Jumaat, 11 April 2008

Mengapa babi diutamakan?


Mengapa babi diutamakan? - Surat 1
Sumber Utusan Malaysia

SAYA adalah rakyat Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat bersama-sama keluarga dan kami selalu mengikuti perkembangan terkini di tanah air yang kami cintai melalui laman web utusan.com.my.

Sudah beberapa hari saya mengikuti perkembangan mengenai kontroversi projek ternakan babi yang akan diusahakan di Sepang dan saya merasa untuk berkongsi pendapat.

Apabila membaca artikel tersebut, minda saya terbayang kembali kepada kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa ‘Melayu mudah lupa’.

Apa yang saya hendak kaitkan di sini, sudahkah Kerajaan Negeri Selangor lupa akan apa yang terjadi apabila Negeri Sembilan dan Selangor ‘diserang’ wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1999. Hal ini telah banyak membawa kesusahan dan keperitan hidup seharian rakyat khususnya di sekitar kawasan yang dilanda wabak ini.

Menurut World Health Organization, virus JE disebarkan oleh nyamuk jenis Culex Tritaenniorhynhcus dan Culex Vishnui yang hidup di kawasan seperti sawah. Apabila nyamuk jenis tersebut menghisap darah babi, virus berkenaan dipindahkan ke dalam badan babi dan membiak. Maka gabungan ladang babi dan sawah padi adalah seperti ulam dicita pucuk mendatang bagi pembiakan virus JE.

Implikasi negatif yang terjadi adalah industri pelancongan dan perhotelan di kawasan berhampiran terjejas dengan teruk. Pekerja yang menyara hidup dengan bekerja di hotel mendapat gaji yang amat kurang sekali kerana gaji yang dibayar oleh majikan adalah berasaskan service points yang diterima daripada pengunjung hotel.

Untuk makluman anda, saya bukannya anak negeri Selangor, tetapi berasal dari Pulau Pinang.

Pada satu ketika dulu, kawasan yang dipenuhi oleh penduduk Melayu di sekitar Bayan Baru, Bukit Jambul dan Sungai Ara, selalu hidup dalam keadaan resah gelisah, siang dan malam kerana merasa loya apabila kawasan ternakan babi di situ ditiup angin. Ia sekali gus membawa bau yang sungguh meloyakan.

Angin sepoi-sepoi petang adalah yang paling ketara apabila angin panas membawa bau yang teramat busuk ke tempat kami menghuni, tempat yang kami panggil rumah dan tempat yang kami berlindung daripada hujan dan panas.

Malang sekali, oleh sebab bau busuk najis babi itu terlalu kuat, tiada apa yang dapat menghalang kami diserang musuh ketat ini.

Penduduk Melayu Pulau Pinang tidak mampu hendak beli alat pendingin hawa supaya dapat menutup pintu dan tingkap. Mahu tidak mahu, kenalah tahan dan sabar. Tiada tempat untuk mencari perlindungan lagi. Rasa sengsara penduduk minoriti dan lemah negeri ini tidak dihiraukan lagi.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, keputusan untuk membangun dan mengusaha ternakan babi itu dibuat setelah kajian terperinci yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini mendapati kawasan tersebut didiami oleh penduduk majoritinya adalah bukan Islam.

Walaupun penduduknya terdiri daripada bukan Islam, bau busuk yang dibawa oleh angin tidak kenal latar belakang bangsa manusia yang didiami di kawasan itu.

Percayalah angin ini akan bawa haruman ini sehingga KLIA. Kebanggaan negara akan diperjudi juga.

Apakah latar belakang orang yang sampai di KLIA akan dikecualikan oleh pembawa bau busuk ini? Sama-samalah kita menyambut tetamu luar negara dengan bau busuk. Pencemaran jenis ini tidak kenal siapa mangsanya.

Pada pendapat saya sekiranya teknologi Jerman boleh menjamin pencemaran bau, keselamatan air sungai dan laut serta pencemaran alam sekitar, saya ingin cadangkan ia dibina di kawasan Shah Alam atau di kawasan Seputeh. Kenapakah tidak boleh?

Saya ingin merayu kepada Menteri Besar Selangor, lupakan saja hasrat ini.

Tidak cukupkah bekalan daging babi di negeri Selangor dan untuk rakyat Malaysia yang makan babi dan sehingga Kerajaan Selangor terpaksa kena membuat komitmen tersebut, sekalipun dibantah keras?

PAK MILENIUM

Boston, USA.


Mengapa babi diutamakan? - Surat 2
Sumber Utusan Malaysia

SEBAGAI salah seorang pelajar di luar negara, saya terpanggil untuk berkata sesuatu berkaitan dengan isu hangat sekarang walaupun saya rasa ahli Kerajaan Negeri Selangor tidak mengendahkan apa yang hendak saya katakan dalam ruangan ini. Suara rakyat yang jelas di depan mata tidak diendahkan, inikan pula sekadar tulisan saya ini.

Pertama, tidak terlambat untuk saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan campuran Selangor atas kejayaan anda. Saya telah membaca isu ini setiap hari dan kini giliran saya untuk berkata sesuatu.

Mengapa sekarang kerajaan dokongan Pas senyap seolah-olah sudah tidak wujud? Ke mana perginya suara Pas yang dahulunya bergegar-gegar menghentam kerajaan BN dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan?

Mengapa isu ini atau projek ini yang diutamakan?

Banyak lagi isu yang masih kritikal. Ma- salah remaja sekarang yang semakin teruk, masalah sosial, jenayah antaranya.

Kepada Teresa Kok, usahlah terlalu bermegah. Kelak anda sendiri yang akan menyesal dengan apa yang anda katakan dan sila tanamkan dalam diri anda rasa hormat kepada orang lain. Bukan anda seorang yang mempunyai suara di Malaysia.

Kepada kerajaan campuran, kemenangan anda adalah kerana janji yang diberikan kepada rakyat yang terpengaruh.

Janganlah terlalu selesa, janganlah terlalu besar kepala. Semakin besar kepala, semakin hilang keseimbangan badan yang akhirnya akan hancur juga.

Ingatlah jasa rakyat. Penuhi keperluan kami sewajarnya.

Jangan lupa daratan. Ladang ternakan babi itu hanya akan membawa padah yang lebih besar. Jika bukan sekarang mungkin pada masa depan.

Cadangan saya, lebih baik anda semua pertingkatkan infrastruktur ladang ternakan babi yang sedia ada dan masukkan segala teknologi dari seluruh dunia untuk memantapkannya lagi.

Ia dapat menjimatkan lagi wang rakyat. Jalankan kajian untuk mengurangkan pencemaran yang berpunca dari ladang ternakan babi.

Dan, tingkatkan kemajuan semua ladang ternakan (babi, lembu, syam, kambing) yang sedia ada. Lakukannya secara hikmah dan aman.

PELAJAR

Melbourne.


Mengapa babi diutamakan? - Surat 3
Sumber Utusan Malaysia

SAYA sebagai rakyat Malaysia amat kecewa dengan keputusan Kerajaan Selangor yang meluluskan projek ternakan babi di Sepang secara besar-besaran. Mengapa perlu projek ini menjadi keutamaan walhal daging babi bukanlah satu keperluan kepada masyarakat tetapi boleh dikategorikan sebagai satu kehendak.

Apakah tidak mencukupi lagi bekalan daging babi yang sedia ada sekarang? Apakah rasionalnya pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk menjalankan projek ini? Apakah sebenarnya yang ingin dicapai oleh Kerajaan Negeri Selangor sekiranya projek ini telah dibuat?

Cubalah Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan seluruh rakyatnya terlebih dahulu. Saya pasti masih ramai golongan yang memerlukan bantuan pihak kerajaan. Cubalah Kerajaan Selangor memikirkan bagaimana hendak membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya.

Pemimpin Kerajaan Negeri Selangor tentulah mempunyai pemikiran yang kreatif. Fikirkanlah bagaimana hendak membantu golongan ini.

Manfaat

Banyak lagi projek lain yang memberi manfaat kepada rakyat yang boleh dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh membuat projek yang boleh meningkatkan tahap kebersihan negeri. Sekurang- kurangnya bolehlah rakyat berbangga jika Selangor menjadi negeri yang terbersih di Malaysia.

Mengenai projek ternakan babi ini, cubalah pihak kerajaan negeri turun padang dan bertanya terus kepada penduduk yang berada di Sepang.

Apa komen mereka tentang projek ini. Pihak media bolehlah turun padang sekali untuk merakam komen-komen penduduk setempat dan siarkan.

Saya pasti seluruh rakyat Malaysia teringin untuk mendengar sendiri pendapat penduduk Tanjung Sepat. Kepada Kerajaan Negeri Selangor, luaskan pandangan supaya dapat melihat kesusahan rakyat dan fikirkan cara untuk membantu rakyat.

Ternakan babi bukan satu keperluan. Ia hanya satu kehendak dan saya pasti mereka yang makan daging babi masih boleh mendapat bekalannya walaupun projek ini tidak dijalankan.

Dengarlah suara rakyat dan fikirlah secara rasional.

RAKYAT KECEWA

Kuala Lumpur.



Mengapa babi diutamakan? - Surat 4

Sumber Utusan Malaysia

PERKEMBANGAN terkini mengenai pro- jek ternakan babi RM100 juta di Sepang membuatkan ramai orang terperanjat.

Pengalaman kami di Pulau Pinang khususnya kawasan Batu Maung yang terdapat penternak individu secara kecil-kecilan, setiap pagi bau busuk tersebar di ka- wasan Batu Maung, Kompleks Kargo Kedua, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan hinggalah ke sebuah hotel berdekatan.

Beberapa tahun lalu ramai pekerja di Kompleks Kargo Kedua termasuk kakitangan kastam membuat kenyataan dan ru- ngutan berkenaan bau busuk hingga melekat kepada pakaian mereka sampai mereka pulang ke rumah.

Atas kepentingan politik, kerajaan baru negeri Selangor meluluskan RM100 juta untuk ternakan babi di Sepang. Ia harus dipandang serius oleh semua pihak. Siapakah sebenarnya pemilik syarikat tersebut atau yang berkepentingan; adakah kemungkinan mereka dari negara jiran seperti penternakan babi di Melaka?

Bau busuknya kelak pasti akan merangkumi seluruh kawasan Sepang termasuk Putrajaya, KLIA, LCCT, SIC hingga ke ka- wasan sekitar seperti kawasan perumahan Kota Warisan dan Nilai.

Apa akan terjadi kepada KLIA/LCCT se- laku pintu keluar masuk utama pelancong ke Malaysia.

Syarikat-syarikat penerbangan luar akan mengelak KLIA?

Kesan jangka panjangnya amat buruk sekali kepada semua pihak dan yang pasti teruk sekali adalah penduduk kawasan sekitarnya.

Apa kata projek tersebut dipindahkan ke Seputeh. Ia bersesuaian dengan penduduk di situ.

ABD. RAHMAN

Pulau Pinang.


Mengapa babi diutamakan? - Surat 5

Sumber Utusan Malaysia

SAYA tertarik dengan pelbagai isu negeri Selangor. Sebelum pilihan raya sibuk fasal penyapu, tetapi sekarang sibuk fasal babi pula.

Terlebih dahulu tahniah kepada penduduk Selangor yang mahukan perubahan dan tahniah kepada peneraju Barisan Alternatif (BA) Selangor kerana membawa kemajuan dalam sektor penternakan di negeri itu.

Apa yang kita dapat lihat di sini ialah BA telah memberikan hadiah (kandang babi) kepada rakyat Selangor atas kemenangan parti itu.

Umum mengetahui babi adalah binatang yang amat sensitif bagi orang Islam. Tetapi kenapa orang Islam sendiri ingin memajukan perkara yang sensitif ini?

Kenapa pentadbiran BA lebih memberi ruang kepada babi untuk bertapak di negeri Selangor?

Kenapa tidak diberi peluang kepada lembu atau kambing yang mana penternakan tersebut boleh dijalankan setiap kaum di negara ini?

Agaknya suara-suara yang mahu projek tersebut dimansuhkan tenggelam atau mungkin RM100 juta untuk projek itu telah menutup mata dan telinga para pentadbir.

S. NIZAM

Sebelah Selangor.

0 ulasan: