Ahad, 20 April 2008

Cabaran politik persepsi


DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, Ketua Pemuda UMNO.


MUKADIMAH
SELAMA sebulan setengah selepas pilihan raya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein banyak menghabiskan masa untuk berfikir. Di dalam mindanya, terpancul satu demi satu penyebab yang memungkinkan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Malahan dalam tempoh itu juga walaupun beliau menganggap adalah sesuatu yang wajar jika kekecewaan, kemarahan dan kekeliruan dizahirkan selepas keputusan sedemikian, namun dirinya juga bertanya sampai bilakah keadaan ini harus dibiarkan? Apakah ia perlu diteruskan? atau ia harus dihentikan bagi mengelakkan BN dan UMNO khususnya di peringkat Pemuda terus bermuram durja.

Oleh itu Hishammuddin mengambil langkah meminta semua ahli Pemuda UMNO dan BN menghentikan tuduh-menuduh, tuding-menuding dan salah-menyalah. ‘‘Kita harus melihat ke depan,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HASSAN MOHD. NOOR dan ZULKIFLEE BAKAR, di Hotel Istana, pada Jumaat lalu.

Selain mahu Pemuda UMNO dan BN melihat ke depan bagi merancang agenda untuk bangkit semula menawan hati rakyat, beliau juga gelisah memikirkan wujudnya apa yang disebut politik persepsi dan politik menakut-nakutkan. Tanpa mahu terlibat dalam sindrom penafian bahawa BN dan UMNO juga ada kelemahan, kewujudan kaedah politik seumpama itu harus ditangani dengan berhemah oleh kedua-dua pihak.

MINGGUAN: Selepas 10 tahun memimpin Pemuda UMNO, bagaimanakah Datuk Seri melihat pencapaian pergerakan itu?

HISHAMMUDDIN: Bagi saya, Pergerakan Pemuda UMNO tetap menjadi sayap yang penting dan relevan. Ini kerana biarpun ada sayap-sayap Pemuda bagi parti-parti politik yang lain seperti Pas, Keadilan dan DAP, namun tumpuan tetap diberikan kepada Pemuda UMNO.

Malahan walaupun dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tidak mencapai keputusan yang agak cemerlang, namun orang ramai tetap memberi perhatian kepada kepimpinan Pemuda. Ini membuktikan bahawa Pemuda masih diiktiraf sebagai sayap yang bermakna kepada parti dan negara.

Saya mengambil alih kepimpinan Pemuda pada 1999 yang pada masa itu dalam perpecahan. Ketika itu timbul kebimbangan apakah Pemuda masih relevan memandangkan apa sahaja yang tidak betul semuanya dilemparkan kepada Pemuda. Tetapi Alhamdulillah selepas 10 tahun memimpin pergerakan itu, saya lihat Pemuda sudah pun dipulihkan dan ditempatkan dalam kedudukan yang masih dihargai.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya yang lalu membawa bersama cabaran dan ujian baru kepada UMNO dan BN. Berikutan itu Pemuda juga tidak terkecuali daripada ujian ini yang menuntut sebuah perubahan. Maknanya Pemuda haruslah menyesuaikan perjuangannya dan melakukan satu gerakan yang mungkin dapat memenuhi kehendak generasi muda sekarang.

Atas sebab itulah, selepas 10 tahun, saya berpendapat sudah tiba masanya saya memberi peluang kepada muka baru. Ini harapan saya dan saya doakan perwakilan nanti dapat memilih pemimpin yang berwibawa bagi membawa Pemuda ke tahap berkenaan dan sentiasa relevan kepada rakyat khususnya generasi muda.

Selepas perubahan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pada 2004, ramai berpendapat Datuk Seri tidak mempunyai ‘cengkaman’ ke atas pergerakan itu, sebaliknya ia lebih dikuasai oleh individu-individu tertentu, apa pandangan Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Pilihan raya umum lalu telah membuka satu lembaran baru dalam landskap politik negara. Selain kita mengakui bahawa ada kelemahan-kelemahan dalam UMNO dan BN yang perlu diperbaiki, fenomena politik negara kini dipengaruhi oleh politik persepsi dan politik ‘menakut-nakutkan’. Berikutan itu berlakulah gejala tidak sihat dalam berpolitik seperti pembunuhan karaktor dan serangan peribadi ke atas pemimpin-pemimpin kita. Malangnya dengan kemudahan teknologi maklumat (IT), akhirnya sesuatu perkara seperti tuduhan atau dakwaan yang tidak tahu kesahihannya disebarkan dan berjaya mempengaruhi orang ramai. Ini budaya baru yang bagi saya sudah wujud dan menjadi realiti.

Bagaimanapun dalam soal persepsi bahawa ada kuasa-kuasa tertentu menguasai kepimpinan Pemuda, sama ada ia betul atau tidak, akhirnya ia akan ditentukan oleh suara ramai. Kalau dalam pilihan raya umum, suara itu ialah rakyat dan kalau dalam UMNO, mereka ialah perwakilan. Merekalah yang akan membuktikan sama ada persepsi itu satu realiti atau tidak.

Contohnya, sebelum ini timbul persepsi bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikuasai, dikongkong dan di bawah telunjuk kerajaan. Tetapi apabila dalam pilihan raya umum lalu, rakyat menggunakan hak dengan memberi kemenangan kepada pembangkang di lima buah negeri, ia membuktikan persepsi berkenaan tidak betul. Jadi sekarang kita dilanda fenomena politik persepsi, pembunuhan karektor dan politik menakut-nakutkan. Perbuatan serong ini dimudahkan lagi dengan kemudahan teknologi seperti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Saya sendiri terasa bahangnya, apabila menjelang hari pengundian bertebaran SMS yang memberitahu, bahawa saya membuat kenyataan, UMNO tidak memerlukan undi orang Cina dan India. Ini pembohongan dan fitnah yang nyata. Tetapi ia mewujudkan persepsi di kalangan orang ramai. Mereka yang tidak mengenali saya, akan menganggap SMS itu betul. Adalah tidak munasabah untuk saya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana di Parlimen saya sendiri iaitu Sembrong, saya memerlukan sokongan pengundi Cina dan India sebanyak 47 peratus.

Tetapi malangnya, pilihan raya umum lalu politik persepsi inilah yang hampir menumbangkan BN, oleh itu bagaimana hendak menanganinya?

HISHAMMUDDIN: Saya tidak mahu bila bercakap soal politik persepsi, kita (BN dan UMNO) dianggap masih dikuasai sindrom penafian. Saya harus mengakui sememangnya ada kelemahan dalam UMNO dan BN tetapi ia diburukkan lagi dengan kewujudan politik persepsi dan politik ‘menakut-nakutkan’ orang ramai terhadap pemimpin parti berkenaan. Ini termasuklah dalam isu saya menghunus keris.

Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa kita tidak berada dalam sindrom penafian tetapi apa yang saya hendak katakan mengenai politik persepsi ini, ia adalah sesuatu yang realiti, contohnya penyalahgunaan SMS. Ia fenomena baru, tetapi ini tidak ada bezanya dengan keadaan yang suatu ketika dulu terpaksa dilalui oleh pemimpin- pemimpin UMNO dan BN, iaitu serangan yang dilakukan melalui surat layang, surat khabar ‘nyamuk’ dan majalah-majalah.

Walaupun apa yang disebarkan ada sesetengahnya menggunakan perkara yang benar, separuh benar dan fitnah semata-mata tetapi UMNO dan BN terpaksa menanganinya. Kini politik persepsi itu menggunakan pula SMS dan blog-blog bagi mempengaruhi rakyat.

Namun saya percaya akhirnya kita akan dapat menangani politik persepsi ini, jika kita mendengar rintihan mereka dan sentiasa konsisten dalam perjuangan. Justeru, dalam berhadapan dengan situasi ini, pemimpin dan ahli UMNO dan BN harus menanganinya dengan berhemah dan tidak melatah. Mungkin 10 tahun lagi, kaedah lain pula wujud bagi menimbulkan persepsi dan ketika itu sama ada UMNO mampu bertahan atau tidak, ia terserah kepada ahi-ahli.

Ramai berpendapat kegagalan BN menangani serangan melalui blog-blog turut menjadi punca kekalahan kali ini?

HISHAMMUDDIN: Saya bersetuju tetapi ini tidak bermakna kita harus mengikut rentak mereka. Kita hanya perlu menjawab tuduhan yang tidak benar kerana orang ramai harus diberi pemahaman bahawa dalam perkembangan teknologi sekarang, apa-apapun boleh dilakukan termasuklah mengubah suai gambar-gambar pemimpin bagi mewujudkan politik menakut-nakutkan ini.

Atas sebab itulah ketika menghadiri mesyuarat UNESCO di Paris, baru-baru ini, saya tegaskan, ketika kita bercakap soal globalisasi dan menguasai ICT, kita tidak mahu identiti negara-negara kecil seperti bahasa dan agamanya terhakis serta dikuasai kuasa-kuasa besar.

Contohnya, dalam kes filem Fitna perbuatan itu dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang di Belanda yang ingin popular melalui Internet dan dia menggunakan Islam bagi meraih populariti. Akibatnya ia membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Ertinya, fenomena politik menggunakan ICT ini berlaku di seluruh dunia dan kita harus mengkaji bagaimana hendak mempertahankan agama, identiti dan bahasa kita dalam berhadapan dengannya.

Bagaimana dengan pandangan bahawa generasi muda tidak menyokong BN?

HISHAMMUDDIN: Saya yakin jika UMNO dan BN mampu menyesuaikan diri, generasi muda pasti akan mengembalikan sokongan mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi saya tidak mahu melihat hanya generasi muda menjadi faktor kekalahan kepada BN. Kita harus faham apabila berlaku kekalahan dalam pilihan raya, pelbagai perasaan dilahirkan termasuk dakwaan generasi muda tidak menyokong BN.

Namun untuk menjadi pemimpin, kita harus melihat dalam skop lebih luas. Kalau hendak tumpukan kepada generasi muda, bagaimana pula dengan guru-guru yang tidak berpuas hati dengan kita? Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan, golongan dewasa dan kaum lain?

Kenapa kita bercakap soal pengundi muda Melayu menolak UMNO? Bagaimana dengan pengundi-pengundi Cina dan India? Apakah peranan parti-parti komponen BN dalam menanganinya? Atas sebab itulah, saya tidak mahu melihat punca masalah kekalahan BN berkisar kepada kelemahan Pemuda UMNO sahaja dalam menangani generasi muda.

Berikutan pencapaian BN dan UMNO dalam pilihan raya lalu, bagaimana semangat Pemuda sekarang.

HISHAMMUDDIN: Semangat Pergerakan Pemuda kini berada pada tahap untuk ahli-ahlinya berfikir mencari kepimpinan yang membawa cara baru.

Saya sudah melakukan yang terbaik untuk meletakkan Pemuda dalam keadaan mereka boleh menganjakkan Pemuda ke tahap dan semangat mengikut senario politik negara yang kini semakin mencabar.

Kini giliran pemimpin baru memimpin Pemuda bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa. Kita harus laluinya keputusan pilihan raya umum lalu dengan berhemah dan sama sekali tidak boleh lalai lagi. Ini kerana apa yang dibincangkan hari ini (berhubung faktor kekalahan) sudah diperkatakan selepas pilihan raya umum 1999.

Ia berkaitan dengan isu keangkuhan, rasuah, kebendaan dan meminggirkan golongan tertentu. Ketika itu, kita membuat saranan pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO turun ke bawah mendengar rintihan orang ramai dan kita laksanakan program Pemuda masuk kampung dan sebagainya. Tetapi pada 2004, mungkin kerana kemenangan yang dicapai, kita lalai termasuk saya sendiri dan Pemuda. Akibatnya kali ini kita ‘dihukum’ .

Apa yang penting sekarang Pemuda harus melakukan penyesuaian, perubahan dan transformasi bagi menghadapi cabaran masa kini.

Berdasarkan keadaan itu Datuk Seri benar-benar berasa puas hati kerana berjaya menanam semangat seumpama itu ketika memimpin Pemuda ?

HISHAMMUDDIN: Tugas saya sebagai pemimpin harus terus membina semangat mereka. Tetapi sekarang mereka sendiri perlu menunjukkan semangat dan daya kepimpinan.

Sebab itulah, saya mengumumkan tidak mahu menawarkan diri menjadi Ketua Pemuda lagi. Ini bagi membolehkan mereka yang layak dan berhasrat bertanding turun ke bawah bertemu bukan sahaja ahli-ahli Pemuda UMNO tetapi BN untuk memaparkan visi dan misi serta ke arah mana mereka hendak membawa Pemuda dalam arena politik tanah air.

Ahli-ahli kita sekarang bukannya bodoh, mereka juga cerdik seperti rakyat Malaysia yang lain.

Oleh itu calon kepimpinan Pemuda perlu membentangkan kepada ahli-ahli bagaimana beliau hendak membawa pergerakan itu menghadapi cabaran.

Tidakkah Datuk Seri bimbang, pemilihan boleh mencetuskan perpecahan?

HISHAMMUDDIN: Jangan ada mana-mana pihak tergamak bercakaran sesama sendiri dan tidak berdisiplin. Kita harus ingat bercakaran berebut-rebut jawatan inilah yang menyebabkan orang muak kepada BN dan UMNO.

Selama sebulan setengah sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, saya bermuhasabah dan ketika bertemu dengan Pemuda UMNO Kedah dan Pulau Pinang, saya bertanya kepada mereka, bersetuju atau tidak, kita terus tuduh-menuduh sedangkan sekarang adalah masa untuk memperbaiki keadaan dan bangkit semula dalam perjuangan.

Sebab itulah saya membuat kenyataan meminta supaya isu peralihan kepimpinan dihentikan dan kenyataan itu adalah hasil luahan Pemuda negeri-negeri berkenaan.

Sekarang sudah timbul kesedaran bahawa tuduh-menuduh yang berlanjutan hampir sebulan setengah tidak menguntungkan sama ada UMNO mahupun BN. Malahan ahli-ahli kita sendiri beranggapan cukuplah kita melakukan perbuatan berkenaan kerana ia bukan sahaja merugikan parti tetapi lebih penting merugikan bangsa.

Kita berpendirian begitu kerana percaya BN masih lagi gandingan parti-parti komponen yang sudah teruji persefahaman mereka dalam apa juga situasi. Kalau UMNO tidak menunjukkan kepimpinan yang baik dan BN pula tidak melakukan muhasabah, percayalah bukan sahaja orang yang protes kita tidak akan kembali malahan kita mungkin akan hilang lebih banyak sokongan pada pilihan raya akan datang.

Saya bimbang kalau dalam pemilihan kali ini, ahli-ahli UMNO masih tidak insaf dengan berebut-rebut jawatan dengan mengamalkan politik wang dan tuduh-menuduh, ini akan mewujudkan persepsi tidak baik di kalangan orang ramai berhubung keadaan parti itu.

Apakah betul ahli-ahli UMNO boleh insaf?

HISHAMMUDDIN: Kalau tidak boleh insaf berikutan keputusan pilihan raya kali ini, saya tidak tahulah apa yang lagi perlu kita lakukan. Sebenarnya, apa yang terjadi bagi saya adalah satu hikmah. Ini anugerah daripada Allah S.W.T bagi menyedar dan menginsafkan kita. Hakikatnya, Tuhan masih sayangkan kita kerana bagi negara-negara lain, UMNO dan BN masih lagi diberikan mandat. Oleh itu kenapa anggap diri kita seolah-olah sudah kalah? Kalau benar, ini tsunami politik, kenapa ia tidak berlaku sehingga ke Sabah dan Sarawak? Kenapa kita masih lagi relevan dan berkuasa?

Kita tidak boleh selamanya meletakkan dalam minda bahawa kita dalam keadaan tertekan dan kalah. Kita mesti ada perimbangan tetapi jangan ada sindrom penafian. Kita juga tidak boleh mempunyai minda seolah-olah tidak boleh keluar daripada keadaan sekarang kerana saya yakin parti boleh menyesuaikan diri.

Kalau kita benar-benar melakukan perubahan, InsyaAllah dalam pilihan raya akan datang rakyat akan menilai dan kembali memilih BN dan UMNO. Apa yang penting kita harus membuktikan, bahawa pengalaman dan keputusan kali ini benar-benar menyedarkan dan menginsafkan kita. Sebenarnya, perkara yang mungkin tidak dapat kita lakukan, Tuhan sudah lakukan untuk kita. Kalau itupun masih juga tidak mahu sedar, tidak tahulah saya, apa yang hendak buat lagi.

Jangan menuding jari

Selepas pilihan raya umum lalu bagaimanakah semangat ahli-ahli komponen BN terutamanya Pemuda?

HISHAMMUDDIN: Kita sentiasa yakin dengan apa yang dilakukan. Atas sebab itu ada majlis Pemukiman (Retreat) Ahli-ahli Parlimen BN di Hotel Istana (Jumaat dan Sabtu). Kita berkumpul supaya kita dapat sepakat dalam Parlimen. Ini memandangkan pakatan pembangkang melakukan pelbagai tafsiran berhubung kedudukan kerajaan BN. Oleh itu BN harus mempunyai semangat juang yang kental dan memastikan apa yang diimpikan oleh pembangkang tidak menjadi kenyataan. Kalau satu demi satu ramalan pembangkang tidak menjadi kenyataan, ia akan menjejaskan kredibiliti mereka.

Apa yang penting ialah kita harus terus bergabung dan berusaha untuk melakukan perubahan serta memperbaiki kelemahan. Kita perlu mendengar rintihan orang ramai kerana itulah pengajaran yang kita dapat dalam pilihan raya baru-baru ini. Hikmahnya, keputusan berkenaan akan membuka ruang kepada kita untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi.

Satu kelebihan kita dalam BN ialah setiap kali berhadapan dengan ujian ini, kita akan bersatu dan kekuatan kesatuan itulah akhirnya mengizinkan kita bangkit semula dengan wajah yang kuat, lebih matang dan lebih stabil.

Bagaimana dengan sikap sesetengah pemimpin kanan BN yang secara terbuka menyalahkah kepimpinan parti?

HISHAMMUDDIN: Mereka yang melakukan tindakan itu harus sedar, suatu hari nanti ia akan tempias kepada mereka kembali, jangan angkuh, jangan berada dalam sindrom penafian dan apa yang diluahkan sekarang ramai tidak akan lupa. Oleh itu saya minta kepada pemimpin berkenaan lakukanlah muhasabah diri sebelum menyatakan itu dan ini.

Sebenarnya, dua hari selepas pilihan raya, saya bersama-sama kepimpinan Pemuda BN duduk bersama bagi membincangkan soal pilihan raya ini. Hubungan kami begitu erat , bila kita senang kita senang bersama, bila kita susah kita susah bersama.

Sebab itulah sampai hari ini kita masih membincangkan bagaimana corak untuk membawa BN khususnya Pemuda dalam konteks politik sekarang.

Jadi pemimpin BN lain yang turut melakukan penafian dan menuding jari kepada UMNO, mereka juga akan menerima padahnya. Ini kerana dalam konteks politik sekarang bukan sahaja ada orang Melayu sendiri akan menidakkan mereka sebagai pemimpin malahan kaum mereka sendiri juga akan bertindak demikian.

Ini kerana dalam realiti sekarang, bila orang sudah marah dengan cara kita memimpin dan berpolitik, ia merentasi batasan kaum dan agama. Jadi saya hendak mengingatkan mereka bahawa di sini memerlukan satu kekuatan dalam diri sendiri dan keyakinan bahawa masa depan kita bersama banyak bergantung kepada persefahaman,keikhlasan dan kejujuran semua pihak dalam BN.

Kita dalam UMNO dan Pemuda BN hendak melihat ke depan, kalau ada pemimpin lain dalam BN tidak mahu berbuat demikian dan terus berada dalam sindrom penafian, nasib dialah.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: