Oleh Jamhariah Jaafar
Sumber Berita Harian
Duta Belanda ke Malaysia, Lody Embrechts
Duta perjelas filem Fitna bukan gambaran dasar negara terhadap umat Islam
KERAJAAN Belanda bukan saja mengutuk penerbitan filem dokumentari Fitna hasil arahan Geert Wilders, malah amat kesal kerana Ahli Parlimen itu menyamakan Islam dengan keganasan. Duta Belanda ke Malaysia, Lody Embrechts berkata, Perdana Menteri, Peter Balkenende amat marah dengan Wilders kerana filem dokumentari itu seolah-olah memang sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
"Perdana Menteri saya mengutuk keras interpretasi dokumentari itu yang menyamakan Islam dengan keganasan. Kerajaan Belanda tidak mahu dikaitkan langsung dengan filem itu kerana ia adalah pendirian individu dan matlamatnya adalah untuk kumpulan tertentu.
"Balkenende percaya filem itu tidak mempunyai matlamat lain, selain daripada sengaja untuk mencetus kemarahan (umat Islam)," kata Embrechts ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Filem Fitna adalah satu dokumentari selama 15 minit dihasilkan Wilders, memberi terjemahan 'fanatik' kepada beberapa ayat yang dipetik dari al-Quran. Tindakan Wilders menterjemah beberapa ayat mengikut persepsi negatif, memberi gambaran al-Quran menggalakkan umat Islam menjadi fanatik dan melakukan keganasan.
Ahli Parlimen itu mengambil statistik pertumbuhan penduduk Islam di Belanda yang mencatat peningkatan begitu besar sejak ia mula bertapak di sana pada awal abad lalu.
Dokumentari Fitna tersebar pantas selepas disiarkan menerusi internet pada 27 Mac lalu, dalam bahasa Belanda dan versi Inggeris. Ia mengejutkan bukan saja umat Islam, malah warga dunia yang bekerja keras merapatkan hubungan antara Barat dan Islam sejak tragedi 11 September 2001, di New York.
Umat Islam dunia membantah dan mengutuk tindakan Wilders dan turut menerima tempias kemarahan ialah syarikat multinasional negara itu serta Kerajaan Belanda sendiri.
Di Malaysia, selain mengutuk keras filem ini, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak rakyat Malaysia supaya memulaukan produk keluaran Belanda.
Antara yang mengeluarkan kenyataan keras kepada Wilders ialah Presiden Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam, Presiden Persidangan Belia Dunia (WAY) dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Seri Ali Rustam, yang menuntut permohonan maaf serta merta dari Wilders.
"Tapi kami menegaskan umat Islam tidak akan bertolak ansur ke atas sebarang pencabulan terhadap agama Islam serta tindakan yang langsung tidak memberi pertimbangan terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia," kata Presiden WAY yang dianggotai 110 negara dalam mesej kerasnya kepada Wilders.
Bagaimanapun, Embrechts mengucap terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan majoriti rakyat negara ini kerana tidak mengambil tindakan memulaukan secara terang pelbagai produk serta perkhidmatan syarikat Belanda yang beroperasi di negara ini, semata-mata untuk menghukum seorang rakyatnya yang mempunyai pandangan sempit dan fanatik terhadap Islam.
"Seperti yang dinyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana tidak mengisytiharkan tindakan supaya memulaukan produk Belanda.
"Tindakan seumpama itu hanya akan menjejaskan hubungan dagang Malaysia dan Belanda, terutama syarikat kedua-dua negara. Ia juga akan memberi kesan serius ke atas rakyat dan mereka yang tidak ada kena mengena dalam perkara ini.
"Seluruh pekerja serta syarikat Malaysia dan Belanda yang beroperasi di kedua-dua negara, bukan saja mengutuk keras filem ini, bahkan agenda politik Wilders. Saya faham akan kemarahan umat Islam di sini, tetapi sebarang usaha untuk memulaukan produk negara kami adalah tindakan yang tidak adil," kata Embrechts.
Diminta mengulas mengenai keputusan sebuah mahkamah di The Haque kelmarin, yang membuat keputusan Wilders 'tidak mencetus kebencian atau keganasan ke atas umat Islam', duta itu berkata keputusan itu tidak ada kena mengena dengan filem Fitna, sebaliknya ia berasaskan kenyataan terdahulu Wilders mengenai Islam.
Menjawab soalan mengenai reaksi teman beragama Islam Malaysia yang ditemui selepas filem ini dikeluarkan, Embrechts berkata, semua sahabatnya meluahkan rasa terperanjat serta marah kerana ada Ahli Parlimen Belanda masih berfikiran sempit.
"Bagaimanapun, mereka faham dan menerima hakikat bahawa ini adalah tindakan hanya seorang individu dan ia langsung tidak mewakili pendapat atau perasaan kerajaan Belanda, mahupun rakyat kami," jelasnya yang mengaku turut berasa amat marah dan kecewa dengan tindakan Wilders.
Embrechts berharap umat Islam Malaysia dapat mencontohi saudara Islam di Belanda, yang mengambil tindakan dengan cara lebih terhormat, iaitu mencabar Wilders supaya berdebat mengenai pandangan serta pendiriannya mengenai Islam.
"Pada hari filem Fitna dikeluarkan, semua pintu masjid di Belanda dibuka seluas-luasnya bagi menggalakkan setiap rakyat yang berminat, untuk berdialog mengenai Islam secara terbuka. Ia adalah cara terbaik untuk menunjukkan wajah sebenar Islam serta membuktikan kepada dunia bahawa interpretasi Wilders mengenai Islam adalah salah serta tidak berasas.
"Jangan biarkan Wilders memprovokasi anda (dengan pandangan sempitnya mengenai Islam). Saya berharap semua pihak sedar bahawa ini adalah pandangan daripada seorang individu.
"Kepada rakyat Belanda di seluruh dunia, terutama mereka yang berada di negara ini, saya nasihatkan mereka supaya membabitkan diri dengan dialog serta perbincangan secara terbuka. Kita perlu bukti serta tunjukkan kepada masyarakat Malaysia, wajah rakyat Belanda yang sebenarnya," nasihat duta ini kepada umat Islam di Malaysia serta rakyat Belanda yang berada di negara ini.
Embrechts yang bertugas sejak sekian lama di beberapa negara Islam terutama di Asia Barat juga mencabar Wilders untuk berdebat dengannya mengenai agama Islam.
"Saya tidak pernah bertemu Wilders, tapi mengikuti perjalanan karier politiknya. Hampir sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai diplomat di Asia Barat dan negara Islam, saya tidak gentar untuk mencabar Wilders supaya berdebat dengan saya mengenai agama Islam," tegas Embrechts yang begitu marah dengan Wilders kerana menjejaskan hubungan baik Belanda dengan banyak negara Islam.
0 ulasan:
Catat Ulasan