Isnin, 7 April 2008

Dasar afirmatif selaras keadilan Islam


SEMENJAK berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, semakin ramai ahli politik yang mula menyuarakan pandangan untuk memansuhkan dasar-dasar kerajaan bersifat afirmatif terutamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Gambaran yang sering dicorakkan seolah-olah DEB merupakan satu dasar zalim yang menafikan hak kesamarataan setiap warga Malaysia dari pelbagai kaum.

Ternyata dasar afirmatif seperti DEB merupakan satu dasar yang memberi sedikit keistimewaan kepada kaum peribumi dengan menyediakan peluang dan ruang kepada mereka untuk menyertai sektor ekonomi secara lebih efektif. Namun, DEB tidak sesekali menyampingkan kaum-kaum lain untuk turut terlibat aktif dan berkongsi kekayaan ekonomi negara.

Matlamat DEB hanyalah untuk mengurangkan jurang ekonomi di kalangan masyarakat terutamanya di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Hakikat yang harus kita sedari, kesan peninggalan penjajah British yang menggunakan dasar pecah dan perintah dalam sistem pentadbirannya telah mengakibatkan status sosial dan ekonomi masyarakat daripada pelbagai kaum menjadi tidak seimbang.

Status

Jurang ekonomi dan status sosial yang begitu melebar di antara masyarakat peribumi berbanding kaum pendatang yang dibawa masuk oleh Inggeris adalah manifestasi sikap penjajah yang berusaha merenggangkan hubungan, merungkai persefahaman dan memecah perpaduan antara kaum.

Sebab itulah selepas merdeka, walaupun pembentukan persefahaman melalui apa yang dinamakan kontrak sosial yang menjamin beberapa hak dan keistimewaan bumiputera dan bukan bumiputera termeterai, isu perpaduan masih menjadi topik yang belum benar-benar mampu dijiwai secara tuntas. Malah pintu prejudis dan perasaan tidak puas hati sering menjadi faktor pencetus kerenggangan hubungan antara kaum.

Peristiwa 13 Mei 1969 umpamanya, telah melakar titik hitam dalam lipatan sejarah negara apabila perasaan tidak puas hati dan prejudis sesama rakyat dimanifestasikan dalam bentuk pergaduhan berdarah sehingga negara terpaksa diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Parlimen digantung buat beberapa ketika.

Selepas diselidiki, penyebab utama tercetusnya tragedi ini ialah perasaan prejudis dan tidak puas hati yang membuak-buak di antara kaum lantaran ketidakseimbangan yang ketara dalam ekonomi dan status sosial. Sebab itulah munculnya Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi tindakan afirmatif kerajaan bagi menzahirkan perpaduan negara yang sejati.

Dari perspektif Islam, dasar-dasar afirmatif seperti ini merupakan sebahagian daripada tuntutan siyasah syariyyah yang memberikan keluasan kepada pimpinan untuk menggunakan kebijaksanaan dalam mentadbir urusan rakyat secara berkesan. Yang penting prinsip keadilan harus sentiasa dijunjung manakala keamanan dan kestabilan hendaklah dipertahankan.

Jika dikaji sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menggunakan dasar afirmatif iaitu memberikan keistimewaan kepada golongan kurang bernasib baik bagi mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta fai’ yang dirampas daripada kaum Yahudi Bani Nadhir.

Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dengan membahagikan harta tersebut kepada kaum Muhajirin dan bukan kepada kaum Ansar kecuali kepada dua orang di antara mereka yang miskin iaitu Sahal ibn Hanif dan Abu Dajanah. Selaku ketua negara, baginda membuat percaturan sebegitu demi menegakkan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat Madinah.

Rampasan

Nabi s.a.w. telah menjadikan harta rampasan (fai’) tersebut sebagai satu peluang untuk bertindak secara afirmatif bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum Muhajirin dan merapatkan jurang perbezaan antara mereka dengan saudara-saudara mereka dari kalangan Ansar. Tujuannya bagi memastikan keadilan dan kestabilan mampu dikecap dalam suasana Madinah yang dilatari dengan struktur masyarakat dari pelbagai kaum dan kabilah.

Peristiwa ini kemudiannya dinukilkan Allah dalam al-Quran: Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk bandar maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja (Al-Hashr:7).

Demikianlah, dasar afirmatif yang pada hakikatnya memenuhi aspirasi keadilan dalam Islam. Apa yang pasti prinsip keadilan bukanlah bermakna semua orang harus diperlakukan sama-rata. Sebaliknya kezaliman pula yang akan menjelma apabila rakyat yang berlainan taraf sosial dan ekonomi diperlakukan secara sama.

Sebab itulah keadilan yang hakiki wajar mengambil kira pelbagai faktor termasuk latar situasi dan realiti setiap orang sebelum melaksanakan sesuatu tindakan demi menjamin kelangsungan kebaikan dan kesejahteraan. Walau bagaimanapun penilaian dan proses pembaikan harus sentiasa dilakukan agar setiap dasar yang dilaksanakan tidak pula disalahgunakan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

1 ulasan:

riduan berkata...

Salam,

Saya ingin mengulas berkenaan artikel yang ditulis oleh Dr. Asyraf ini. Saya sangat bersetuju bahawa dasar afirmatif seperti DEB adalah selaras dengan keadilan Islam, tetapi yang menjadi persoalan dan masalah utama di dalam negara kita adalah perlaksanaan dasar DEB tersebut yang zalim dan menzalimi oleh pelaksananya iaitu pihak kerajaan BN. Saya memberi contoh paling mudah di Kelantan di mana rakan-rakan saya yang miskin, berbangsa Melayu tetapi dinafikan hak mendapat bantuan daripada kerajaan persekutuan menggunakan wang rakyat yang disalurkan melalui agensi persekutuan di sana kerana alasan dan tuduhan mereka adalah penyokong PAS. Saya ingin bertanya, adakah adil di sisi Islam perbuatan yang dilakukan oleh pihak kerajaan di sini?