Selasa, 1 April 2008

Waspada Melayu ‘dicaturkan’ - Surat 2


TAHNIAH kepada Menteri Besar Perak yang baru, Ir. Mohamad Nizar Jamaludin setelah berjaya mengangkat sumpah jawatan dan berjaya membentuk barisan Exconya di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Sesungguhnya kerajaan baru ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang menonjolkan enam Exco daripada DAP, tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada Pas.

Barisan Exco ini menunjukkan terdapat enam calon dari kaum Cina, tiga Melayu dan seorang dari kaum India.

Senario ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) kebanyakannya dari UMNO yang memperoleh 28 kerusi tidak mempunyai suara dalam kerajaan, kini hanya menjadi pembangkang.

Oleh itu, ingatlah hari ini kita sebenarnya diperintah oleh orang bukan Melayu walaupun Menteri Besarnya adalah orang Melayu. Inilah kesan pilihan raya umum lalu, dengan sekelip mata sahaja kuasa boleh berubah dan terlepas daripada orang Melayu yang dipegang sejak 50 tahun yang lalu.

Saya sebagai anak jati Parit, amat sedih melihat keadaan ini berlaku. Ini semua akibat orang Melayu sudah tidak lagi bersatu dalam menangani percaturan politik yang mengakibatkan perpaduan bangsa kini semakin rapuh.

Tiada apa yang boleh disesalkan lagi. Melayu kini sudah hilang kuasa di negeri Perak walaupun dalam sebuah kerajaan negeri yang mempunyai Menteri Besar daripada parti Pas.

Apa tidaknya, sudah tentu DAP mempunyai kuasa yang lebih dalam Exco akan membuat keputusan yang memihak kepadanya.

Oleh itu apa lagi yang boleh kita harapkan oleh orang Melayu dan Islam daripada kerajaan yang ada ini.

Ini kerana dasar DAP selama ini menentang dasar ekonomi baru, pelajaran, agama, tenaga kerja dan apa sahaja untuk membantu orang Melayu.

Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana kita telah memilih mereka (DAP). Mereka bersatu dalam memilih pemimpin mereka tetapi kita orang Melayu tidak bersatu.

Apa tidaknya, kita mempunyai UMNO, Pas dan kini terdapat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikuasai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi semuanya berpecah sedangkan masyarakat Cina bersatu dalam percaturan politik mereka.

Akibat daripada kepandaian mereka mencaturkan undi, akhirnya mereka berjaya menawan Pulau Pinang dan dominan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ketika mereka terus meraikan kejayaan hasil perpaduan mereka, orang Melayu terus berpecah belah angkara kepentingan politik sempit pihak tertentu.

Insaflah orang Melayu. Kedudukan Melayu kini di hujung tanduk dan terus diasak serta ditekan. Namun begitu, saya sedih dengan pembawaan dan pendekatan politik Anwar yang merupakan antara faktor perpecahan Melayu.

Dalam usaha beliau untuk berjaya dalam politik, beliau sanggup menyokong dan bersekongkol dengan DAP serta merelakan kepentingan Melayu terancam.

Lihatlah cara beliau mendapatkan sokongan orang Cina dan India, begitu agresif dan dengan segala janji tanpa memikirkan perasaan orang Melayu yang masih menuntut banyak pembelaan.

Rumusan saya ialah PKR mencapai impak kerana sokongan bukan Melayu dan bukan Melayu mencapai kejayaan terbesar kerana menggunakan PKR untuk tujuan itu. Renungkanlah.

– MAN

Parit, Perak.

Sumber Utusan Malaysia

0 ulasan: