Jumaat, 11 April 2008

Kaji semula sebelum laksana projek ternak babi mega


PELBAGAI reaksi diberikan oleh semua pihak apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengumumkan meluluskan projek ternakan babi secara komersial dan termoden dalam industrinya. Projek yang menelan belanja RM100 juta itu juga akan menjadi komoditi eksport Selangor yang baru.

Projek yang dijangka siap dalam masa enam bulan hingga setahun bertempat Ladang Tumpok, Mukim Batu, Kuala Langat merupakan projek pertama Kerajaan Negeri Selangor yang baru dalam memajukan sektor pertanian.

Keputusan Kerajaan Selangor dilihat mempunyai agenda politik tersendiri. Biar apa pun yang tersirat dan tersurat, yang pasti projek ternakan babi ini bakal memberikan impak negatif dari pelbagai aspek.

Meskipun projek termoden yang pernah dirancang untuk dilaksanakan, implikasi yang harus diberikan perhatian oleh Kerajaan Selangor ialah kesan alam sekitar, sosial serta sensitiviti masyarakat.

Sememang satu usaha yang bagus, apabila semua bahan buangan dari ladang ternak yang tercanggih ini dikitar semula, akan tetapi sejauh mana usaha pengitaran semula itu selamat serta digunakan 100 peratus.

Sudah pasti ada bahan buangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang dikeluarkan dari ladang tersebut boleh menjejaskan persekitaran.

Antara yang ketara ialah bau dan sisa kumbahan domestik mahupun kumbahan ladang.

Sejauh mana ia mampu dirawat serta dikawal kualiti sebelum dilepaskan dalam sistem perparitan sedia ada? Ia secara tidak langsung boleh menjejaskan sumber bekalan air sedia ada serta industri yang berkaitan dengan alam sekitar.

Secara halusnya, ia sebahagian daripada usaha untuk mengusir penduduk setempat untuk berpindah disebabkan tekanan persekitaran.

Selepas itu, mereka yang tidak bertanggungjawab secara rakus boleh merampas tanah yang ditinggalkan secara terhormat atas alasan pembangunan.

Rasionalnya keperluan daging babi di Selangor hanya sekitar 250,000 ekor sahaja.

Apakah dengan 137 ladang sedia ada tidak boleh menampung permintaan ini dan lebih 817 ladang babi di seluruh negara masih tidak mencukupi? Mengapa perlunya ladang yang berskala besar.

Ingatlah tahun 1999, peristiwa negara dilanda wabak Japanese Encephalitis (JE) termasuk penemuan virus Nipah yang mengorbankan lebih 100 nyawa yang tidak berdosa. Apakah projek babi mega ini akan boleh memastikan perkara ini tidak berulang?

Jika sebelum ini, Pengerusi Kebangsaan DAP menggesa kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kecuaian yang menyebabkan kerugian lebih RM1 bilion kepada penternak babi, apakah jika berlaku lagi bencana sebegini masih lagi Kerajaan Persekutuan harus dipersalahkan.

Seperti dilaporkan oleh beberapa akhbar utama sejak pengumuman ini dibuat, tinjauan umum mendapati kebanyakannya membantah projek ini dilaksanakan. Tekanan emosi yang dialami oleh masyarakat di lokasi yang dimaksudkan itu juga perlu diambil kira.

Aktiviti ternakan babi yang sememangnya telah bertapak di Kampung Tumbuk, Kuala Langat itu sememangnya tidak bersistem sejak sekian lama telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat setempat.

Ditambah lagi kawasan tersebut berdekatan dengan beberapa projek pembangunan seperti Sepang Gold Coast, bandar baru serta taman tema yang sudah tentu akan merencatkan pembangunan industri pelancongan di sana.

Majoriti masyarakat yang tinggal di situ adalah masyarakat Islam, semua kaum di negara ini sedia maklum akan hukum babi dalam ajaran Islam. Secara tidak sedar, ia merupakan satu penghinaan kepada umat Islam.

Keharmonian negara yang terbentuk sejak sekian lama adalah atas kesefahaman nilai budaya serta adat resam dan kepercayaan agama masing-masing.

Oleh itu, kami menggesa kerajaan negeri Selangor mengambil beberapa langkah segera jika mereka benar-benar memahami kehendak rakyat atas nama Pakatan Rakyat bukannya pakatan pemimpin sahaja.

Pertama, satu kajian kesan alam sekitar perlu dibuat terhadap kawasan yang dimaksudkan. Sehubungan dengan itu juga, kerajaan negeri perlu menunjukkan contoh atau model penternakan moden yang telah diusahakan sama ada di dalam atau di luar negara.

Kedua, pandangan serta pemahaman rakyat perlu diperjelaskan dengan alasan mengapa ia perlu dilakukan dengan mengambil kira perasaan masyarakat setempat dan perpaduan sedia ada.

Ketiga, saiz ladang ternakan babi ini juga perlu dikecilkan dan bukan untuk tujuan eksport.

Keempat, kerajaan negeri terlebih dahulu melaksanakan sistem yang dikatakan canggih ini kepada penternak babi sedia ada di seluruh Selangor baik yang diberikan lesen mahupun yang beroperasi secara haram. Perhatian serius perlu diberikan kepada penternak babi di daerah Sepang.

Sekiranya ini semua dianggap remeh, projek ternakan babi mega ini perlu dihentikan. Ini kerana projek itu hanya menguntungkan sesetengah pihak dan bukan semua rakyat Selangor mendapat manfaatnya. Projek ini hanya merugikan seluruh rakyat Selangor.

- MOHAMAD ASRI SHAFII

Setiausaha, Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: