PERTEMBUNGAN dua minggu lepas di antara tentera kerajaan Iraq di bawah pimpinan Perdana Menteri Nuri al-Maliki dan Tentera Mahdi Moqtada al-Sadr mempamerkan bagaimana pintarnya strategis White House menggunakan permusuhan Nuri dan Moqtada untuk kepentingan politik Amerika Syarikat (AS).
Ramai penganalisis berpendapat Nuri telah tersilap hitung apabila mengarahkan tentera Iraq untuk berkonfrontasi dengan Moqtada.
Ini kerana Tentera Mahdi adalah jauh lebih hebat dari segi ketahanan perjuangan yang telah terbukti dengan kegagalan tentera Iraq walaupun disokong dengan serangan udara tentera AS.
Malah dikatakan ramai golongan tentera kerajaan Iraq itu sendiri yang belot dengan tidak mahu mengambil bahagian menyerang Tentera Mahdi, satu tamparan kepada kepimpinan Nuri.
Washington sudah pasti arif dengan kekuatan Tentera Mahdi kerana pertembungan yang serupa berlaku pada 2004.
Cuma yang berbeza tentera AS pada ketika itu cuba menghancurkan dan melemahkan Moqtada tetapi telah menemui kegagalan. Jika tentera AS gagal dalam misi mereka, sudah tentu tentera Iraq yang baru dilatih oleh AS sudah pasti menemui jalan buntu.
Washington juga sudah pasti dapat menjangkakan ramai tentera Iraq akan berpaling tadah kerana Tentera Mahdi adalah daripada puak yang sama dengan mereka iaitu dari kumpulan Syiah.
Nuri sudah pasti menerima lampu hijau dari Washington untuk bersemuka dengan Moqtada kerana tanpa sokongan dari AS, kerajaan Iraq di bawah pimpinan Nuri akan goyah.
Tidak sukar untuk mencari dalil mengapa Nuri sanggup mengambil risiko yang tinggi untuk bertembung dengan Tentera Mahdi kerana objektif beliau hanyalah untuk mengendurkan pengaruh Moqtada di kalangan puak Syiah. Harapan Nuri hanyalah tertumpu kepada pilihan raya wilayah yang dijangkakan diadakan pada Oktober depan. Pengaruh politik Moqtada di kalangan puak Syiah adalah begitu padu sekali yang membuatkan Nuri begitu gusar akan masa hadapan parti politik beliau.
Tetapi apa yang diharapkan oleh Nuri ternyata meleset sekali kerana kesan pertembungan lebih memihak kepada Moqtada. Kecekalan Tentera Mahdi menentang Nuri yang dianggap sebagai budak suruhan Washington ternyata sekali telah membuatkan Moqtada menjadi lebih popular di kalangan rakyat Iraq terutama sekali golongan bawahan.
Popularnya Tentera Mahdi berbanding dengan kerajaan Iraq boleh disamakan dengan organisasi seperti Hamas dan Hizbullah yang mana jaringan bantuan sosial mereka jauh lebih baik dari kerajaan yang memerintah.
Sebab itu Hamas dapat memerintah Semenanjung Gaza kerana parti politik kumpulan tersebut mendapat sokongan rakyat Palestin. Begitu juga parti politik Hizbullah begitu berpengaruh di Parlimen yang mengakibatkan kerajaan Lebanon lumpuh sehingga ke hari ini. Besar kemungkinan pilihan raya Oktober ini parti politik Moqtada akan menang besar berbanding dengan Nuri.
Sesi penerangan yang diadakan pada 9 April adalah kali ketiga diadakan untuk menilai keberkesanan penambahan tentera AS.
Paling penting adalah penilaian Jeneral Petraeus pada 9 April yang lepas adalah kali terakhir diadakan sebelum Presiden George Bush meninggalkan White House penghujung tahun ini. Bush sudah tentu memerlukan sesuatu untuk membuktikan bahawa apa yang dilakukan di Iraq adalah strategi terbaik dan pertambahan jumlah tentera adalah antara strategi utama Bush.
Sudah dibuktikan oleh tingkah laku Nuri dan Moqtada dua minggu lepas semasa pertempuran di Basra bahawa kehadiran tentera AS di Iraq adalah diperlukan untuk mengelak dari berlakunya perang saudara bukan sahaja di antara puak Sunah, Syiah dan Kurds tetapi juga sesama Syiah. Penambahan tentera, menurut Petraeus telah sedikit sebanyak dapat mengurangkan keganasan di antara puak yang berbeza.
Pemerhatian oleh Petraeus dan Crocker dengan dibantu oleh pertembungan Nuri-Moqtada telah membuktikan strategi Bush mahu mengekalkan tentera AS di Iraq adalah yang terbaik.
Paling ironis sekali bukan sahaja Bush yang meraih keuntungan akibat Nuri dan Moqtada dipermainkan oleh strategis White House, tetapi calon Presiden John McCain dari parti Republikan juga mendapat imbuhan.
Kedua-dua calon Demokrat iaitu Hillary Clinton dan Barack Obama sependapat bahawa tentera AS sepatutnya berundur dari Iraq dan menyerahkan hal ehwal pengendalian keselamatan kepada kerajaan Iraq.
Sementara McCain pula mempunyai pandangan yang serupa dengan Bush bahawa tentera AS masih diperlukan di Iraq. Tetapi apa yang telah dihuraikan oleh Petraeus dan Crocker secara tidak langsung menidakkan strategi Obama dan Clinton sementara McCain pula berada pada landasan yang betul.
Peristiwa pertempuran di Basra di antara tentera Nuri dan Moqtada begitu jelas mempamerkan bagaimana dengan mudah White House mempermainkan dan mempergunakan golongan tertentu untuk kepentingan politik AS. Dalam kes ini White House cuba mempertahankan bukan sahaja Presiden Bush tetapi bakal Presiden dari calon parti Republikan.
Pertumpahan darah beratus-ratus rakyat Iraq semasa pertempuran Basra dan keperitan yang dialami oleh penduduk Basra terutama sekali nampak gayanya tidak memberi makna kepada strategis White House. Apa yang penting bagi mereka ini ialah matlamat mesti dicapai walau apa pun rintangan yang dihadapi. Strategis White House bukan sahaja memperjudikan nyawa rakyat Iraq, tetapi juga telah mempermainkan pengundi rakyat AS.
0 ulasan:
Catat Ulasan