Khamis, 10 April 2008

Siapa penerima habuan negara kebajikan?


BELUM sampai sebulan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah pelbagai isu yang dahulunya ditentang habis-habisan kini menjadi agenda utama pentadbiran mereka.

Paling terbaru atas nama keadilan untuk semua kaum, projek ternakan babi di ladang yang dikatakan serba moden dan canggih bernilai RM100 juta bakal diteruskan dengan lokasinya di pintu masuk utama negara Sepang.

Dikatakan projek itu asalnya diluluskan oleh kepimpinan Menteri Besar terdahulu.

Soalnya jika sebarang projek boleh me- nimbulkan suasana kurang sihat kepada persekitaran dan masyarakat kenapa per- lu diteruskan?

Pandangan Teresa Kok apa salahnya membela babi sedangkan ia juga binatang ciptaan dan makhluk Tuhan memang tidak ada salahnya. Tetapi ini melibatkan soal sensitiviti dan pencemaran alam sekitar.

Apakah negara Taiwan dan Singapura yang majoriti penduduknya berbangsa Cina dikatakan tidak menghargai ciptaan Tuhan dengan tidak membela babi di negara mereka?

Demikian juga pelaksanaan dasar setinggan sifar di Lembah Klang jelas ibarat meludah ke langit terkena batang hi- dung sendiri. Saya masih ingat melalui tontonan Malaysiakini. TV, betapa hebat dan degilnya Tian Chua menahan surau dari diroboh.

Betapa hebat dan gagahnya barisan pejuang termasuk pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat mententeramkan penduduk setinggan di Kampung Berembang, dan Kampung Chubadak.

Namun atas perkiraan komersial kerana diulit oleh laba lumayan maka idealisme perjuangan membela golongan tertindas kononnya selama ini diperjuangkan oleh Pas, DAP mahupun PKR kini makin diketepikan.

Demikian juga pentadbiran DAP dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Kononnya dengan konsep tender terbuka tetapi hakikatnya padang permainan masih tidak sama rata.

Ini belum dihitung betapa gelojohnya pentadbiran pakatan rakyat di Perak dan Kedah yang atas nama populariti melakukan beberapa pembaharuan kononnya atas nama kepentingan rakyat. Tetapi manfaatnya jelas diperoleh golongan yang taksub dengan parti mereka.

Sebagai contoh pengedaran tiket menonton bola percuma antara Kedah dan Perak 23 Mac lalu, dikhabarkan akan di- buat melalui kaunter tiket Stadium Darul Aman, pukul 5 petang hari perlawanan.

Anehnya tiket percuma terlebih dahulu diedarkan melalui cawangan Pas di ka- wasan tertentu untuk ahli sahaja.

Ini belum dihitung betapa ghairahnya pembalak dari Kelantan yang atas nama kepartian dan ahli Pas begitu mudah mendapat konsesi balak dari kerajaan Pakatan Rakyat tunjangan Pas di Kedah.

Keadilan apakah ini? Demikian juga beberapa siri janji yang saya fikir akan hanya berakhir dengan janji kosong retorik politik semata-mata. Diuar-uarkan per- jumpaan Menteri Besar dengan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan institusi de- ngan seribu macam janji yang pihak Pa- katan Rakyat di Kedah sendiri tahu tidak akan tertunai.

Isunya, politik bukan sekadar melakukan beberapa retorik popular untuk bertahan dan mendapat sokongan rapuh.

Politik juga bukan usaha membalas dendam dengan menempatkan rakan-rakan di tempat strategik dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Hanya kerana mereka itu ahli Pas, ma- ka mudah dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif. Negara kebajikan dan prinsip keadilan Islam apakah yang dipakai?

Apabila penduduk kampung ditimpa musibah ribut wajarkah nilai RM10 diberikan sebagai bantuan segera kepada penduduk.

Apakah nilai dan ukuran penderitaan penduduk di Pokok Sena mahupun Jerlun yang ditimpa bencana itu hanya pada kadar RM10. Perjuangan Islam bentuk apakah yang diguna pakai oleh Pas.

Inilah kesalahan dan kekalahan sebenar yang menimpa pengundi kerana kononnya atas dasar mahu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional maka akhirnya dasar demi dasar yang dimajukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat bakal menghumban pengundi ke arah kemunduran.

BN perlu bingkas bangkit menuntut kerajaan pakatan rakyat di empat buah negeri untuk melangsaikan manifesto yang telah mereka janjikan.

– SOBRI SUDIN

Alor Star, Kedah.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: