TERTARIK dengan ulasan yang diberikan oleh Ketua Bahagian UMNO Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bahawa sebelum pilihan raya umum, Pas mengeksploitasikan isu seperti haram bagi orang Islam memilih pemimpin daripada kalangan bukan Islam.
Beliau berkata, dua hari sebelum pembuangan undi pada 8 Mac lalu, petugas Pas mengedarkan beribu-ribu risalah di masjid dan surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang yang ditandingi calonnya, Mohammad Nizar Jamaluddin.
Katanya, risalah itu memetik fatwa daripada muzakarah ulama yang mengatakan haram bagi orang Islam memilih calon bukan Islam, iaitu Dr. S Vasan daripada MIC yang mewakili BN.
Tetapi, apabila sudah berjaya menjadi kerajaan, Mohammad Nizar mengatakan beliau Menteri Besar untuk semua kaum. Sekarang baru kita nampak wajah sebenar mereka. Bagaimana pula undi bukan Islam kepada Pas? Halal ke haram?
Bagi saya persoalan paling besar hari ini ialah di manakah kedudukan orang bukan Islam di kaca mata Pas? Bagaimanakah kedudukan orang bukan Islam sekiranya mereka turut sama menyokong dan mengundi Pas?
Adakah bagi Pas, hendak masuk syurga begitu mudah, hanya perlu menyokong atau mengundi Pas sahaja? Jadi apa sebenarnya tujuan Pas menubuhkan Kelab Penyokong Pas yang mana rata-ratanya bukan orang Islam. Abdul Hadi dengan bangganya melancarkan Kelab Penyokong Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 dengan harapan untuk menarik undi bukan Islam. Tidak haram ke?
Bila UMNO buat dituduh kafir tetapi bila Pas buat tidak mengapa asalkan dapat undi. Hina sangat ke UMNO kepada Pas yang mana rata-ratanya beragama Islam. Bangga sangat ke Pas dengan Kelab Penyokong Pas mereka yang rata-ratanya bukan Islam.
Adakah ini mengikut kehendak Islam? Sebenarnya, bukan hanya ahli Pas yang keliru dengan fatwa politik sebegini, malah para pemimpin Pas sendiri sudah berkecamuk kerana terlalu banyak fatwa politik dipersoalkan semula oleh ahli.
Tuduhan
Tetapi dalam konteks hari ini dan demi menyelamatkan akidah orang Islam, khususnya para pengikut Pas yang tidak mampu berfikir dan bersikap ‘apa yang dikatakan oleh tok guru adalah betul’, maka Abdul Hadi dan Nik Aziz perlu menjawab persoalan berhubung tuduhan yang menganggap UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sebagai kafir.
Persoalan ini menjadi lebih penting dijawab hari ini apabila dalam tahun 1995, terdapat laporan dari Tumpat, Kelantan yang menyebut seorang pemimpin Pas berkata, orang yang beragama Islam tidak boleh mengundi calon dari kalangan bukan Islam dalam pilihan raya kerana ia bertentangan dengan kehendak Islam.
‘‘Usahkan orang bukan Islam, orang Islam pun kalau tidak turut Islam tidak boleh undi, malah orang Islam pun kalau dia bawa dasar yang bukan Islam, rakyat tidak boleh mengundinya,” kata laporan itu.
Maka timbul tanda tanya yang tidak pernah Pas jawab: ‘‘Bagaimana pula kerjasama yang pernah terjalin antara Pas, Keadilan dan DAP sebelum ini? Dan bagaimana pula dengan usaha Pas terutama di Kelantan dan Terengganu yang begitu bersungguh-sungguh mahu mendapat sokongan dan kerjasama pengundi Cina?
Adakah hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC sahaja termasuk dalam kategori tuduhan Pas iaitu kafir tetapi Pas yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang dikecualikan?
Mungkin itu sebabnya Abdul Hadi boleh berpelukan dengan Lim Kit Siang, pemimpin yang secara terbuka menentang penubuhan negara Islam Pas. Adalah malang bagi pengikut parti itu yang mempercayai fatwa seperti ini, yang hanya bermatlamatkan politik dan kejayaan dalam pilihan raya.
Orang kampung boleh dianggap sebagai kumpulan yang tertutup minda kerana sikap percayakan tok guru sahaja, tidak baca akhbar atau majalah dan mengehadkan pergaulan kepada kelompok mereka sahaja, tetapi bagaimana pula dengan cerdik pandai dan golongan profesional yang menyokong Pas?
Adakah mereka juga menjadi golongan taksub sehingga tidak mampu berfikir? Mereka mungkin menyokong sebagai satu eskapisme akibat persoalan hati - mungkin merajuk, mungkin marah, mungkin kecewa dan mungkin juga gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati - tetapi tidakkah boleh mereka fikirkan soal percanggahan dan keanehan fatwa yang dibawa oleh Pas? Sebenarnya, terdapat terlalu banyak kecelaruan dalam Pas.
Selain fatwa politik yang dibawa, pemimpin parti itu telah banyak lupa apa yang dikata dan lakukan.
Ketika berbaik dengan DAP, Pas tanpa segan silu sengaja melupakan tentang isu kafir yang dilemparkan kepada UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC. Dan apabila tidak lagi bersekongkol dengan DAP, Abdul Hadi pula lupa yang dia pernah berpelukan dengan Kit Siang hingga sanggup menyifatkan pemimpin tertinggi DAP sebagai ‘sudah luput masa’ dan tidak lagi sesuai untuk menonjolkan diri bertanding dalam pilihan raya lalu.
Tetapi apabila Karpal Singh dan Lim Kit Siang menang keadaan berubah dan kini kedua-duanya adalah kawan baik Abdul Hadi.
Satu soalan kepada pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap diri mereka terlalu Islam. Apakah hukumnya bekerjasama dengan DAP dan PKR. Halal ke haram? Ingatlah PKR tidak memperjuangkan Islam. Lihatlah barisan pemimpin-pemimpin mereka.
Perjuangan mereka sebenarnya tidak jelas. Banyak kepada politik berdendam dan perjuangan individu. Jangan disebabkan ketamakan hendak berkuasa hingga sanggup menjual maruah agama Islam itu sendiri.
– TAMINGSARI,
Shah Alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan