Khamis, 10 April 2008

Kerajaan Selangor diminta kaji keputusan

KERAJAAN Selangor baru mengumumkan mahu mengkaji semula semua keputusan kerajaan negeri sebelumnya. Jadi, ia pun mengkaji dasar penswastaan air antara Puncak Niaga, Syabas, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Langkah itu memang wajar demi manfaat semua.

Yang peliknya mengapa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim masih meneruskan projek ternakan babi di Sepang dengan hanya bersandarkan bahawa keputusan itu diluluskan kerajaan lama pimpinan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Isu babi adalah perkara sensitif yang membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, masyarakat dan pencemaran alam sekitar.


Rancanglah walau sebaik dan serapi manapun, kepincangannya pasti terserlah juga nanti.

Saya tidak dapat menerima pendirian beberapa Exco Melayu dalam barisan Kabinet Selangor yang dengan tersenyum menerima keputusan meneruskan projek itu yang terang-terang mendapat bantahan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam.

Jika kita ingin mengetengahkan alasan bahawa babi hanya haram dimakan orang Islam, tetapi kita tidak boleh halang hak bukan Islam makan babi, sudah pasti Kelantan juga sudah lama melaksanakan projek ternakan babi atas alasan sama. Kedah pun akan buat begitu juga.

Isu babi di Melaka belum selesai selepas berpuluh tahun berlalu.

Mungkin pemimpin Pakatan Rakyat Selangor berkata, segala pertimbangan sudah dibuat untuk mengatasi segala aspek negatif ladang itu, namun setidak-tidaknya pencemaran bau pasti tidak dapat dibendung dengan apa kaedah sekalipun.

Khalid dan pimpinan Melayu Islam Selangor lebih baik mengkaji semula keputusan itu demi maruah Islam, bangsa dan adat budaya Melayu yang masih kental dan kukuh berpaut di sanubari kami!

YANG KECEWA,
Kuala Langat, Selangor.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: