DALAM politik semua kemungkinan boleh terjadi. Pemimpin hebat boleh kalah melalui suara rakyat dan pemimpin pernah digeruni boleh tersungkur kerana politik. Lantaran, pemimpin perlu matang dalam menghadapi kemungkinan dalam berpolitik.
Pemimpin juga perlu menghadapi kritikan rakyat termasuk secara terbuka. Mereka perlu mengaku kesilapan dengan sifat rendah diri luhur dan perlu menerima hakikat apa yang berlaku.
Kematangan sistem berpolitik amat penting dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan, seperti negara kita.
Kestabilan negara lahir daripada sistem ini yang dipupuk perkembangannya dan dipelihara. Kestabilan negara membolehkan rakyatnya menikmati keamanan dan kemajuan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.
Rakyat berhak memilih wakil mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan hasrat rakyat berlandaskan semangat dan peruntukan dalam Perlembagaan negara melalui pilihan raya.
Cabaran dihadapi ahli politik memerlukan kematangan berpolitik, contohnya, kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu berakhir apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakukan keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu melantik Datuk Ahmad Said memegang jawatan berkenaan, adalah satu contoh kematangan berpolitik Umno.
Keputusan pilihan raya umum ke-12 juga membuktikan betapa perlunya ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) bersifat matang dalam berpolitik. Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas kegagalan BN. Pemimpin seperti Tan Sri Koh Tsu Koon dan Datuk Seri S Samy Vellu menunjukkan sifat matang apabila dapat menerima kekalahan dengan tenang.
Begitu juga dengan pemimpin Umno walaupun diserang hebat sekali, mengakui kesilapan dan menunjukkan kematangan politik apabila secara terbuka mengaku banyak kelemahan perlu diatasi.
Pendek kata, pemimpin BN mengakui pilihan raya ini adalah pengajaran yang menuntut semua pihak termasuk kepemimpinan negara bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN.
Persoalannya, apabila pemimpin menunjukkan kesediaan untuk mengubah diri, bagaimana pula dengan rakyat. Rakyat banyak memprotes BN atas pelbagai sebab. Bolehkah rakyat juga bersifat matang dalam politik apabila dapat muhasabah diri melalui sikap lebih terbuka dan pemikiran lebih rasional apabila menentukan siapa mereka undi dalam pilihan raya.
Apa pun, parti politik dipilih, ia perlu didasari atas kematangan memilih parti, bukan sentimen kemarahan. Suara tidak puas hati terhadap pemerintahan perlu dilahirkan dengan jelas dan terang. Sikap memprotes dalam senyap sehingga suara protes itu tidak dapat didengar kerajaan sebelum pilihan raya, merugikan BN.
Emosi dalam berpolitik membahayakan. Mungkin kali ini tempias emosi marah yang membara pergi kepada BN. Pada masa hadapan, tidak mustahil ia akan berlaku kepada parti politik lain.
Dalam berpolitik, rakyat janganlah dikongkong oleh pertimbangan sempit saja, tetapi sebaliknya memikirkan kepentingan masa depan yang jauh. Sesuatu perkara dianggap menguntungkan bagi jangka pendek mungkin mudarat dalam jangka panjang.
Bagi mereka berfikiran waras, kebaikan dalam jangka panjanglah lebih menguntungkan.
DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Negeri Sembilan.
0 ulasan:
Catat Ulasan