Sabtu, 12 April 2008

Dakwah di pejabat wajar kuat intelektual


Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Sumber Berita Harian

BERDAKWAH boleh difahami sebagai usaha mengajak orang lain mendekati Allah, menyeru mereka ke arah kebenaran dan seterusnya dapat mengikut apa yang digariskan dalam ajaran Islam. Dakwah adalah suatu usaha mengajak manusia melaksanakan 'amal makruf dan nahi mungkar'.

Dr Sayyid Muhammad Nuh menjelaskan dengan terperinci dalam bukunya 'Taujihat Nabawiyyah 'Ala al-Thariq' mengenai konsep amal makruf dan nahi mungkar. Al-makruf adalah konsep yang mencakupi semua perkara atau amalan yang diterima dan diredai Allah.

Contohnya, ibadat khusus seperti solat, berpuasa, berzakat dan ibadat umum seperti adil, mematuhi undang-undang, amanah, mengotakan janji, dan 'iffah' yang bermaksud mencela diri daripada perkara haram.


Maka amal makruf bermaksud mengajak atau mendorong orang lain untuk melaksanakan amalan mulia yang khusus dan umum demi kesejahteraan diri, masyarakat dan mendapatkan keredaan-Nya.

Al-Mungkar pula, suatu konsep yang mencakupi semua amalan tidak diredai dan dibenci Allah merangkumi segala perbuatan zahir dan batin seperti riak, hasad dengki, bermusuh-musuhan, meninggalkan ibadat khusus, mencuri, berzina, khianat dan berbohong.

Maka nahi mungkar difahami sebagai memperingatkan, mengajak orang lain untuk mengelak dan membersihkan diri daripada melaksanakan kemungkaran serta amalan keji yang mengundang kemurkaan-Nya.

Dalam dunia pekerjaan, seorang Muslim bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak kiralah apa kategori pekerjaan, sama ada di pejabat berhawa dingin, tapak pembinaan hatta di ladang dan sawah sekalipun, tanggungjawab sebagai pendakwah terletak di bahu kita.

Selaras firman Allah yang bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Usaha berdakwah di tempat kerja jangan disalahertikan dengan pengertian yang sempit. Dakwah bukan bermaksud mengajak manusia melupakan tanggungjawab bekerja dan melaksanakan amal ibadat khusus semata-mata.

Bekerja itu sendiri adalah satu amal ibadat apa lagi jika ia diniatkan kerana Allah dan dilaksanakan dengan penuh amanah, fokus serta ikhlas. Usaha dakwah jangan ditafsirkan sebagai 'hendak tunjuk alim' atau 'hendak tunjuk pandai'.

Jika begitu, semua orang akan takut untuk berdakwah kerana seorang pendakwah tidak mahu dipandang sebagai penyibuk, manakala yang menerima dakwah pula berasa tidak selesa dan menganggap konteks dakwah sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat.

Sesungguhnya Allah menjanjikan bahawa seseorang yang berdakwah ke jalan Allah akan mendapat balasan setimpal dengan usahanya seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Sebagai pendakwah dalam konteks dunia pekerjaan, seseorang itu perlulah terlebih dulu memperlengkapkan dirinya supaya usaha dakwahnya menjadi sempurna. Tidaklah nanti orang lain mengatakan, nak betulkan orang lain, diri sendiri pun tunggang-langgang.

Akhlak dan keperibadian diri yang baik perlu dibentuk dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan terbaik. Kejayaan Rasulullah SAW dalam usaha dakwah hingga berjaya menarik minat kaum keluarga, sahabat dan umat manusia zaman jahiliah bertitik tolak daripada keperibadian Baginda SAW yang teguh keimanan, cukup berlemah-lembut, molek budi pekerti dan tutur bicaranya.

Pendakwah juga perlu memiliki kekuatan intelektual dan spiritual supaya dirinya sendiri arif akan apa yang hendak disampaikan dan orang yang menerima dakwah turut faham dan mudah untuk mengikut dakwahnya.

Jika pendakwah tidak mampu memahami dan menguasai ilmu mengenai ajaran Islam, ditakuti usaha dakwahnya akan menjadi sia-sia dan diperlekehkan orang yang cuba didekati itu.

Bahkan, yang lebih ditakuti adalah apabila yang cuba disampaikan itu tidak selaras dengan perspektif Islam dan boleh memesongkan fahaman orang lain terhadap kesyumulan ajaran Islam.

Berdakwah di tempat kerja bukan sesuatu yang sukar kerana banyak kaedah dakwah boleh diguna pakai seperti penulisan, perbualan, mahupun perbuatan untuk menarik minat dan kesedaran orang lain terus berpegang teguh kepada syariat Islam.

Contohnya, ringankan mulut menegur rakan yang suka mencuri tulang untuk minum pagi dengan cara mengingatkan mereka akan pentingnya bersikap amanah kepada majikan bahkan kepada diri sendiri.

Atau memberi teguran terhadap amalan bergosip, mengumpat dan mengata orang lain yang memang menjadi hobi ketika bekerja di kalangan sesetengah daripada kita. Begitu juga apabila mendapati ada rakan mengambil ringan kewajipan menunaikan solat.

Mereka perlu diingatkan, walau sesibuk mana sekalipun bekerja, kita tetap perlu mendirikan solat yang menjadi tiang agama. Namun, harus diingat segala peringatan dan teguran perlulah dibuat dengan tegas tetapi lembut, merendah suara dan berhikmah. Bukan secara kasar, mengherdik atau menghina.

Dakwah melalui perbuatan juga sangat berkesan mengajak orang lain beramal ibadah dengan sempurna. Menjaga amal ibadat khusus, tidak lokek memberi senyuman, membaca al-Quran ketika ada kelapangan, ringan tulang membantu orang lain, sopan santun, menjaga kebersihan diri dan sebagainya adalah contoh perbuatan yang boleh menggetarkan kesedaran orang lain untuk mengikut amalan baik yang kita tunjukkan.

Dakwah juga boleh disampaikan melalui kaedah penulisan melalui penghantaran e-mel atau salinan nota yang mengandungi maklumat berkaitan ajaran Islam seperti tauhid, ibadah, adab, muamalat untuk terus tawaduk dan patuh dengan perintah Allah.

Sebagai ketua jabatan atau pengurus organisasi, juga boleh memekarkan usaha dakwah dengan mewujudkan amalan membaca al-Quran dan memahami tafsirnya bersama pekerja.

Begitu juga sebelum memulakan sesuatu mesyuarat atau perbincangan kumpulan, tazkirah ringkas boleh disampaikan mengenai ilmu berkaitan Islam mahupun isu-isu semasa mendasari kehidupan seharian.

Janganlah segan dan berputus asa untuk terus menyampaikan apa yang baik kepada rakan di tempat kerja kerana ia memberi manfaat yang tiada tolok bandingnya kepada semua pihak termasuklah diri kita sendiri.

Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) La Trobe University Melbourne Australia

0 ulasan: