Sabtu, 12 April 2008

Provokasi ekstremisme Barat


MEDIA telah menjadi alat berkuasa bagi Barat untuk menghina Islam dan umatnya. Filem Fitna arahan Geert Wilders, seorang ahli Parlimen dari Belanda telah berjaya mengusik emosi dan pendirian umat Islam.

Apa yang dapat dilihat sekarang sikap ekstremisme atau melampau Barat ke atas Islam. Daripada filem Fitna ini kita dapat melihat betapa Barat amat membenci Islam.

Sikap ekstremisme segelintir mereka inilah yang membawa kepada keganasan ke seluruh dunia.

Jika media Barat sering memaparkan umat Islam sebagai pelampau dan bersikap ganas, hakikat sekarang Baratlah yang bersikap demikian. Mereka juga bersikap melampau dan menganjurkan keganasan.

Pandangan-pandangan yang mereka tebarkan melalui media cetak dan elektronik memang berbau ekstremisme dan keganasan.

Malah ideologi dan pemikiran elit berkuasa Barat inilah yang ingin Islam dan umatnya berada dalam kerangka ekstremisme dan keganasan. Tanpa disedari mereka (elit berkuasa Barat) sebenarnya juga bersikap ekstrem dan mengganas.

Mereka tidak ingin melihat dunia ini aman dan sentiasa memprovokasi umat Islam supaya bersikap ganas dengan dipaparkan melalui filem seperti Kingdom dan lakaran-lakaran kartun yang menghina nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini ekstremisme berada di segenap kehidupan manusia.

Dalam kehidupan beragama, pengamalan kehidupan agama yang melampau dan sempit dengan menanamkan sikap kebencian kepada golongan manusia yang bukan daripada agamanya atau yang bukan mengikut fahamannya akan membawa kepada perang agama sama ada antara mazhab atau penganut agama masing-masing.

Dalam bidang sosiopolitik pula fahaman kesukuan dan nasionalisme sempit serta fahaman perkauman melampau telah membawa kepada sikap ganas sehingga mengakibatkan pembunuhan genosid.

Dalam bidang ekonomi, sikap kemaruk kepada minyak membawa kepada tindakan ekstremisme menakluki negara asing.

Ia juga telah memulakan perang menentang keganasan dan menguasai wilayah-wilayah Islam di Timur Tengah.

Jika Barat mengatakan Islam ini agama melampau maka sekular Barat juga adalah suatu fahaman melampau.

EkstremismeJika Al-Qaeda adalah simbol kepada ekstremisme agama di zaman moden maka kumpulan konservatif baru (neokon) adalah simbol kepada sekular ekstremisme di zaman pascamoden ini.

Pemodenan Barat telah melahir suatu ekstremisme yang membenci Islam sebagai suatu agama. Elit berkuasa Barat ini telah mengupah pakar perhubungan awam supaya membuat imej Islam sebagai agama melampau dan ganas.

Sikap mereka ini sudah menunjukkan siapakah yang sebenarnya ekstremis dan pengganas.

Dengan mengeksploitasi iklim pasca 9/11 yang penuh kebimbangan dan prasangka, kumpulan neo-kon telah menyebarkan api kebencian terhadap umat Islam ke serata dunia.

Guru-guru neo-kon seperti Charles Krauthammer dan kononnya pakar dalam agama Islam, Robert Spencer terus beralasan bahawa bukan sahaja Al-Qaeda itu kumpulan pengganas bahkan seluruh agama Islam itu sendiri.

Malah mereka menyalah al-Quran yang didakwa mereka sebagai mengandungi inti pati kepada keganasan.

Adakah ini bermakna mereka menganggap lebih satu bilion umat Islam sebagai musuh dunia (termasuk umat Islam di Amerika)?

Bukan itu sahaja elit berkuasa Barat ini membenci al-Quran dan Islam serta telah mencetus suatu sikap fobia Islam pula. Ini adalah suatu sikap ketakutan terhadap apa saja yang dikaitkan dengan Islam dan umatnya.

Kroni-kroni mereka seperti wartawan dari Itali, Oriana Fallaci melalui bukunya The Rage and the Pride telah memperlihatkan pandangan fobia Islam ini.

Adakah ini menunjukkan bahawa Barat sedang mengadakan suatu 'Perang Salib terhadap Islam'?

Keadaan ini masih berterusan meskipun para pemimpin mahukan perdamaian dan dialog antara agama. Adakah ini taktik kepura-puraan mereka sahaja?

Media Barat masih terus memberikan imej negatif terhadap Islam. Mereka bersama-sama dengan Zionisme akan menggunakan apa cara sekalipun untuk 'melaknat' Islam dan umatnya.

Manusia seperti David Horowitz dan Daniel Pipes sentiasa mencari jalan memburukkan Islam di mata dunia.

Para orientalis sememangnya sejak dari dulu lagi mengkaji malah menghafaz al-Quran semata-mata untuk menjatuhkan umat Islam, tetapi kita?

Mereka sekarang sedang menggunakan pelbagai cara sama ada lembut atau keras bagi menghapuskan al-Quran daripada muka bumi.

Hakikatnya yang ekstrem adalah Barat yang mengganas dan membenci Islam.

Senjata utama umat Islam iaitu bidang keilmuan dengan kefahaman mendalam tentang Islam serta mengguna pakai dalam kehidupan seharian.

Kita mesti lebih bertenaga, pantas dan kreatif dalam arus globalisasi yang semakin mencabar ini.

0 ulasan: