SETIAP kali berada di Pulau Pinang penulis tidak jemu-jemu ke muzium. Menyelami sejarah silam yang tidak akan kembali lagi.
Sejarah menunjukkan bahawa sebelum kedatangan Francis Light orang Melayu telah mendiami Pulau Pinang. Mereka datang dari Aceh dan Kedah. Bekerja sebagai nelayan dan pedagang.
Fakta ini jelas menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang Pulau Pinang tidak berpenduduk sebelum kedatangan Francis Light.
Sejarah memberitahu kita, orang Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum imigran yang datang kemudiannya.
Akhirnya tanah-tanah mereka habis terjual. Kini hanya terdapat beberapa nama jalan dan rumah-rumah peninggalan sebagai bukti kewujudan mereka.
Selain daripada itu, bukti kewujudan orang Melayu adalah melalui tanah-tanah wakaf yang semakin lama semakin terhakis. Tanah-tanah wakaf ini menjadi harta terakhir orang Melayu.
Tanah-tanah orang Melayu Pulau Pinang semakin terhakis ekoran pembangunan pulau itu dalam lingkungan empat puluh tahun lalu.
Mereka sengaja atau terpaksa menjual tanah-tanah untuk memberi laluan kepada rumah-rumah mewah atau pangsapuri.
Lantaran itu Pulau Pinang semakin berkurangan tanah-tanah Melayu. Dengan wang hasil jualan tanah, mereka berpindah ke Seberang Perai atau ke Kedah.
Sedangkan tanah-tanah Melayu yang masih tinggal hanya menunggu masa untuk terlepas kepada pemaju-pemaju perumahan yang sanggup membayar harga yang tinggi.
Hari ini jumlah orang Melayu di Pulau Pinang (pulau) kurang daripada 15 peratus.
Penulis membangkitkan isu ini kerana masalah tanah telah lama menjadi duri dalam daging orang Melayu Pulau Pinang.
Malahan nasib masa depan orang Melayu Pulau Pinang yang tidak menentu merupakan salah satu sebab kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.
Kini seolah-olah wujud satu garis pemisah yang luas antara Pulau Pinang dan Seberang Perai. Kalau di Pulau Pinang sebahagian besar penduduknya orang Cina, di Seberang Perai pula majoritinya Melayu.
Seolah-olah wujud satu negeri dua sistem. Macam Hong Kong dan Tanah Besar.
Sebahagian besar orang Melayu tinggal di beberapa kampung Melayu terpencil dan dihimpit dengan pangsapuri atau rumah-rumah mewah. Tidaklah diketahui berapa lama lagi mereka boleh bertahan.
Kini terdapat projek pembinaan beberapa projek pangsapuri mewah yang menelan belanja daripada RM1.8 juta hingga RM2.3 juta.
Begitu juga dengan rumah-rumah banglo berharga RM2.3 juta ke atas.
Namun tidak semua orang Cina Pulau Pinang yang kaya-raya. Matlamat pembinaan rumah-rumah dan pangsapuri mewah itu dikatakan dituju kepada rakyat asing khususnya rakyat Singapura dan Indonesia.
Perbuatan sabotaj dikenal pasti sebagai faktor utama kekalahan BN dan UMNO di beberapa negeri.
Namun di Pulau Pinang bukan setakat tidak sukakan calon tetapi lebih daripada itu. Ia berkaitan dengan hidup mati orang Melayu Pulau Pinang.
Nasib orang Melayu Pulau Pinang lebih buruk daripada kaum India. Sekurang-kurangnya orang India mempunyai syarikat teksi yang memonopoli perkhidmatan di beberapa buah hotel. Sedangkan hendak mencari restoran Melayu (di bandar raya George Town) pun susah.
Darii segi kualiti hidup ternyata Pulau Pinang melebihi Seberang Perai. Ini termasuklah kualiti air dan perkhidmatan seperti pemungutan sampah dan pembersihan longkang.
Keadaan agak berlainan di Seberang Perai. Di sebuah taman perumahan terbesar di Kepala Batas, penduduk-penduduk taman tersebut dibekalkan dengan perkhidmatan berkualiti rendah.
Air paipnya berwarna coklat. Setiap kali hendak mandi terpaksa membuang berpuluh-puluh gelen sebelum mendapat air yang boleh digunakan untuk mandi atau membasuh kain baju. Ini berlaku setiap hari.
Menurut penduduk tempatan, keadaan tersebut berterusan sejak bertahun-tahun lalu.
Di samping itu, longkang tidak dicuci mengikut jadual serta sistem pemungutan sampah yang tidak teratur. Longkang yang bertakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk. Sementara tong sampah terbuka mengeluarkan bau busuk.
Sedangkan di papan tanda dengan jelas tertera hari-hari dan kekerapan kerja-kerja pembersihan dan pengangkutan sampah setiap minggu. Jelas sekali kontraktor (bumiputera?) tidak menjalankan tugas dengan serius. Sebahagian besar daripada penduduk adalah orang Melayu.
Hairan perkara seumpama ini terjadi di tempat kelahiran Perdana Menteri sendiri.
Anehnya setiap petang kelihatan kanak-kanak dan pekerja-pekerja asing memancing ikan di longkang-longkang yang hitam airnya.
Mungkin ikan-ikan dari longkang yang penuh dengan kekotoran termasuk sisa-sisa minyak dari stesen basuh kereta itu untuk dijual kepada orang ramai.
0 ulasan:
Catat Ulasan