LAZIMNYA golongan muda sering dikaitkan dengan elemen bersifat negatif seperti jumud, pasif dan sebagainya.
Kehidupan mereka seolah-olah hanya diwarnai pengalaman tidak berfaedah dan kurang bermanfaat.
Benar atau tidak adalah ukuran yang diguna pakai oleh sebahagian besar masyarakat untuk menentukan imej golongan ini.
Inilah lumrah pemuda yang disifatkan oleh William Shakespeare sebagai cold in blood and green in decision atau berdarah sejuk (berani menanggung risiko) dan mentah dalam membuat keputusan.
Secara umum, daripada masa ke masa memang pemikiran generasi muda terlalu unik dan sukar untuk dibaca.
Paling utama, pasca pilihan raya baru-baru ini jelas menunjukkan mesej generasi muda, khususnya mahasiswa yang mahu suatu perubahan besar-besaran itu perlu berlaku.
Jika kita melihat perangkaan daftar pemilih berumur 21 tahun hingga 29 tahun, jelas memperlihatkan gelombang kesedaran generasi muda ini dalam sosiopolitik negara.
Mengambil contoh beberapa negeri seperti Selangor, Johor, dan Perak, mencatatkan angka daftar pemilih tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 214,881 (Selangor), 165,342 (Johor), 156,705 (Perak), 152,616 (Kelantan), 141,399 (Kedah) dan 133,703 (Terengganu).
Perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini menunjukkan jumlah keseluruhan pemilih muda dalam lingkungan umur itu di seluruh Malaysia mencecah 1,573,096.
Dalam pada itu, suatu revolusi akliah mencorak pemikiran golongan ini dalam mendapatkan sumber maklumat.
Mereka dilihat membezakan diri dengan golongan muda 50-an dan 60-an dulu serta beberapa zaman selepasnya yang hanya bergantung kepada media bersifat tradisi seperti media arus perdana.
Ini dapat dilihat menerusi kajian oleh Zentrum Future Studies Malaysia. Kajian yang dibuat dari 20 Februari hingga 5 Mac 2008 menunjukkan golongan ini mula mencari bahan alternatif baru sebagai sumber maklumat.
Berdasarkan kajian itu, sebanyak 64.5 peratus kelompok dalam lingkungan umur 21 ke 29 tahun lebih mempercayai blog serta media online bagi memperoleh maklumat.
Dalam pada itu, 23.1 peratus daripada mereka bergantung kepada maklumat yang dipaparkan televisyen dan hanya sebanyak 12.4 peratus daripada golongan ini yang bergantung kepada surat khabar tempatan.
Sebelum ini, mungkin kita hanya melihat beberapa isu yang membabitkan tuntutan generasi muda sebagai perkara yang remeh.
Siri tuntutan yang dibawa mereka, khususnya menerusi persatuan pelajar yang menyentuh beberapa aspek seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa pengajian, pengangguran dan sebagainya dilihat sebagai sesuatu yang tidak akan membuahkan hasil. Tetapi ketetapan yang dibuat mereka ini menjadi isyarat kepada seluruh masyarakat mengenai kepentingan suara mereka ini didengari.
Maka, seluruh pihak perlu menilai kembali isu membabitkan golongan muda ini sebagai perkara pokok dan perlu diberi keutamaan.
Mungkin sebelum ini, sesetengah pihak beranggapan dengan wujudnya kekangan ke atas generasi muda terpelajar seperti AUKU ini mengakibatkan mereka bersifat pasif dan berfikiran tertutup.
Tetapi segalanya ternyata meleset apabila kita melihat golongan ini sudah tahu menggunakan kuasa mereka untuk dijadikan sebagai pentas untuk menyuarakan pandangan.
Maka, segala isu yang dibangkitkan generasi muda tidak lagi boleh disifatkan seperti ‘memukat atau menjaring angin’.
Revolusi akliah dan gelombang kesedaran ini harus kita lihat dari sudut positif dan perlu diteruskan.
Seluruh masyarakat bertanggungjawab dalam membentuk golongan muda atau pelapis yang sempurna akhlak dan akal budinya untuk memikul tanggungjawab sebagai pewaris zaman.
Bagi memastikan denyut nadi kelompok ini sentiasa diberi perhatian, kerajaan harus tangani segala isu membabitkan kelompok ini seperti pengangguran dan AUKU dengan komitmen tinggi dan bijaksana serta bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
0 ulasan:
Catat Ulasan