SAYA tertarik dengan tulisan Warga Insaf dari Johor bertajuk Ambil iktibar barisan Kabinet Singapura seperti disiarkan di ruangan ini semalam.
Mungkin tidak ramai daripada kita yang sedar bahawa hanya seorang saja menteri Melayu dalam Kabinet Singapura walaupun negara itu dulunya adalah tanah air orang Melayu.
Bagi saya, sejarah sedih orang Melayu di republik itu ada kena-mengena dengan sikap bangsa kita termasuk di Malaysia yang terlalu merendah diri, tidak agresif seperti kaum lain atau terlalu bertolak ansur dan bersikap ‘tidak apalah’.
Kerana sikap tolak ansur dan tidak apalah, kita sanggup melepaskan Singapura sedangkan ada cara lebih baik untuk mengelakkan bumi tercinta itu jatuh ke tangan orang lain.
Yang sedihnya, kenapa tidak ada penghargaan dari kerajaan Singapura sekarang untuk menidakkan pengorbanan orang Melayu yang kehilangan negeri.
Saya bersetuju dengan pandangan Warga Insaf bahawa kaum lain mungkin sukar untuk berkompromi dan bersikap adil kepada Melayu sepertimana UMNO bertolak ansur dalam menjaga kepentingan kaum lain.
Di Pulau Pinang sendiri, kita jangan salahkan DAP jika selepas ini mengabaikan kepentingan Melayu kerana semasa Gerakan mengetuai kerajaan negeri itu pun, orang Melayu merasakan diri mereka diabaikan.
Kita perlu ingat DAP adalah saki-baki dari parti PAP yang memerintah Singapura. Sebab itu saya tidak terkejut melihat barisan Exco kerajaan Pulau Pinang.
Seperkara lagi, kita perhatikan gerakan parti-parti pembangkang termasuk undi Cina untuk Cina bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu begitu terancang.
Dengan bantuan isu besar terutama kenaikan harga barangan akibat kenaikan harga minyak dan kadar tol membantu pembangkang memainkan agenda mereka sehingga pengundi atas pagar dan banyak orang Melayu berpaling tadah.
Hasilnya, BN terlepas empat negeri kepada pembangkang selain kuasa DAP begitu dominan di Kuala Lumpur dan Pas kekal di Kelantan.
Dari segi pecahan kaum ahli Parlimen, kita perhatikan pemimpin pembangkang bukan Melayu menguasai 39 kerusi, manakala pembangkang Melayu duduki 43 kerusi iaitu hanya kurang empat kerusi saja.
Selain itu, seperti kata Warga Insaf, PKR tidak boleh dianggap parti Melayu kerana ia adalah parti berbilang kaum. Parti seperti itu sukar untuk memperjuang atau mempertahankan hak-hak Melayu apalagi PKR ketahui umum turut memperjuangkan agenda Hindraf.
Jika Melayu terutama pemimpinnya tidak berwaspada, saya bimbang menghadapi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
– VETERAN UMNO,
Bukit Gantang, Perak.
0 ulasan:
Catat Ulasan