Isnin, 7 April 2008

Reaksi kritikan Dr. Mahathir


Hentikan buat kenyataan
BERA 5 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta supaya berhenti membuat kenyataan yang boleh menyebabkan UMNO terus berpecah-belah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Dr. Mahathir sepatutnya berperanan membantu memulihkan UMNO dan bukannya membuat kritikan dengan mendesak supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Katanya, Dr. Mahathir tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian tetapi sebaliknya ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang boleh menentukannya melalui pemilihan dan proses demokrasi yang diwarisi sejak beliau menjadi Presiden UMNO lagi.

Jangan baling batu ke rumah kaca

KUALA LUMPUR 5 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta menghentikan kritikan terhadap UMNO kerana tindakan itu adalah umpama ‘membaling batu ke rumah kaca’.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas Presiden UMNO itu pernah menggunakan analogi yang sama untuk memberi amaran kepadanya selepas membangkitkan isu tertentu sewaktu menerajui Pergerakan Pemuda UMNO.

“Saya sekadar mahu mengembalikan ingatan Tun Mahathir kepada amarannya dulu untuk semua ahli-ahli UMNO ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Lupa sejarah, tidak konsisten

HULU TERENGGANU 5 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan tidak konsisten kerana sanggup mengkritik segala dasar diamalkan sekarang sedangkan ia adalah warisan ciptaannya semasa memegang jawatan Presiden UMNO.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, sikap bekas Perdana Menteri itu yang sanggup mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan dasar sekarang sebenarnya menggambarkan beliau seolah-olah sudah melupakan sejarah sendiri.

Katanya, sikap yang ditunjukkan Dr. Mahathir sudah kelihatan janggal dan tidak adil kerana kritik yang dilontarkan hanya menyentuh insiden selepas peristiwa UMNO diharamkan dan bukan pada era Allahyarham Tun Razak, Tun Hussein Onn atau Tunku Abdul Rahman Putra.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: