Ahad, 13 April 2008

Kami datang, kami lihat, kami membunuh


VENI, Vidi, Vici. Demikian kata-kata Latin dari zaman silam yang diajar di sekolah Inggeris waktu penjajahan dulu kepada para pelajar yang mengikuti mata pelajaran Sejarah. Ertinya: Aku datang, aku lihat, aku takluki.

Kata-kata tersebut dilafaz oleh Julius Caesar dari Empayar Rom ketika menakluki Britain, demikian menurut guru bangsa Inggeris ketika mengisahkan sejarah negerinya hinggalah berabad-abad kemudian melahirkan Empayar British di benua Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika.

We came, we saw, we murdered. Demikian pula tajuk sebuah laporan khas mingguan Sunday Times, London mengenai pencerobohan tentera pihak sekutu pimpinan Amerika Syarikat di Iraq. Penaklukan ke atas negara Arab itu genap lima tahun baru-baru ini.

Dalam tempoh tersebut puluhan ribu rakyat Iraq menjadi korban dan Presiden mereka, Saddam Hussein mati di tali gantung. Terbukti kemudian pembohongan Iraq mempunyai senjata pemusnah massa nuklear.

Lalu akhbar-akhbar Amerika pada minggu lalu menyiarkan berita bahawa 81 peratus rakyat Amerika tidak puas hati dengan hala tuju negara mereka kini, iaitu meningkat daripada 69 peratus pada tahun lalu dan hanya 35 peratus pada tahun 2003.

Antara yang meningkatkan rasa tidak puas hati ialah perang di Iraq dan peranan sebilangan askarnya seperti dicatat dalam makalah khas bertajuk: Kami datang, kami lihat, kami membunuh (we came, we saw, we murdered).

Lalu dicatat pengalaman sebilangan askar dalam peristiwa-peristiwa keganasan, penyeksaan dan pembunuhan yang dilakukan. Lantas disebut kekejaman dan penyeksaan yang berlaku di penjara Abu Ghraib, Iraq dan pembunuhan orang awam tidak berdosa di Haditha. Oleh mereka dijelaskan bahawa yang berlaku bukan peristiwa-peristiwa terpencil tetapi berlarutan.

Askar marin

Antara yang menceritakan pengalamannya ialah Jason Washburn, berumur 28 tahun, askar marin yang telah bertugas di Afghanistan dan Iraq pada tahun 2003. Beliau bercerita antara lainnya:

“Tembakan-tembakan meriam secara besar-besaran dan bertubi-tubi dilakukan sebelum kami menyerang Iraq. Kami kemudian melihat akibatnya. Beberapa jalan raya penuh dengan mayat wanita dan kanak-kanak, iaitu di kampung-kampung bukan pangkalan-pangkalan tentera.”

Beliau sebelumnya diberitahu wujudnya pangkalan tentera di sebuah kampung.

“Saya tidak pun melihatnya, saya tidak nampak sesiapa pun memakai uniform tentera atau bersenjata yang saya lihat, kesemuanya orang awam belaka,” katanya lagi.

Cerita bersambung mengenai beberapa serbuan ke atas rumah-rumah orang awam yang dilakukan pada waktu lewat malam. Beliau dan pasukannya menendang pintu-pintu rumah dan diberitahu mungkin ada senjata di katil kanak-kanak. Tetapi mereka tidak pernah menjumpai senjata-senjata tersebut. Mereka mengheret seorang ayah yang anak-anaknya kemudian tidak mengetahui apa yang berlaku padanya.

Berlaku kemudiannya pada 19 November, 2005 ialah peristiwa pembunuhan 24 orang awam tidak bersenjata, termasuk wanita dan kanak-kanak. Menurut Washburn peristiwa Haditha bukan sesuatu yang terpencil.

Seorang lagi askar, Perry O’Brien, 26 tahun bercerita mengenai pengalamannya di Afghanistan pada bulan Januari 2003. Beliau melihat seorang awam Afghanistan mati di atas meja pembedahan. Jenazahnya tidak pula diserahkan kepada keluarga.

Rawatan

Sebaliknya O’Brien melihat doktor- doktor bedah dan pembantu-pembantu mereka melakukan pelbagai cara rawatan ke atas mayat itu.

Seorang doktor mencelah: “Sentuh jantungnya. Macam mana rasanya...? Bagi mereka itu bukan jenazah manusia.”

Seorang lagi, Logan Laituri, dari pasukan tentera payung terjun, bertugas di Iraq pada tahun 2004. Pada suatu hari pasukannya menyerbu sebuah bangunan dan menjumpai seorang pegawai polis Iraq yang memakai uniform. “Melalui penterjemah ia memberitahu ia sedang menunggu kedatangan kami. Kami menggari tangannya tapi seorang daripada rakan saya kemudian menumbuk perutnya beberapa kali. Yang menyedihkan ialah saya cuma melihat saja, tetapi tidak berbuat apa-apa.”

Askar-askar berkenaan antara sebilangan yang mahu mendedahkan kekejaman yang berlaku, iaitu seperti pernah dilakukan pada tahun 1971 oleh sebilangan bekas perajurit Perang Vietnam. Mendorong mereka berbuat demikian ialah perbicaraan tentera yang berlaku ke atas Lt. William Calley.

Pada 16 Mac, 1968, Lt. Calley dan pasukannya masuk ke kampung My Loi lalu membunuh kira-kira 500 orang awam lelaki, wanita dan kanak-kanak. Hanya setahun kemudian peristiwa yang dirahsiakan itu didedahkan oleh majalah-majalah Time, Newsweek, Life. Desakan orang ramai berikutannya menyeret Lt. Calley menghadapi perbicaraan tentera.

Calley kemudian dihukum penjara, tetapi menurut laporan-laporan selanjutnya, beliau akhirnya bebas dari penjara dan telah menjadi ahli perniagaan.

Dalam mana jua peperangan turut menjadi korban ialah orang awam. Sebilangan askar yang terlibat berasa menyesal tidak terhingga lalu mendedahkan kejadian setelah mengeluh: Kami datang, kami lihat, kami membunuh. Bukan lagi setakat Veni, Vidi, Vici.

Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

Sumber Utusan Malaysia


0 ulasan: