Isnin, 7 April 2008

Dimensi baru politik Pemuda


PADA tahun 2004, Datuk Mukhriz Mahathir yang kini menjadi Ahli Parlimen Jerlun mencatatkan jumlah undi tertinggi dalam pemilihan Exco Pemuda UMNO Malaysia. Ketika itu, ramai beranggapan anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini mampu melangkah lebih jauh dalam pemilihan akan datang. Pada tahun yang sama juga, Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo memperoleh undi tertinggi bagi kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Itu persamaan antara mereka berdua pada tahun pemilihan selepas Pilihan Raya Umum Ke-11. Kini menjelang pemilihan UMNO pada Disember ini, juga selepas pilihan raya umum, mereka yang sama-sama datang dari negeri yang dikuasai parti lawan (Kedah dan Selangor) tampil dengan pendirian yang sama iaitu mahu menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Mereka mahu mengisi kekosongan yang bakal berlaku apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.

Tanpa mengira siapa pencabar dan bagaimana bentuk cabaran yang akan dihadapi, Mukhriz dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan ZAINU'L AZHAR ASH'ARI serta jurugambar ISMAIL KAMADIN di kediaman bapanya, di Titi Gajah, Alor Star mengulas mengenai hasratnya itu dan kepimpinan Pemuda yang ingin dibentuknya.

Begitu juga hasrat yang diluahkan oleh Mohamad Khir kepada wartawan ROZILAN SALLEH di Shah Alam pada Khamis lalu. Baginya jawatan itu kosong dan terbuka kepada sesiapa juga asalkan mereka bertanding secara sihat.


DATUK MUKHRIZ MAHATHIR


MUKHRIZ MAHATHIR

Mingguan: Kenapa Datuk menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO?

Mukhriz: Sebenarnya keputusan yang saya buat ini berasaskan kepada keputusan pilihan raya yang agak mengecewakan. Apatah lagi saya sendiri datang dari Kedah, negeri yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah dan di sebelah utara daripada empat negeri, tiga BN kalah. Keadaan itu menyebabkan kita berasa sedih dan marah kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Selain itu, apabila kita tengok di Parlimen Jerlun, contohnya, sokongan yang diterima dari kawasan yang dikuasai pengundi muda memang merosot. Ini membuktikan pendekatan yang kita lakukan bagi mendapat sokongan golongan itu bukan sahaja tidak berjaya tetapi gagal menyelesaikan masalah golongan muda.

Lebih buruk lagi, pengundi muda yang selama ini menyokong kita sanggup memberi undi kepada pembangkang. Ini memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena walaupun kita merasakan sudah melakukan yang terbaik. Oleh itu, saya berpendapat mungkin ada sesuatu yang boleh disumbangkan kepada UMNO melalui Pemuda di mana-mana peringkat.

Saya ingin memberi sumbangan bagi menyuburkan semula dan meremajakan UMNO, sebab kita tahu dalam pilihan raya akan datang, bilangan pengundi muda begitu signifikan. Jika pendekatan yang digunakan sekarang tidak berubah, kita akan terima padahnya.

Kenapa ketika hendak mengumumkan hasrat untuk bertanding, Datuk menyatakan ingin melihat pendirian Datuk Seri Hishammuddin dahulu?

Mukhriz: Hishammuddin adalah ketua pemuda, saya harus beri penghormatan untuk beliau membuat keputusan. Jadi selagi beliau tidak membuat pengumuman, selagi itulah saya tidak menawarkan diri tetapi oleh kerana beliau sudah menyatakan tidak akan mempertahankan jawatan itu, baru saya menyatakan minat.

Bagaimanapun pemilihan ini bergantung kepada pencalonan yang bakal diterima.

Apakah maklum balas yang Datuk terima selepas menyatakan hasrat untuk bertanding?

Mukhriz: Saya mendapat maklum balas yang positif daripada semua peringkat Pemuda. Mereka memberi galakan dan menyatakan hasrat untuk menyokong saya jika bertanding jawatan Ketua Pemuda. Mungkin apa yang mereka maksudkan sokongan itu akan diberikan dalam bentuk pencalonan.

Datuk dilihat terlalu lantang selepas pilihan raya, tidakkah Datuk bimbang sikap seumpama itu akan menjejaskan sokongan dalam Pemuda?

Mukhriz: Saya tidak berharap akan mendapat sokongan seratus peratus kerana sudah menjadi kelaziman dalam demokrasi, mesti ada perbezaan pendapat dan calon pilihan masing-masing. Bagaimanapun bagi saya, itu adalah sesuatu yang positif kerana saya berharap dalam pemilihan kali ini, kita akan bersikap terbuka. Ertinya, menentukan siapakah yang akan kita tonjol sebagai calon dan memastikan berlaku persaingan yang sihat serta menolak amalan yang merosakkan parti.

Seperti Datuk katakan, golongan muda menolak BN dalam pilihan raya lalu. Jika Datuk menjadi Ketua Pemuda apakah sumbangan yang boleh diberikan bagi mengatasi masalah ini?

Mukhriz: Saya akan berusaha untuk meyakinkan golongan muda bahawa Pemuda dan UMNO adalah relevan. Dahulu kita sudah berusaha ke arah itu tetapi mungkin tidak mencapai tahap untuk memberi keyakinan kepada mereka untuk terus menyokong kita. Saya terkejut apabila diberitahu golongan muda yang sebelum ini menyokong UMNO, begitu ramai secara terbuka mengaku kali ini mengundi pembangkang. Malahan yang Melayu pun mengundi DAP.

Saya berhasrat menjadikan Pemuda sebagai golongan yang benar-benar faham apakah masalah yang dihadapi oleh golongan muda dan menentukan bentuk sumbangan yang boleh diberikan bagi menyelesaikannya.

Ada pandangan menyatakan salah satu faktor ialah Pemuda tidak begitu mendengar suara akar umbi?

Mukhriz: Sebenarnya terdapat banyak faktor tetapi apa yang paling ketara iaitu sikap tidak boleh berbincang atau bercakap. Saya tidak tahu apa sebab mungkin kerana takut atau sebagainya di mana perkara yang penting bagi rakyat khususnya orang muda kita tidak dikemukakan dalam mesyuarat Pemuda.

Kita tidak memberi peluang kepada Pemuda sama ada di peringkat cawangan, bahagian malahan exco untuk menyatakan sesuatu, seolah-olah pandangan mereka tidak dianggap penting. Kita tidak boleh biarkan keadaan di mana rakyat bercakap lain dan kita bercakap lain.

Kalau sikap seumpama ini diteruskan iaitu kita bukan sahaja tidak mendengar cakap rakyat tetapi juga menidakkan hasrat mereka, lama-kelamaan, Pemuda dan UMNO bukan sahaja dilihat tidak relevan tetapi juga akan hilang kepercayaan daripada rakyat.

Walaupun menjadi exco Pemuda dan Ahli Parlimen tetapi Datuk dilihat membawa suara Dr. Mahathir?

Mukhriz: Saya tidak boleh lari daripada tanggapan itu kerana saya anak Tun. Walaupun saya beri pandangan peribadi yang tidak pun dibincangkan dengan beliau namun orang akan anggap itu sebenarnya suara bapa saya. Tetapi kadang-kadang kami ada perbezaan pendapat, contohnya baru-baru ini Tun kata, dalam pemilihan Presiden biarlah ia terbuka dan tidak semestinya Datuk Seri Najib memegang jawatan berkenaan. Saya berkeras menyatakan tetap menyokong Najib. Itu ada perbezaan antara kami. Tetapi saya tidak berasa aneh atau segan kalau dalam banyak perkara pendirian saya sama dengan ayah. Saya percaya bahawa apa yang beliau bangkitkan itu betul untuk UMNO dan BN.

Apakah kelantangan dan keberanian Datuk sekarang akan diteruskan jika memimpin Pemuda ?

Mukhriz: Ya, saya akan teruskan kerana apa yang perlu kita fahami, dalam pilihan raya umum akan datang, jumlah atau peratusan pengundi daripada golongan muda adalah 55 peratus daripada kseluruhan pengundi. Maknanya mereka akan menjadi majoriti. Oleh itu ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita mesti memainkan peranan sebagai penyalur maklumat kepada pucuk pimpinan apa masalah yang golongan muda hadapi dan apa yang mereka hendak tengok berlaku dalam UMNO dan kepimpinan kita.

Justeru dalam soal ini kita harus berani menyatakan kebenaran. Erti jika kepimpinan negara di bawah UMNO dan BN tidak menepati cita rasa dan inspirasi golongan muda, maka ia menjadi tugas Pemuda untuk berani menyampaikan maklumat itu kepada pucuk pimpinan.

Pada masa ini saya berasa kecewa kerana seharusnya UMNO sebagai sebuah parti yang terbesar, sudah tentu mempunyai kelebihan berbanding parti lain dalam menyampaikan maklumat dan mengetahui dengan pantas apa sentimen di peringkat akar umbi.

Jika keadaan tidak mendengar suara akar umbi ini terus berlaku, lama-kelamaan orang malas pergi mesyuarat. Di Kubang Pasu sendiri contohnya, sudah tiga tahun berturut-turut dalam mesyuarat agung tahunannya, ketua-ketua cawangan di semua peringkat bercakap mengenai pelbagai isu terutama ekonomi. Mereka berasa sekarang ini susah hendak cari makan, saya percaya keadaan ini juga berlaku di bahagian-bahagian lain.

Berdasarkan kepada keadaan selepas pilihan raya, bagaimanakah bentuk Pemuda yang bakal Ketua Pemuda baru akan warisi daripada Hishammuddin?

MUKHRIZ: Saya fikir Pemuda sekarang sudah ada kesedaran bahawa apa yang kita lakukan selama ini mungkin tidak cukup. Sebab itu kita dilihat kurang relevan. Oleh itu semua ahli Pemuda harus menolak sindrom kejar kontrak, sindrom kejar jawatan atau sindrom hendak raih sokongan daripada pemimpin tertentu, kalau kita hendak kekal relevan. Saya fikir di peringkat Pemuda selepas pilihan raya, sudah wujud semangat memperbetulkan keadaan. Ini termasuklah mengaku bahawa kita tidak memberi ruang kepada golongan muda berpendidikan tinggi tetapi mempunyai semangat kemelayuan untuk berada dalam parti.

Orang yang macam itu kita tidak beri ruang untuk membolehkan dia memainkan peranan dalam Pemuda di peringkat cawangan dan bahagian. Apabila ini berlaku, kecenderungan mereka untuk lari ke Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang besar.

Selain membina semula kekuatan Pemuda, apa lagi yang mendorong Datuk hendak bertanding?

MUKHRIZ: Saya hendak galakkan Pemuda untuk terlibat dalam politik tetapi politik dalam erti kata sebenar, bukan untuk mengejar jawatan. Bila berebut jawatan sudah tentulah ada agendanya, takkanlah kita hendak rebut jawatan yang kita tahu ada tanggungjawab berat yang harus dipikul oleh orang yang menyandangnya. Jadi kita hendak tarik orang muda masuk Pemuda yang faham bahawa politik sebenar adalah politik untuk menjaga kepentingan rakyat. Malangnya sekarang, sebut sahaja politik, orang akan membuat andaian yang kurang baik.

Adakah Datuk sudah bersedia atau berasa risau memikirkan siapa pencabar nanti?

MUKHRIZ: Perasaan risau hanya akan timbul apabila kita takut kepada kekalahan. Saya tidak pernah berasa takut kepada kekalahan malahan saya pernah merasai kekalahan. Kalah dan menang itu, saya terima sebagai adat dalam politik. Contohnya, saya pernah kalah ketika merebut jawatan Ketua Pemuda Bahagian.

Datuk juga akan berhadapan dengan sistem kuota bagi mendapat pencalonan?

MUKHRIZ: Bagi saya sebenarnya kuota ini memberi kelebihan yang tidak adil kepada penyandang. Contohnya dalam Majlis Tertinggi (MT), kita hendak tonjol muka-muka baru, mungkin orang itu tidak berjawatan tinggi dalam parti sekadar di peringkat bahagian, tetapi semangat, kebolehan dan kemampuan dia bagus, tetapi kalau ada kuota macam mana dia hendak perkenalkan diri bagi memperoleh pencalonan yang cukup?

Sejarah pemilihan UMNO membuktikan bahawa pelbagai taktik akan digunakan termasuklah wang, adakah Datuk bersedia menghadapi situasi itu?

MUKHRIZ: Saya sebenarnya berhajat untuk menulis surat kepada Setiausaha Agung UMNO hendak minta penjelasan mengenai peraturan pemilihan kali ini. Saya hendak tahu dengan lebih jelas apakah sebenarnya yang dibolehkan dan apa yang tidak boleh serta contoh-contohnya. Kalau tidak beri contoh ini akan mengelirukan mereka yang bertanding.

Harapan Datuk kepada Pemuda masa depan?

MUKHRIZ: Saya mahu barisan kepimpinan Pemuda yang benar-benar faham untuk menghuraikan apa keadaan di kalangan orang muda sekarang ini dan apa masalah yang mereka hadapi serta bagaimana kita hendak menanganinya. Kita mahu apabila timbul sesuatu isu, barisan Pemuda mampu menjelaskan dengan penuh yakin dan jelas macam mana kita hendak tanganinya.


MOHAMAD KHIR TOYO


DATUK SERI DR. MOHAMAD KHIR TOYO

Mingguan: Apa yang membuatkan Datuk Seri berhasrat bertanding Ketua Pemuda UMNO?

MOHAMAD KHIR: Saya telah mendapatkan maklum balas daripada rakan-rakan Pemuda dan sampai hari ini nampaknya maklum balas itu cukup baik dan jika mendapat sokongan yang cukup, pasti saya akan menawarkan diri saya untuk memimpin Pemuda pada masa akan datang. Memandangkan umur saya pun baru 43 tahun, jadi dengan pengalaman saya dalam Pemuda dulu dan mentadbir Selangor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tujuh tahun dan ahli Majlis Tertinggi (MT), saya rasa saya boleh memberikan satu dimensi baru kepimpinan Pemuda dalam kita menghadapi masalah politik hari ini.

Apa pandangan Datuk Seri mengenai calon lain seperti Datuk Mukhriz yang menawarkan diri untuk bertanding dan mungkin juga Khairy Jamaluddin?

MOHAMAD KHIR: Sebab jawatan ini dikosongkan dan terbuka, kita mengalu-alukan pertandingan secara sihat dan saya harap dengan adanya pertandingan ini lebih mematangkan lagi anggota Pemuda kita dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

Tidakkah Datuk Seri berhasrat berkompromi dengan mana-mana calon?

MOHAMAD KHIR: Buat masa ini elok kita biarkan secara terbuka kerana kalau Pemuda tidak dilatih untuk berkempen dan bertanding, saya bimbang nanti keupayaan kepimpinan akan terjejas. Kalau kita boleh atur kempen secara sihat di kalangan Pemuda dan kita boleh melatih calon-calon untuk bercakap, berkomunikasi, berdialog dan berbahas, ini akan memberikan kelebihan kepada Pemuda pada masa akan datang.

Ini juga yang disebut-sebut bila mana kurangnya komunikasi antara Pemuda dengan kepimpinan yang menyebabkan masalah-masalah kerenggangan ditimbulkan secara begitu hebat sekali oleh akar umbi. Saya rasa eloklah dibuka dan kita hendak bertanding secara sihat, biar Pemuda menentukan kepimpinannya pada masa akan datang dan kita harap yang bertanding juga tidak memburuk-burukkan antara satu sama lain, elok kita bertanding secara sihat.

Sebagai ahli MT yang mendapat undi tertinggi sebelum ini, tidakkah Datuk Seri berhasrat bertanding jawatan lebih tinggi lagi?

MOHAMAD KHIR: Saya merasakan saya mampu memberi dimensi baru kepada kepimpinan Pemuda.

Adakah Datuk Seri meminta restu daripada kepemimpinan tertinggi UMNO?

MOHAMAD KHIR: Jawatan ini terbuka, sesiapa sahaja boleh bertanding, saya harap pucuk pimpinan faham.

Bagaimana gandingan Datuk Seri untuk Naib?

MOHAMAD KHIR: Kita akan lihat dalam proses penamaan calon, ini akan dilihat dan cuba dapatkan yang terbaik bagi Pemuda.

Tidakkah pertandingan ini akan menimbulkan masalah kepada parti?

MOHAMAD KHIR: Tidak ada, kita selalunya terlalu negatif bila ada pertandingan, takut perpecahan tetapi dalam sejarah UMNO, selepas ada pertandingan, kita jadi kuat, ini kita kena tengok pertandingan itu baik jika ia disusun dan tidak berlaku fitnah-memfitnah, tidak berlaku serangan peribadi, kita hendak bercakap tentang visi, misi dan keupayaan kepimpinan, ini penting, selain itu kita kena juga bawa isu-isu yang dibangkitkan di peringkat bawahan, ini yang paling penting sekali.

Selain Ketua Pemuda, adakah Datuk Seri berhasrat bertanding jawatan lain seperti MT?

MOHAMAD KHIR: Setakat ini saya rasa kalau lihat daripada sokongan yang baik, saya akan pergi (bertanding) untuk (Ketua) Pemuda sahaja.

Bagaimana dengan sokongan Pemuda sendiri, sejauh mana kekuatan sokongan itu?

MOHAMAD KHIR: Saya sedang mengumpul data-data ini, bagi saya, saya tidak asing bagi Pemuda kerana saya memang dari kilang Pemuda.

Selangor tewas kepada pembangkang dalam pilihan raya umum tetapi Datuk Seri mahu bertanding jawatan tertinggi dalam Pemuda. Tidakkah persepsi melihat Datuk Seri gagal mempertahankan negeri daripada dirampas parti pembangkang?

MOHAMAD KHIR: Saya tidak nampak kerana masalah itu bukan di Selangor sahaja, ini tsunami politik peringkat kebangsaan, bukan Selangor sahaja kalah. Kita (BN) kalah di enam negeri sebenarnya dan isu-isu yang dibangkitkan selepas ‘post-mortem’ kita buat ialah kebanyakannya isu-isu peringkat nasional, saya sendiri dapat majoriti yang lebih tinggi daripada pilihan raya umum yang lepas.

UMNO Selangor menang 18 kerusi, kalau hendak kata UMNO Selangor tidak ditadbir dengan baik, saya rasa kita telah menang 18 kerusi, kita kalah kerana masalah inflasi, ekonomi, masalah antara agama yang tidak diselesaikan, jadi Pemuda akan fikirkan perkara-perkara ini pada masa akan datang.

Apa peranan Pemuda dalam hal ini?

MOHAMAD KHIR: Kita kena ada satu dasar yang jelas tentang agihan ekonomi, tiap-tiap lapisan masyarakat umpamanya dan ia perlu adil kepada semua kaum, masalah antara agama yang tidak diselesaikan dengan jelas, yang menyebabkan hati orang Melayu Islam terluka. UMNO dilihat tidak memperjuangkan orang Melayu secara jelas, jadi perkara-perkara inilah yang patut dibincangkan oleh Pemuda sebagai pewaris kepimpinan pada masa akan datang.

Sebab itu saya katakan bahawa masalah yang ada hari ini ialah reform yang kita buat bukan sahaja di peringkat parti tetapi di peringkat kerajaan. Hari ini bukan sahaja di kalangan orang Melayu tidak gembira dalam pilihan raya lepas, tetapi orang Cina dan India juga tidak mengundi BN. Jadi kajian menyeluruh perlu dibuat, masalah pokok agihan ekonomi kita bukan sahaja mahu melihat sama rata tetapi juga diberi peluang ikut kelompok-kelompok masyarakat, bawahan berapa peluang pekerjaan yang perlu diberi kepada mereka, kelompok pertengahan dan bagaimana mahu lahirkan usahawan di bidang perkhidmatan.

Rakyat memiliki peluang perniagaan lebih luas, disusun bukan sahaja ikut kelompok tetapi juga bangsa, berapa banyak diberi kepada orang Melayu, Cina dan India secara lebih objektif. Ini perlu diselesaikan kalau ada sistem lebih baik, rakyat mahu melihat kerajaan lebih telus mahu menyelesaikan masalah. Sebab itu saya cadangkan kita adakan jawatankuasa khas tertinggi, melihat balik dasar-dasar ini agar memberi kepuasan kepada rakyat.

Masalah kepimpinan akan diselesaikan selepas masalah ini selesai, sokongan rakyat kembali bila rakyat semua merasakan masalah mereka hari ini diambil kira dan diberi perhatian oleh kerajaan.

Mengenai Selangor, adakah Datuk Seri menduga akan terjadi seperti ini, jatuh kepada pembangkang?

MOHAMAD KHIR: Saya sebenarnya menjangkakan kita akan kalah dalam 15 kerusi, tetapi tidak sangka sampai hilang negeri dan ia di luar jangkaan. Ini kehendak rakyat kita kena terima. Kalau hendak cari silap memang banyak tetapi sekarang adalah masa untuk membetulkan keadaan dan kembali kepada realiti.

Saya tidak sedih hilang jawatan tetapi saya sedih kerana kuasa Melayu sudah terhakis di negeri Selangor.

Datuk Seri yakin pembangkang boleh teruskan apa yang sudah BN laksanakan sebelum ini?

MOHAMAD KHIR: Saya harap mereka boleh teruskan seperti pengurusan kewangan dan anak syarikat kerana semuanya berada dalam keadaan baik. Saya tidak mahu nanti selepas lima tahun, rosak semua, saya harap mereka akan penuhi janji mereka dalam manifesto.

Rakyat Selangor undi pembangkang kerana manifesto yang begitu baik. Oleh itu tugas saya sebagai pembangkang saya nak pastikan rakyat Selangor mendapat apa yang sewajarnya menjadi hak mereka.

Kalau mereka tunjuk prestasi baik, mungkin rakyat akan terus memilih mereka?

MOHAMAD KHIR: Sebenarnya bukan masalah prestasi yang menjadi isu ketika itu tetapi masalah perasaan. Kalau hendak kata membangun, Selangor membangun. Tetapi tidak ada satu pun kerajaan yang boleh memenuhi kehendak semua rakyat. Apa pun keputusan yang diambil, walaupun ia bagus, dia tidak akan menggembirakan semua orang.

Sebagai ketua pembangkang, apa pendekatan yang hendak digunakan?

MOHAMAD KHIR: Saya akan bantu mereka untuk melaksanakan semua manifesto. Kita bagi mereka ‘honeymoon’ 100 hari selepas itu, kita hendak tanya bila hendak laksanakan dan bagaimana pelaksanaannya. Itu sudah jadi hak rakyat, jadi kita akan bantu mereka. Kita akan hantar nama-nama rakyat terlibat kepada Menteri Besar bagi mengurangkan bebanan mereka.

Kalau mereka mampu alhamdulillah, tetapi kalau tidak, lakukan pendekatan berani dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan buat pilihan raya sekali lagi. Saya jumpa ramai pengundi Selangor, mereka undi pembangkang kerana manifesto cukup cantik yang mereka tak terdaya untuk menolak. BN tidak dapat laksanakan apa yang mereka janjikan. Jadi kalau mereka boleh buat, alhamdulillah.

Kita mahu realiti kerana ia termaktub dalam manifesto mereka. Kita hendak pastikan akhirnya pembangunan dibuat, ketelusan diamalkan dan saya harap Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dilibatkan kerana itu yang saya lakukan dahulu termasuk dalam soal tender.

Rakyat Selangor jangan bimbang kerana saya sebagai ketua pembangkang akan memastikan mereka mendapat apa yang telah menjadi hak mereka dalam manifesto.

Apa yang baik untuk Selangor kita akan sokong, janganlah mereka buat baik pun kita bangkang, saya bukan pembangkang macam mereka dahulu, saya lebih objektif. Yang baik kita sokong, yang tak baik kita tegur. Kerja saya jadi lebih mudah kerana banyak janji mereka ucapkan. Kita hanya hendak tagih sahaja.

Kami pembangkang seramai 20 orang sentiasa berbincang bagaimana untuk menjadi pembangkang yang baik. Kami tidak mahu bangkang membuta tuli. Kita hendak menjadi pembangkang yang berpengetahuan, objektif dan berakhlak.

Apa matlamat Datuk Seri selepas ini?

MOHAMAD KHIR: Saya akan terus berjuang dalam UMNO dan saya akan mengambil peranan untuk merapatkan UMNO. Saya akan bercakap supaya UMNO ini bukan sahaja dilihat tetapi sememangnya memperjuangkan nasib orang Melayu dalam bidang agama, pendidikan dan ekonomi.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: