Rabu, 16 April 2008

Minda Lestari: 5 pilihan atasi polemik ternak babi


Bersama Prof Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

Kegagalan penguatkuasaan punca industri jejas alam, berkembang secara haram

SUDAH sekian lama isu ladang ternakan babi menjadi polemik masyarakat Malaysia khususnya Melayu. Polemik ini menjadi sensitif dengan adanya pengaruh politik dan sentimen agama. Sejak kebelakangan ini, faktor alam sekitar dan keharmonian kaum pula memanaskan keadaan.

Secara umumnya, ladang ternakan babi adalah keperluan untuk membekalkan makanan kepada orang bukan Islam, khususnya Cina. Sejak sekian lama ternakan babi sinonim dengan penempatan Cina di luar bandar. Biasanya babi diternak secara kecil-kecilan untuk keperluan keluarga dan selebihnya dijual ketika musim perayaan.

Namun demikian, keadaan berubah sejak kira-kira 20 tahun lalu. Penternakan babi tidak lagi dijalankan secara kecil-kecilan tetapi berkembang menjadi industri penting membekalkan makanan keperluan penduduk tempatan. Hal ini digiatkan lagi apabila Singapura mengenakan peraturan alam sekitar yang sangat ketat terhadap aktiviti ternakan babi di negara itu.


Akibatnya banyak pengusaha industri babi dari Singapura memindahkan ladang dengan melabur di Malaysia. Dari segi ekonomi, pelaburan itu memang menguntungkan. Itulah sebabnya keluasan ladang dan jumlah babi agak ketara di Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Selangor berbanding 30 tahun lalu.

Sebagai contoh, menurut laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Haiwan Perak (http://www.jphpk.gov.my), jumlah babi mengikut negeri pada tahun lalu adalah seperti berikut: Selangor (264,510), Perak (489,090) ), Pulau Pinang (296,230) Johor (294,810) dan Melaka (150,870).

Tiada ternakan babi didaftarkan di Terengganu manakala jumlah babi didaftarkan di Negeri Sembilan menurun dengan mendadak dari 659,730 (1996) kepada 1,910 ekor (1999) selepas peristiwa wabak penyakit akibat virus Japanese Encephalitis dan virus Nipah melanda di Bukit Pelanduk. Pada 2007, hanya 1,200 ekor diternak di Negeri Sembilan.

Menyedari realiti itu, banyak inisiatif dilakukan untuk memastikan aktiviti ternakan babi dijalankan dengan sempurna bagi mengurangkan risiko kesihatan awam, pencemaran alam sekitar dan sensitiviti pelbagai pihak. Memang babi menjijikkan bagi orang Islam, sesuai dengan pengharamannya dalam Surah Al-Baqarah ayat 173. Hukumnya najis mughallazah, iaitu najis berat yang bukan saja perlu disamak jika bersentuhan bahkan sinonim dengan hal terlarang sama ada diternak, dijual apatah lagi dimakan.

Pengharaman itu mewarnai perspektif orang Islam dalam konteks politik ladang ternakan babi. Sehubungan itu setiap pihak, sama ada dari Umno, PKR apatah lagi Pas memang berhati-hati menangani isu berkaitan babi. Dalam hal ini, prinsip Islam jelas bahawa bukan Islam diharuskan menternak babi untuk keperluan makanan dan ekonomi mereka. Hal ini sesuai dengan sifat toleransi Islam terhadap orang bukan Islam dan dasar negara mengutamakan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Pada hemat saya, isu utama penternakan babi, khususnya dalam konteks di Kuala Langat dan Sepang, merangkumi tiga dimensi. Pertama, sensitiviti agama dan kaum. Seperti ketetapan ajaran Islam, orang Islam tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk menternak babi. Namun demikian ladang ternakan itu mestilah tidak mengganggu penduduk sekitarnya apatah lagi orang Islam yang jijik dengan apa saja berkaitan babi.

Kedua, keperluan orang bukan Islam untuk menternak babi secara sah, teratur dan terancang di lokasi sesuai. Pada 2006, ada kira-kira 900 ladang menempatkan 1.8 juta ekor babi. Jumlah ini jauh kecil berbanding Thailand dengan 11.5 juta.

Di Selangor saja, seluas 440 hektar ladang babi berselerak di banyak tempat. Sebahagian besar aktiviti ternakan itu dijalankan di atas tanah yang tidak jelas statusnya. Malah banyak ladang babi tidak didaftarkan.

Hal ini mudah difahami kerana pihak berkuasa tempatan menghadapi kesukaran untuk meluluskan ladang ternakan babi yang diusahakan secara kecil-kecilan, apatah lagi jika tidak dilengkapkan dengan kemudahan dan teknologi mesra alam. Akhirnya ladang-ladang itu terus berkembang dan penguatkuasaan undang-undang tidak dijalankan sebaiknya.

Ketiga, permodenan industri penternakan babi tidak mesra alam disebabkan ketidakpastian dari segi status tanah dan perniagaan. Tidak ada penternak yang berani melabur beratus juta ringgit jika pihak kerajaan tidak memberi kepastian dari segi lesen dan status tanah. Inilah sebabnya teknologi pelupusan buangan ladang ternakan babi masih menggunakan kaedah lama yang tidak mesra alam, iaitu kolam penstabilan sisa (WSP).

Sebagai alternatif, banyak teknologi baru dikembangkan dengan konsep kaedah sifar buangan (zero discharge). Menerusi konsep ini, semua bahan buangan akan dirawat menggunakan teknologi reaktor anaerobik tertutup yang dapat mengurangkan masalah bau dan lalat, menghasilkan biogas dan enap cemar yang boleh dijadikan kompos. Teknologi ini sudah digunakan dengan meluas di banyak negara maju, malah di Thailand dan Taiwán.

Pada hemat saya, kita ada lima pilihan untuk menangani masalah penternakan babi di Malaysia.



Kelima-lima pilihan ini perlu dikaji segera. Semakin ditangguh semakin mencemarkan alam sekitar, bahkan menggugat keharmonian kaum. Sehubungan itu dasar jelas perlu diputuskan, disusuli tindakan dan pelaksanaan sewajarnya.

Realiti politik memang perlu ditangani tetapi semua pihak sebenarnya mendapat manfaat jika isu penternakan babi dapat diselesaikan dengan teratur, terancang dan mesra alam. Barisan Nasional sebenarnya mendapat pulangan paling besar kerana perancangan ladang ternakan berpusat dilakukan sejak lebih lima tahun lalu bukan saja di peringkat kerajaan Pusat bahkan di peringkat negeri.

Kerajaan Selangor pula terpaksa melaksanakan perancangan lalu. Rakyat khususnya bukan Islam akan mendapat manfaat dengan industri penternakan babi yang dijalankan secara kompetitif, berdaya maju, menjaga sensitiviti semua pihak, bersih dan mesra alam sekitar.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia, dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia

Sumber Berita Harian

0 ulasan: