Selasa, 15 April 2008

MB kena buktikan ladang babi lulus EIA

SAYA bersetuju dengan saranan Penasihat Persatuan Alam Sekitar Malaysia, Gurmit Singh yang mahukan bukti hitam putih daripada kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam bentuk kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dijalankan dan diluluskan, sebelum projek ternakan ladang babi moden dilaksanakan di Kuala Langat, tidak lama lagi.

Dalam konteks pengamalan pelaksanaan projek di Malaysia yang sekian lama berteraskan kajian EIA, tidak wajar beliau membelakangkannya dan memanggil pakar tersohor luar negara dalam membantu beliau dan kerajaan negeri menjalankan kajian berkaitan pencemaran dan kesan negatif lain apabila projek itu dilaksanakan.

Setakat ini, apa yang saya tahu, amalan yang diguna pakai di Malaysia adalah apabila kajian EIA yang menyeluruh dijalankan dan diluluskan, barulah sesebuah projek itu berdaya maju untuk dilaksana.


Bekas Exco Selangor, Datuk Tan See Hang, dilaporkan berkata tiada kajian EIA dibentangkan berkaitan ladang ternakan babi moden seperti yang dinyatakan Khalid selama ini.

Saya sangsi dengan dakwaan Khalid bahawa kajian EIA diluluskan ketika Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Menteri Besar.

Saya juga menghormati pandangan Pengerusi Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Dr Jacob Joseph yang mahukan projek ladang babi dibatalkan jika mendapat bantahan semua pihak termasuk rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna dan pencinta alam sekitar.

Walaupun niat Khalid untuk memenuhi aspirasi penternak babi, menghimpunkan mereka bawah satu bumbung dan tidak lagi berselerak selain mengawal pencemaran alam, saya berpendapat adalah wajar projek mega ini dikaji semula kerana kebanyakan pihak akan mempersoalkannya satu hari nanti.

WARGA PRIHATIN,
Shah Alam Selangor.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: