|
|
JIKA ramalan harga minyak mentah melonjak ke paras AS$118 (RM371.7) setong berakhir hujung bulan ini men- jadi kenyataan, krisis makanan global yang sedang menghimpit seluruh dunia ketika ini bakal bertambah parah.
Ini kerana, harga minyak mentah seperti yang diketahui umum berkadar langsung dengan produktiviti pengeluaran bahan makanan terutama di negara-negara pengeluar yang sangat pesat sektor perindustriannya.
Memandangkan krisis makanan global semakin menular ke rantau Asia, adalah penting untuk rakyat di negara ini memahami punca sebenar kegawatan yang melanda sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang lebih buruk.
Apatah lagi selepas kerajaan baru-baru ini mengumumkan stok beras negara terpaksa ditambah bagi menampung kekurangan bekalan bahan makanan itu ekoran bekalan yang ada hanya mencukupi bagi tempoh kira-kira tiga bulan sahaja.
Jika sebelum ini, kenaikan harga barangan keperluan yang boleh dikatakan berlaku saban tahun lebih menjurus kepada isu domestik seperti penyeludupan dan pembekal menyorok barang, namun situasi terkini lebih berhubung kait kepada krisis makanan secara global.
Kenaikan mendadak harga minyak yang turut memacu peningkatan harga barangan didorong oleh beberapa faktor antaranya fenomena tahunan yang mana meningkatnya kegunaan tenaga di negara-negara yang menyambut musim dingin seperti di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian daripada Asia.
Krisis politik dan pergolakan berterusan terutamanya di Iran dan Iraq turut memberi tekanan kepada pengeluaran minyak mentah dan dalam keadaan yang amat terhad itu, ia turut mempengaruhi harga minyak keseluruhannya.
Harga minyak juga terjejas berikutan spekulasi yang berlegar di pasaran antarabangsa termasuk kemungkinan AS me- nyerang Iran selain ketidaktentuan perhubungan diplomatik di antara Iran dan Turki.
Dalam keadaan ekonomi AS yang semakin goyah berikutan lemahnya mata wang dolar berbanding euro ketika ini, harga minyak mentah juga makin menjerut pasaran dan dijangka terus meningkat.
Sektor yang paling terkesan dengan kenaikan berterusan harga minyak ketika ini semestinya perindustrian dan pembuatan yang bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga itu.
Di negara-negara yang ekonominya berkembang sangat rancak terutamanya India dan China, peningkatan harga minyak tidak berupaya memperlahankan aktiviti perindustrian menyebabkan bekalan minyak lebih banyak tertumpu ke negara tersebut.
Bagi menampung kos perbelanjaan minyak yang tinggi, China dan India yang kebetulan pula merupakan antara negara pengeluar utama beras dan gandum dunia terpaksa meningkatkan harga eksport bahan makanan itu.
Kesannya, negara-negara yang bergantung kepada import makanan terutamanya dari kedua-dua negara itu turut terkena tempias kenaikan harga mi- nyak apabila terpaksa membayar harga bahan makanan yang lebih tinggi ber- banding sebelumnya.
Mengikut rekod Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), harga kebanyakan bahan makanan global ketika ini meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007 dan di kalangan negara-negara yang lemah ekonominya, situasi ini boleh menyebabkan berlakunya inflasi.
Keadaan itulah yang sedang ditanggung oleh rakyat di beberapa buah negara yang bergantung sepenuhnya kepada bahan makanan import dan paling kritikal ialah di Haiti, Maghribi dan Zim- babwe yang mana kadar inflasi di negara tersebut mencecah sehingga 100,000 peratus.
Banjir besar yang berlaku di India, Chi- na dan Vietnam sedikit masa lalu misalnya, meranapkan sebahagian besar kawasan pertanian padi di negara-negara tersebut sekali gus menjejaskan stok bekalan beras dunia.
Akibatnya, harga beras di pasaran antarabangsa melonjak sehingga 20 peratus awal tahun ini ekoran permintaan yang tinggi di sebalik bekalan yang terhad di negara-negara pengeluar.
Thailand biarpun masih mampu bertahan daripada krisis bekalan beras yang menyusut bagaimanapun terpaksa berhati-hati apabila seluruh dunia kini mula memberikan tekanan kepada negara tersebut untuk meningkatkan import berasnya.
Akibatnya, negara itu kini terpaksa menjual beras pada harga yang lebih tinggi dalam usaha memastikan stok bekalan beras mereka masih mampu menampung kegunaan domestik.
Mengambil contoh salah satu jenis beras Thailand iaitu Thai 100 peratus B, harganya melonjak sehingga 68 peratus ke paras AS$546 (RM 1725.36) satu tan bulan lalu berbanding harga jualan pada Februari.
Bencana alam turut menjejaskan bekalan tepung dunia apabila kemarau yang berpanjangan serta cuaca panas yang me- lampau menyebabkan ladang pertanian gandum di negara-negara pengeluar utama kering- kontang.
China misalnya, yang merupakan negara pengimport gandum utama dunia dengan pengeluaran mencecah 100 juta tan setahun terpaksa mengurangkan im- port mereka apabila permintaan dalam negara semakin meningkat, kesan daripada perubahan gaya hidup masyarakatnya yang semakin mewah.
Amerika dan Kanada yang berkongsi pengeluaran tepung sebanyak 80 juta tan setahun serta Australia (30 juta tan setahun) turut mengalami penyusutan hasil tuaian gandum apabila kebanyakan ladang di negara berkenaan tidak lagi subur.
Jelaslah, krisis makanan global yang dihadapi dunia ketika ini merupakan cabaran yang getir untuk didepani bukan sahaja di kalangan negara maju, malah negara miskin yang bergantung kepada bekalan makanan daripada bantuan antarabangsa.
Keadaan dirumitkan lagi apabila faktor cuaca dan iklim yang sememangnya di luar kawalan manusia turut menyumbang sama kepada susutnya bekalan makanan dunia.
Perkembangan semasa ini pastinya menuntut perhatian yang serius daripada kerajaan dan langkah-langkah awal untuk memastikan kesan krisis makanan global tidak menekan rakyat negara ini perlu dirangka dan dilaksanakan segera.
0 ulasan:
Catat Ulasan