KINI masyarakat Eropah amat berbangga dengan tamadun Yunani dan Rom. Malah, Eropah beranggapan kemajuan sains dan teknologi mereka sekarang boleh disusur galur sehingga kepada pemikiran Plato dan Aristotle.
Perkara sebenarnya tidak semudah itu. Malah, tamadun dan kemajuan teknologi Eropah pada hari ini sebenarnya dibangunkan oleh Islam. Sejak kedatangan Islam ke Sepanyol bermula tahun 710 Masihi dan kemudian Islam terus berkuasa selama 700 tahun.
Begitu banyak sumbangan keilmuan, teknologi dan peradaban yang dibawa masyarakat Islam ke Eropah. Pada masa sama, tamadun Islam memberikan kebebasan kepada masyarakat Eropah untuk menganut agama mereka tanpa sebarang paksaan. Begitu juga di Sicily, yang juga menjadi pintu masuk kepada tamadun dan kemajuan peradaban Islam ke Itali dan Perancis serta Eropah secara keseluruhannya.
Keadaan sebaliknya berlaku apabila pemerintahan Islam berakhir di Sepanyol. Walaupun pemerintah Islam terakhir bersetuju untuk menyerah diri dengan syarat masyarakat Islam diberikan kebebasan beragama kerana memikirkan kese-lamatan rakyat akibat dikepung musuh selama berbulan-bulan sehingga ada yang mati kebuluran.
Namun, akhirnya perjanjian itu dikhianati dan pemerintah baru memaksa masyarakat Islam untuk menganut Kristian dan memaksa mereka memakan babi serta menggantung babi di pintu rumah dan di dalam rumah mereka, sebagai tanda mereka menerima ajaran Kristian. Jelasnya, toleransi beragama yang dikecapi sebelum itu hilang di Sepanyol.
Begitu juga di Sicily, walaupun nasib umat Islam agak baik pada peringkat awal di mana mereka dibenarkan tinggal dan mengamalkan ajaran Islam terutama kerana kepakaran yang dimiliki oleh orang Islam. Namun kemudian orang Islam dikenakan cukai yang tinggi bagi membiayai operasi Perang Salib.
Orang Islam juga dihalau keluar dari bumi Sicily secara kekerasan. Pun begitu, pemerintah Sicily bertanggungjawab membawa masuk tamadun Islam ke Eropah dengan mewujudkan pusat kajian Ilmu Islam dan menterjemahkan karya besar sarjana Islam.
Karya besar tokoh ilmuwan Islam al-Razi menjadi pujaan di Sicily hingga ke Paris yang menganjurkan kebebasan berfikir dan melihat kesepaduan dalam berfikir dalam dua dimensi yang bertentangan. Bersedia untuk berhujah dan pada masa yang sama bersedia untuk menerima pandangan orang lain yang berbeza serta menganggap wujud kebenaran pada diri mereka. Ini membawa kepada sikap toleransi dan berkembang di Paris sehingga membawa kepada Revolusi Perindustrian di Perancis.
Jelasnya, begitu banyak bukti sejarah yang boleh menunjukkan tamadun dan kemajuan Eropah hari ini mempunyai kaitan yang rapat dan mendapat pengaruh yang besar dari tamadun Islam. Tulisan ini hanya memberikan beberapa bukti sekadar memberi contoh.
Pada hari ini Islam adalah agama yang paling pesat berkembang dan Eropah tidak ketinggalan merasakan kehadiran kebangkitan semula pengaruh Islam.
Pada 1900, jumlah masyarakat Islam berbanding Kristian adalah 12 peratus (Islam) dan 27 peratus (Kristian). Pada 2000, Islam (19 peratus), Kristian (30 peratus); 2005, Islam (21 peratus) dan Kristian (29 peratus). Melihat kepada statistik ini kadar pertumbuhan agama Islam adalah sebanyak 2.9 peratus setahun berbanding Kristian sebanyak 1 peratus. Oleh itu dianggarkan jumlah penganut Islam pada 2010 ialah Muslim (23 peratus) dan Kristian (28); tahun 2015, Muslim (26 peratus) dan Kristian (26 peratus) dan pada tahun 2020, 27 peratus Muslim dan 26 peratus Kristian.
Mengikut statistik 2002, jumlah umat Islam adalah seramai 1.7 bilion, berbanding Kristian 2.1 bilion. Namun pada 2010, umat Islam dijangka meningkat menjadi 2.1 bilion dan 2.3 bilion bagi Kristian.
Tetapi pada 2015, umat Islam dijangka meningkat menjadi 2.46 bilion dan Kristian seramai 2.39 bilion. Oleh itu, mulai 2015 agama Islam menjadi agama terbesar di dunia.
Pada hari ini saja umat Islam di Amerika sudah melebihi 10 juta orang. Apakah angka ini menyebabkan Geert Wilder, penerbit filem Fitna berasa tidak senang hati dan mahu menyekat perkembangan Islam? Seharusnya masyarakat bukan Islam tidak berasa curiga mengenai keadilan Islam dan sifat toleransi beragama yang terbukti menjadi amalan ketika Islam berkuasa di Eropah pada suatu ketika dulu dan kemudian mencorakkan kemajuan teknologi Barat sehingga kini.
Pada masa yang sama pula umat Islam sekarang harus diberikan kesedaran dan kefahaman sebenar mengenai keadilan Islam dan tidak terbawa-bawa dengan emosi keterlaluan sehingga membelakangkan sifat sebenar Islam.
Tindakan ganas dan menghina penganut agama lain adalah bukan dari sifat sebenar Islam. Malah, Islam dengan jelas dan tepat boleh menerima apa-apa pandangan yang berbeza dan menganggap ia adalah pilihan dan kebebasan yang diberikan kepada setiap individu berdasarkan ketentuan Ilahi, 'Bagi kamu agama kamu, bagi saya agama saya'.
DR AHMAD CHE YAACOB,
Pensyarah Kanan,
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
Universiti Teknologi Mara Johor.
0 ulasan:
Catat Ulasan