Isnin, 7 April 2008

Minda Pengarang: Petualang dalam parti mesti disingkir

TINDAKAN sabotaj dalam apa keadaan sekalipun bakal mengundang kesan amat buruk, tambahan pula jika berlaku dalam kerajaan kerana ia boleh menghancurkan sesebuah negara. Sabotaj biasanya dilakukan musuh bagi mengkucar-kacirkan pentadbiran, namun jika ia dilakukan oleh orang dalam, sama ada ahli atau pekerja sendiri, ia cukup menyedihkan.

Kita sepatutnya belajar daripada sejarah lalu yang mana kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 kepada penjajah Portugis sebahagiannya berpunca daripada tindakan khianat dan sabotaj orang dalam. Oleh itu, apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyelar tindakan ahli parti, termasuk di kalangan Umno yang melakukan sabotaj hingga membawa kepada kekalahan calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu, kita amat memahaminya.

Malah, janji Presiden Umno itu untuk mengambil tindakan disiplin terhadap ahli Umno yang didapati terbabit melakukan sabotaj sememangnya wajar. Akibat tindakan itu BN gagal mengekalkan kemenangan dua pertiga kerusi Parlimen. Seperti dijelaskan Abdullah, 14 kawasan Parlimen terbabit pada awalnya dianggap mudah untuk dimenangi, namun disebabkan tindakan sabotaj oleh ahli parti, BN hanya mampu memperoleh 140 kerusi berbanding 222 kerusi dipertandingkan.

Lebih malang, BN bukan saja gagal menawan semula Kelantan, malah terlepas Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang ke tangan Pakatan Rakyat. Sabotaj, cah keting, biar padan muka dan pelbagai konotasi lain, adalah istilah biasa dalam politik di negara ini. Kegagalan BN merampas Kelantan daripada Pas sejak 18 tahun lalu sebahagian besarnya akibat amalan buruk berkenaan.

Budaya buruk itu juga sering dikesan muncul setiap kali menjelang pilihan raya, malah ada ahli dan pemimpin Umno sendiri cukup gembira jika calon partinya kalah kepada lawan. Realiti melampau ini masih menunjangi parti yang sudah berusia lebih 50 tahun itu. Kita tidak tahu apa puncanya. Adakah ia sebahagian etika buruk dimiliki jiwa Melayu, tidak suka orang lain berjaya dan penuh dengan hasad dan dengki, yang dilihat sinonim dengan bangsa Melayu.

Mungkin sebelum ini, kesannya hanya gagal menawan Kelantan, sebaliknya dalam pilihan raya umum lalu, tindakan sabotaj, cah keting dan ‘biar dia tahu siapa kita’ bukan saja memalukan, malah hampir mengorbankan parti yang sebelum ini menjadi teras pentadbiran negara. Kita berpendapat tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka terbabit, baik ahli mahu pun pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan jentera parti ketika pilihan raya, sebaliknya bertindak `membunuh’ calon dari parti sendiri.

Golongan ini yang boleh dianggap ‘musuh dalam selimut’ perlu disingkirkan daripada parti kerana selagi mereka berada di dalam parti, pelbagai kerenah akan timbul. Di samping itu, pemimpin parti komponen lain, baik Gerakan, MCA dan MIC juga perlu menyiasat ahli atau pemimpin yang turut menjadi petualang sehingga menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi di kawasan majoriti Cina dan India. Hakikatnya, kita berpendapat bukan saja kalangan Umno terbabit dalam kegiatan sabotaj berkenaan, malah mereka daripada parti komponen lain turut menyumbang kepada kekalahan teruk BN.

Agak malang ramai daripada kita tidak pernah menghayati atau belajar sejarah lalu. Kita perlu melihat kembali senario bagaimana kejatuhan empayar dan kerajaan lama yang berpunca daripada masalah dalaman, percakaran sesama sendiri, perasaan tidak puas hati, yang berakhir dengan kekalahan hingga hampir memadam segala impian.

Sumber Berita Harian

0 ulasan: