melihat kepada hinanya DEB dipermainkan dengan tuduhan tidak berasas sesetengah pihak ketika ini, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, sesuatu perlu dilakukan terutamanya oleh UMNO dan BN dalam membersihkan semula perjuangan suci DEB yang diperkenalkan sejak zaman Tun Abdul Razak.
Menurut Abdul Rahim, apa yang ditekankan dalam pelaksanaan DEB adalah untuk membanteras kemiskinan yang melata di kalangan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum.
Kebetulan pada ketika DEB digerakkan, orang Melayu merupakan golongan paling ramai dalam kelompok termiskin berbanding bukan bumiputera yang lebih kukuh taraf sosioekonominya.
Kerana itu, golongan sasar dalam mengurangkan kemiskinan di bawah DEB lebih banyak menjurus kepada kaum Melayu dan hakikat itu diperkukuhkan lagi dengan kedudukan penting orang Melayu yang ber- komposisi kira-kira 67 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.
“Tapi itu tidak bermakna kaum India yang berjumlah tujuh peratus dan Cina seramai 25 peratus tidak mendapat pembelaan sewajarnya malah kerajaan turut menyalurkan bantuan sewajarnya kepada golongan-golongan ini sehingga mereka meraih kenikmatan yang sangat baik seperti hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, apa yang berlaku ketika ini seperti yang diapi-apikan oleh pembangkang seolah-olah kaum Cina dan India terutamanya dipinggirkan daripada DEB sehingga mereka bangkit menyuarakan penentangan.
Apa yang dicadangkan oleh pembangkang dalam menggantikan DEB seperti Agenda Ekonomi Malaysia misalnya, tidak boleh lari daripada prinsip membanteras kemiskinan rakyat keseluruhannya.
Ia juga perlu berlandaskan penyusunan semula masyarakat bahawa kekayaan negara ini mesti diagihkan secara adil dan saksama.
Tambah Abdul Rahim, tidak ada cacat celanya DEB yang jelas berpaksikan kepada perjuangan membanteras kemiskinan dan mengagih-agihkan kemakmuran negara di kalangan pelbagai kaum secara adil dan saksama.
Apa yang mungkin ada adalah mereka yang diberi kuasa menguruskan pelaksanaan DEB yang sebaliknya menodai amanah bangsa dan negara untuk kepentingan diri sendiri.
Apabila gejala rasuah dan kronisme ini sampai ke tangan pembangkang, ceritanya ditambah menjadi lebih sadis sehingga membangkitkan kebencian rakyat bahawa DEB itu yang rasuah dan kronisme.
Terpanggil untuk mempertahankan DEB dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap perjuangannya dalam merubah nasib bangsa Malaysia, Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mengambil inisiatif mengadakan satu muzakarah pada 14 April ini.
Muzakarah yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada badan ekonomi dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Menurut Abdul Rahim, muzakarah itu antara lain akan membincangkan cadangan dan pendekatan baru untuk mengembalikan semula pelaksanaan DEB pada landasan yang sewajarnya dan menghidupkan reformasi yang boleh memulihkan keyakinan rakyat terhadap DEB.
Objektif lain muzakarah itu termasuk:
* Mengenal pasti tindakan yang lebih berkesan dalam suasana politik semasa yang mana BN dan UMNO semakin kehilangan kuasa, tetapi relatifnya orang Melayu masih lagi miskin dan terkebelakang.
* Mengenal pasti projek impak besar yang mampu melonjakkan ekonomi negara serta mencari kaedah bagi menyelaraskan semua perkara berkaitan pembangunan ekonomi orang Melayu.
* Mengatur strategi dan menetapkan cara pendekatan yang sesuai dan mengambil langkah dalam keadaan politik orang Me- layu yang sedang cacat dan parah ketika ini.
* Memutuskan untuk mewujudkan satu sistem pemantauan yang berpusat di Gabem bagi mengawal pelaksanaan prestasi jabatan-jabatan berkaitan dalam memperkasakan ekonomi bangsa.
* Memutuskan supaya Gabem menjalankan program-program menambah nilai keusahawanan Melayu dengan lebih baik dan menyeluruh secara menyuntik semangat dan nilai keusahawanan Melayu dengan lebih baik dan menyeluruh dan penuh patriotisme.
* Membanteras kemiskinan, menjauhi amalan ali baba dan negara serta tidak melakukan pecah amanah dan rasuah.
Apa yang diharapkan dengan usaha Gabem ini, masyarakat ekonomi Melayu dapat menilai semula di mana kedudukan dan hala tuju ekonomi Melayu serta menilai kembali peranan DEB dalam konteks pembangunan ekonomi bangsa yang sebenar.
Suara-suara jahat dan fitnah pembangkang terhadap DEB perlu dipatahkan dan orang Melayu perlu bersatu padu serta kembali ke pangkal jalan bagi meneruskan perjuangan yang telah ditetapkan oleh DEB.
UMNO dan BN memerlukan satu pendekatan baru untuk memperbaharui keyakinan terhadap dasar DEB ini apatah lagi dalam keadaan parti dan kerajaan yang agak lemah serta diasak oleh pembangkang.
Orang Melayu tidak boleh secara berterusan dikelirukan oleh pembangkang seolah-olah mereka sangat kaya dan tidak lagi memerlukan DEB tanpa mengetahui fakta-fakta sebenar mengenai kedudukan ekonomi mereka.
Usaha-usaha yang menyatakan bahawa bangsa Melayu tidak lagi memerlukan satu pendekatan khusus kepada kedudukan yang sangat daif ini membayangkan seolah-olah mereka perlu dilayan seperti bangsa yang menguasai ekonomi dengan baik.
Hakikatnya, lihatlah di mana sebenarnya kedudukan kita dalam pengagihan kekayaan ekonomi negara dan pendedahan ini biarpun sangat pahit untuk diterima oleh orang Melayu, namun apa lagi upaya yang tinggal untuk menyedarkan sesama kita?
0 ulasan:
Catat Ulasan