MINGGUAN: Bagaimana Pemuda dan UMNO hendak memastikan bahawa parti itu terus relevan dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu?
HISHAMMUDDIN: Usaha untuk menyatukan orang Melayu secara keseluruhannya adalah penting tetapi dalam konteks generasi muda, kita harus memikirkan bagaimana untuk memberi pemahaman kepada mereka betapa relevannya perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan orang Melayu.
Apa yang berlaku sekarang, rata-rata bercakap soal ramai generasi muda tidak faham apa itu Dasar Ekonomi Baru (DEB), tindakan saya menghunus keris yang menjadi lambang orang Melayu juga dipertikaikan. Kita juga berhadapan senario yang tidak pernah terjadi sebelum ini di mana orang Melayu sanggup undi DAP dan Pas.
Semua ini harus dimasukkan dalam pertimbangan kita dalam meremajakan UMNO. Bagi saya secara peribadi, UMNO masih relevan untuk memastikan kepentingan Melayu terbela. Oleh itu ia menjadi tanggungjawab setiap pemimpin UMNO bagi menyesuaikan keadaan itu berdasarkan kepada keputusan pilihan raya baru-baru ini.
Kita harus bijak bagaimana untuk menangani persepsi yang memberi gambaran kepada kaum-kaum lain bahawa kita menganggap mereka tidak penting apabila memperjuangkan kepentingan Melayu. Contohnya, dalam kes menghunus keris, saya cakap macam mana sekalipun ia sudah menjadi persepsi akibat politik menakut-nakutkan yang diamalkan oleh sesetengah pihak, akhirnya kita terpaksa terima hakikat bahawa itu merupakan sesuatu yang boleh menjejaskan kita dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.
Begitu juga soal DEB. Kalau anak-anak muda kita tidak membesar dalam keadaan DEB dan ada antaranya tidak memahaminya, beri penjelasan macam mana pun mereka tidak akan faham. Oleh itu kita harus memikirkan dasar ini dalam konteks kedudukan orang Melayu setempat. Contohnya, di Pulau Pinang, orang Melayu masih berasa diri mereka terpinggir dan bertanya apa peranan UMNO membantu mereka. Kita perlu menterjemahkan semula apa yang dimaksudkan dengan perjuangan orang Melayu yang boleh difahami bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga kaum lain.
Dalam situasi politik sekarang, apakah UMNO mampu menjaga kepentingan orang Melayu tanpa sokongan parti-parti lain?
HISHAMMUDDIN: Kita memerintah selama 50 tahun dan masih memerintah. Apakah kita pernah mengabaikan kepentingan orang Melayu? Saya lihat sedikit sebanyak berikutan kejayaan kita hari ini menyebabkan ramai orang Melayu melupakan UMNO terutamanya golongan Melayu pertengahan.
Ini mungkin berlaku kerana kita gagal memenuhi keperluan dan kekosongan dalam jiwa mereka. Oleh itu kita harus mencari jalan untuk menyesuaikan mereka dengan UMNO. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga memahami bahawa ada juga golongan Melayu yang dalam keadaan daif dan memerlukan pembelaan, sama ada dalam konteks pendidikan, kebajikan mahupun peluang-peluang lain.
Ramai yang risau kerana generasi muda Melayu tidak begitu bimbang berhubung kedudukan orang Melayu yang dikatakan berada dalam zon bahaya?
HISHAMMUDDIN: Daripada kita sekadar melahirkan kerisauan, adalah lebih baik kita berusaha memimpin bagi mengatasi masalah itu. Saya sentiasa risau kedudukan bangsa saya. Kalau pemimpin-pemimpin Melayu tidak risau maknanya dia bukan pemimpin. Begitu juga kalau dia berasa selesa, itu bererti dia tidak ikhlas kepada nasib bangsanya kerana dunia di luar sana tidak akan menunggu kita dalam mengejar kemajuan.
Mempunyai perasaan risau sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kita harus memastikan agenda kita untuk membantu dan membela mereka terus dilaksanakan.
Saya selaku Menteri Pelajaran tetap berusaha membantu orang Melayu di kawasan yang memerlukan pembelaan. Di luar bandar atau pedalaman mereka memerlukan pembelaan bina sekolah atau bekalan elektrik 24 jam atau air bersih 24 jam. Keperluan orang Melayu di bandar isunya lain, mungkin kualiti guru, kesesakan dan keberkesanan pengurusan sekolah. Kedua-duanya merupakan dua pola yang bertentangan tetapi persoalannya yang mana kita hendak laksanakan dahulu?
Jadi sekarang saya laksanakan kedua-duanya sekali. Ini kerana bukan sahaja orang Melayu memerlukan pembelaan tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhan kerana pola politik kita sudah menunjukkan orang Melayu sudah sanggup undi DAP dan Pakatan Rakyat. Maknanya, politik sekarang tidak lagi berkisar kepada isu kaum dan agama.
Sebenarnya, Datuk Onn sudah memikirkan pola politik itu sejak lama dahulu, bagaimanapun orang UMNO ketika itu tidak boleh menerimanya. Tetapi kini, kita lihat berdasarkan kejayaan BN dan UMNO, ia menunjukkan senario politik sudah mengizinkan untuk melihat apa yang dilihat oleh Datuk Onn itu.
Tetapi sama ada kita bersedia atau tidak, ia akan bergantung kepada proses transisi kerana masih lagi ada orang Melayu yang belum bersedia. Jadi perjuangan kita harus disesuaikan mengikut keadaan. Ini memberikan saya semangat dan tenaga untuk terus berjuang.
Apa lagi yang membangkitkan semangat Datuk Seri untuk terus berjuang selepas pilihan raya?
HISHAMMUDDIN: Sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang daya tahan, Mereka menunjukkan keikhlasan, kejujuran dan kesanggupan untuk bekerja keras dan terus berdepan cabaran biarpun menerima pelbagai kritikan. Mereka tabah berhadapan dengan persepsi kita ini lemah sehingga semua pihak melemparkan kritikan dan membuat tuduhan macam-macam.
0 ulasan:
Catat Ulasan